utk perokok
Beberapa malam lepas, balik ambil anak dari kelas malam, kami singgah di sebuah kedai mamak. Aku ini bukanlah kaki mengeteh, bukan kaki kedai mamak sangat. Jadinya tidaklah familiar sangat dengan suasana kedai mamak di waktu malam ni.
Tetapi melihat dan merasai sendiri suasana malam tadi, aku rasa begitu damai dan tenang; walaupun kedai mamak tersebut riuh dengan kehadiran orang ramai. Full house, pelanggannya melimpah sampai keluar, ke kaki-kaki lima.
Damai, aku rasakan bila melihat pelanggan yang hadir. Melayu, Cina, India, rileks je makan minum dalam satu kedai. Kalau tengok suasana dalam medsos amat berbeza sekali. Macam nak perang sangat rasanya. Hari-hari kita disajikan dengan berita panas. Isu bahasa, isu bangsa, isu agama.
Tetapi di kedai mamak ini, tidak sebegitu. Senyum sorang-sorang aku mengenangkannya.
Tenang pula, bila aku dapat menikmati makan dan minum tanpa gangguan asap rokok dan vape. Kutu manalah yang dulu guna hujah kedai-kedai makan akan lingkup bila kerajaan melaksanakan larangan merokok di dalam kedai.
Syabas kepada kerajaan atas polisi yang amat baik ini. Ternyata ianya satu langkah dan keputusan yang terbaik dari kerajaan. Hari ini ianya semakin menampakkan hasil yang positif.
Ya, ianya tidak sesempurna mana. Masih ada sebahagian manusia yang merasakan mereka 'above the law' atau memang sengaja mem'babel'kan diri. Tetapi aku yakin, bangsa sebegini suatu hari esok akan pupus juga, eventually.
Harap-harapnyalah...
***
Ketika membuat bayaran di kaunter, aku memberitahu si taukeh mamak, makan sekian sekian, minum sekian sekian. Sengih je mamak tu dengar suara seksi aku. Selesai kira, dia tunjukkan aku gula-gula strepsil sambil berkata:
"Abang cuba la ini abang, untuk itu sakit tekak."
Sebab ada orang lain sedang menunggu giliran nak bayar, aku malas nak explain panjang-panjang. Aku hanya bagi isyarat jari, no no no sambil membuat memek muka tidak mahu.
Dia ok, sengih je.
Tapi kat sini nak bagitau la sikit, yang sebenarnya benda alah inilah yang aku duk kulum selama hampir satu tahun. Sebelum aku disahihkan sebagai pengidap kanser peti suara dahulu.
Sambil kulum strepsil, sambil isap rokok. Kalau takde strepsil, tekak akan perit bila merokok.
Ya, hampir satu tahun. Padahal tanda-tanda dia jelas yang memang ada something wrong somewhere dengan tekak aku. Tapi aku buat tak tahu sahaja, nak juga merokok.
Kemaruk sungguh!
Masa itu suara sudah mula serak, makin lama makin teruk. Langsung tiada tanda-tanda akan berurangan. Tetapi aku tetap tenang, kerana tidak merasa sebarang kesakitan. Cuma sesekali apabila menelan, ada terasa sedikit perit. Dan bila makan makanan pejal dan keras, ada terasa mengkelan. Kadang-kadang, tidak kerap. Makanya aku merasakan ia tidak terlalu mengganggu.
Rupa-rupanya, suara serak dan tekak tidak selesa ini, jangan dibiarkan lebih dari dua minggu. Ya, DUA minggu!
Ini kata pakar ENT.
Jika suara kalian serak dan tekak ada rasa tidak selesa; dan masih tidak menunjukkan sebarang tanda pengurangan melebihi dua minggu, bawa-bawalah berjumpa pakar. Ada la sesuatu yang tak kena tu.
Tidaklah semestinya kanser. Jangan la pulak asyik fikir itu je. Mungkin juga benda lain. Yang pasti sila rujuk kepada pakar perubatan.
Lebih-lebih lagi kau yang merokok tu. Tolong cakna, tolong ambil berat.
Kau merokok itu sudah satu hal, mengabaikan sebarang kesakitan dan benda yang tidak normal, satu hal pulak.
Sayang badan bang, nak pakai lama. Lain la kalau dah tak sayang badan, tak sayang nyawa.
Atau takde sesiapa yang sayang kau. Huh sedih gitu wo...!
No comments:
Post a Comment