Saturday 9 December 2017

ILMU MAKRIFAT


PENTINGNYA ILMU MAKRIFAT
Kata orang, bila terlalu banyak bercakap pasal Agama, nanti akan lupa bagaimana nak hidup sebagai manusia. Namun orang mungkin terhijab dengan kata-katanya, bahawa manusia itu hanya akan dinilai "manusiawi", bilamana ia sudah tahu apa itu maknanya "Agama" dan tujuan hidup bukanlah untuk berfoya-foya.
Manusia itu banyak jenisnya. Menurut orang-orang Soleh, ada manusia yang disamakan dengan haiwan (binatang) kalau manusia itu masih duduk pada maqam Nafsu Ammarah. Ada pula manusia bersifat malaikat apabila sudah duduk pada maqam Nafsu Mutmainnah.
"Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain."
- Pepatah Melayu
Maka wajarlah kalau dikatakan, "tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahat."
Sesungguhnya ilmu Makrifat itulah jalan awal bagi orang yang bercita-cita tinggi untuk menempuhi perjalanan Agama. Makrifat adalah landasan tempat berdirinya Islam.
"Awalludin Makrifatullah."
Dari situlah dimulai syahadat. Syahadat itu adalah penyaksian, bukan setakat lafaz kata-kata kosong, taklid atau "ikrar buta" yang tidak mengandungi apa-apa makna. Justeru itu, susah payahnya orang yang belajar ilmu Makrifat kadang ada yang mengambil masa sampai berpuluh tahun lamanya.
Bagai kata Arifbillah, setelah lulus Makrifat, barulah sah dan diterima Syahadatnya. Dan barulah dijalankan perlaksanaan solat dan ibadat-ibadat selanjutnya, kerana "Rukun Islam" yang pertama sekali, memang jelas menuntut Syahadat sebagai paksi Islam yang pertama.
Jadi, tersangatlah penting sebagai hamba Allah yang tulen untuk terus belajar Agama dengan bersungguh-sungguh, serta mengamalkan Islam daripada peringkat Syariat sehinggalah mencapai maqam Makrifat.
Tetapi bagi orang yang sudah kenal Agama, tidaklah bermakna dirinya itu sudah menjadi manusia hebat, sehinggakan dengan takbur dan bangga diri merasakan bahawa dialah paling baik berbanding orang lain, padahal ilmu Makrifat itu barulah pengenalan yang paling dasar. Justeru, sifat Tawadhuk amatlah diperlukan di dalam perjalanan ini.
Firman Allah di dalam Surah Al-Furqan : 63
"Dan hamba-hamba Tuhan yang Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati. Apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan dengan kata-kata yang mengandungi keselamatan."
Orang yang beragama dan dengan sempurna mencapai tahap tertinggi keislamannya, akan terlihat dengan jelas dari "Akhlak" serta perbuatannya. Di sinilah letaknya timbangan antara "manusia" dengan keperibadian "insan" yang menjalani hidup sebagai hamba Allah. Orang Melayu merakamkan ini sebagai mengikuti "resmi padi", maknanya semakin berisi semakin tunduk.
Kaum Makrifat diturunkan di seluruh pelusuk dunia, tapi hanya sebilangan kecil sahaja jumlah mereka. Tugasnya ialah untuk menyemarakkan Risalah Tauhid dan slogan Islam, - "Amal Makruf, Nahi Mungkar".
Firman Allah;
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian."
(QS Al-'Asr : 1 - 2)
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Sunnah Nabi SAW yang perlu dicontohi sebelum atau sesudah mencapai Makrifat ialah memiliki sifat-sifat Rasulullah SAW;
1) Siddiq = Benar
2) Amanah = Dipercayai
3) Tabligh = Menyampaikan
4) Fathonah = Bijaksana
Sementara seorang hamba harus memiliki Akal Intelek yang fungsinya sihat, dan dapat berfikir supaya "Nur Sufi" masuk ke dalam hatinya, lalu membunga rasa cinta di dalam relung jiwa.
Alangkah ruginya manusia, bilamana selama hidupnya tidak belajar menemui jalan pulang. Tidak memiliki cita rasa "cinta" terhadap Islam yang sejati, sedangkan "cinta" itu adalah penghubung antara hamba dan Tuhannya.
Namun ini semua hanya dapat dibuktikan selama mana seorang hamba itu kekal dalam istiqomah. Intelektual hanyalah Anugerah Allah, dan bukan milik manusia, kerana pada akhirnya kenikmatan tertinggi ialah bilamana dapat menatap Wajah Allah Azzawajalla.
Diceritakan oleh Hajjaj, diceritakan oleh Hammam, diceritakan oleh Qatadah, dari Anas, dari Ubadah bin Ash-Shamit r.a. katanya Rasulullah SAW telah bersabda;
"Barang siapa yang senang bertemu dengan Allah, maka Allah juga sungguh senang bertemu dengannya, dan barang siapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya."

No comments:

Post a Comment