Sunday 30 August 2020

HAKIKAT GURU

 HAKIKAT GURU

________________________________________
Pada dasarnya, yang disebut sebagai guru itu tidak ada. Sebutan guru yang hanya terpakai pada hanya satu atau beberapa sosok yang tertentu saja, justeru menidakkan bahawa ada sesuatu yang lain yang bukan guru.
________________________________________
Segala hal yang ada dan berlaku di sekitarmu itu adalah cerminmu untuk berkaca, untuk melihat dan juga untuk mengenali akan dirimu sendiri, atau peribadimu sendiri. Kamu boleh saja belajar daripada seekor kucing kurap, sebatang pokok, waima sebutir habuk.
________________________________________
Jika guru adalah sesuatu yang boleh membuatmu mengenali dirimu sendiri, maka segala sesuatu itu adalah gurumu, tidak terbatas pada satu atau beberapa sosok tertentu. Dan jika segala sesuatu adalah gurumu, maka pada dasarnya guru itu tidak ada, seperti yang telah aku sebutkan daripada awal tadi.
________________________________________
Andai kata ada seseorang yang secara terang- terangan mengaku seorang guru, cuba saja kamu menghinanya. Kalau dia itu kembali marah atau mengutukmu, maka dia itu adalah cermin angkaramu. Lantas, apa bezanya antara dia dan kamu, sebagai seorang guru?
________________________________________
Pernahkah engkau dengar orang berkata, barang siapa yang belajar tanpa guru, maka gurunya adalah iblis? Kalau begitu analoginya, maka bukanlah iblis itu yang menyesatkan kamu, tetapi kamulah yang mencampakkan diri kamu itu sendiri ke dalam lembah kesesatan.
________________________________________
Ini kerana kamu telah gagal untuk melihat akan kehadiran sang guru, apatah lagi untuk melihat akan kehadiran Tuhanmu sendiri. Ingatlah, barang siapa yang buta mata hatinya di dunia ini, nescaya di akhirat kelak akan lebih buta lagi, bahkan lebih teruk daripada haiwan ternakan di ladang.

No comments:

Post a Comment