Sunday 17 August 2014

melayu

Siapa melayu..
Siapa Melayu? Melayu Pendatang? Kebangsaan Melayu rasis dan asobiyyah?
POLEMIK ISU MELAYU: 1. Siapa Melayu sebenar? 2. Melayu Pendatang? 3. Memperjuangkan hak Melayu adalah perkauman sempit dan rasis? 4. Semangat kebangsaan Melayu adalah bersifat 'asobiyyah jahiliyyah?
SIRI 1: SIAPA ITU ORANG MELAYU?
Definisi orang Melayu terbahagi kepada tiga iaitu (1) etnik atau suku, (2) bangsa dan (3) ras atau rumpun.
(1) Etnik atau suku Melayu seperti mana penakrifan dalam konteks Indonesia — Suku Melayu ialah penduduk pribumi Indonesia yang ketiga teramai selepas Suku Jawa dan Suku Sunda. Mereka banyak mendiami kawasan pesisiran timur Sumatera, Kepulauan Riau-Lingga dan Kalimantan Barat. Walaupun suku Melayu hanya mewakili hanya 3.4% penduduk Indonesia, namun Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara tersebut dan dikenali sebagai Bahasa Indonesia.
Populasi suku atau etnik Melayu paling ramai di dunia berada di Malaysia diikuti di Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Subetnik Melayu di Malaysia terdiri daripada Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu Terengganu, Melayu Perak, Melayu Johor, Melayu Sarawak dan sebagainya. Sementara di Selatan Thailand pula orang Melayu terdiri antaranya dari Melayu Pattani dan Melayu Satun.
(2) Bangsa Melayu seperti mana penakrifan dalam konteks Malaysia — Dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 160), Melayu ditakrifkan sebagai orang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat Melayu. Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, bangsa Melayu terdiri daripada suku dan keturunan yang dibahagikan kepada Melayu Anak Jati (suku atau subetnik-subetnik Melayu Semenanjung seperti Melayu Kelantan, Melayu Kedah, Melayu Perak, Melayu Terengganu dan lain-lain), Melayu Anak Dagang (subetnik Melayu Sumatera, suku atau etnik Jawa, Sunda, Minangkabau, Bugis, Banjar dan lain-lain) dan Melayu Peranakan (kacukan Melayu-India, Melayu-Cina, Melayu-Arab, Melayu-Turki dan lain-lain).
Di samping itu, keturunan lain yang bukan dari rumpun Melayu turut diterima sebagai orang Melayu (bukan kaum pendatang) sekiranya mereka beragama Islam serta berasimilasi dengan bahasa dan budaya Melayu. Mereka ini telah meninggalkan sebahagian besar adat resam keturunana mereka dan membuang identiti tanah asal mereka serta taat setia dengan Tanah Melayu dan politik nasionalisme Melayu. Contohnya keturunan Hadramaut, Kerala, Peshawar dan Istanbul. Suku atau etnik dari rumpun Melayu seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Iban, Melanau, Kedayan dan sebagainya di Sabah dan Sarawak yang beragama Islam juga merupakan bangsa Melayu.
(3) Ras atau rumpun Melayu seperti mana penakrifan ahli sejarah, ahli antropologi, ahli arkeologi dan pakar genetik — Ia adalah istilah yang diguna pakai oleh penyelidik dan UNESCO merujuk kepada penduduk asal di Semenanjung dan Gugusan Kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Alam Melayu atau the Malay World. Ia adalah konsepsi budaya yang tidak menjadikan agama Islam sebagai salah satu takrifan Melayu seperti orang Filipina, etnik Batak atau Bali dan penduduk asal di Pulau Taiwan dikategorikan sebagai “rumpun Melayu”.
Salah satu unsur persamaan mereka ialah bertutur dalam bahasa dari cabang atau rumpun bahasa induk Austronesia atau Melayu-Polinesia. Kumpulan-kumpulan yang tergolong dalam ras atau rumpun Melayu itu termasuklah penduduk pribumi Pulau Taiwan yang bukan dari bangsa Han (China), etnik Cham dan beberapa suku bangsa asal-pribumi di Semenanjung Indo-China (Vietnam dan Kemboja), etnik keturunan Melayu Patani di Thailand, seluruh penduduk asal di Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei serta suku bangsa Merina di Pulau Malagasi (Madagascar). Saudara terdekat kepada rumpun atau ras Melayu itu ialah bangsa Polinesia yang tersebar secara meluas di Kepulauan Pasifik sehingga ke Pulau Hawaii, New Zealand, dan lain-lain lagi, dipercayai berasal dari Alam Melayu dan mempunyai akar bahasa yang sama, iaitu Austronesia.
BERSAMBUNG...
*Tulisan ini terbuka untuk kupasan, kritikan membina dan sebarang pembetulan fakta.

No comments:

Post a Comment