Thursday, 8 March 2018

PANDANGAN HIDUP MUSLIM

PANDANGAN HIDUP MUSLIM
Marilah kita menjadi seorang sufi, menjadi seorang sifa. Kerana kita adalah pengikut nabi yang telah disucikan dan dibersihkan atau mustafa. Marilah kita menjadi sufi dalam menghadapi kehidupan sehari-hari, sufi dalam perniagaan, sufi dalam pergaulan, sufi dalam hidup kasih sayang, dan sufi dalam hubungan dengan Tuhan.
Sufi sejati luas perasaannya, tinggi hikmahnya, dan putus segala tali pengikat yang mengikat kebebasan jiwa, tidak terikat oleh sesiapa pun, dan oleh apa-apa sahaja, selain terikat oleh Allah. Tidak ada lagi tali ikatan atau rasa kebergantungan kepada makhluk.
Sufi yang sejati meleburkan dirinya ke dalam masdar tempat asalnya, fana diri ke dalam baqa. Dalam fahaman manusia biasa, maksudnya dalam pandangan manusia biasa, Tuhan adalah yang maha kuasa ke atas alam ini. Alam ini dibolak balikkan, ditelentangkan, dan ditelungkupkan oleh satu zat yang maha kuasa : ALLAHU AKBAR.
Dalam pandangan sufi memandang bahawa Tuhan itu adalah hakikat ujud dalam hidup ini atau hakikat kekuatan dalam hidup. Kekuatan dan tenaga itulah yang menjadi intipati gerak geri hati manusia dan hakikat atau intipati di sebalik gerak geri alam maya ini.
Sufi yang sejati ialah yang selalu ingat kepada Allah dalam setiap saat dan lidah tidak kering-kering menyebut Allah, dengan maksud nyawanya tidak putus mengingat Allah, meskipun lidah jasmaninya berdiam diri saja.
Sufi sejati telah putus segala rantai yang memberi batas dengan alam. Rohaninya terbang tinggi laksana burung yang terbang ke angkasa luas menyusup awan biru, kemudian ditinggalkannya sangkar, naik ke atas puncak gunung.
Ditinggalkannya gunung, naik ke atas awan biru, dia bertahta di atas awan biru, kemudian dipandangnya sangat lemah sekali alam semesta ini, termasuk dirinya, kian lama kian terasa semakin lemah, AKUNYA : yang akhirnya leburlah aku ke dalam hakikat AKU yang sebenarnya.
Itulah ufuk tinggi luar biasa, kadang-kadang ia berjumpa dengan orang-orang suci, atau aulia Allah, dan wali Allah, serta orang-orang ahli tasawuf. Inilah mikrajnya yang pertama bagi seorang sufi. Jadi kalau aku masih merasa aku, maka belumlah aku sampai kepada inti cinta. Kalau AKUKU : Aku leburkan ke dalam engkau, maka AKU adalah ENGKAU dalam segala hal.
Kini AKU tiada di sana. Hanya engkau tinggal semata. Sekarang AKU tidak dapat berkata-kata lagi. Bagaimana AKU menerangkan tentang DIA. Sedangkan AKU dengan AKU, dan AKU dengan di mana. Kalau AKU kembali, maka dengan AKU kembali itu terpisah. Kalau AKU lalai, dengan lalai itu, AKU diringankan.
Apabila AKU berpadu kembali barulah jiwaku menjadi tenteram dan damai dan bahagia. Inilah pendirianku atau akidahku yang terakhir. Akhirnya : AKUKU LEBUR KE DALAM KEKOSONGAN. LA HURUFIN WALA SAUTIN, ertinya : Tiada huruf, tiada suara, tiada kata-kata, tiada zat dirinya.
Jadi kalau seorang penuntut telah sampai kepada LA HURUFIN WALA SAUTIN; Maka pastilah ia faham akan apa-apa yang sedang dibicarakan ini. Jadi siapa-siapa yang belum faham, bererti dia belum bisa menangkap segala pembicaraan yang amat halus ini dan sulit baginya untuk memahami. Demikianlah apa-apa yang dapat hamba sampaikan.

No comments:

Post a Comment