Sunday 10 December 2017

TAUHID ASMA (NAMA)

TAUHID ASMA (NAMA)
Tuhan yang disembah manusia adalah Tuhan yang telah bertajalli dalam Sifat dan menyandang Asma (nama). Mustahil manusia menyembah Tuhan dalam Zat-Nya, kerana Zat-Nya selamanya misteri. Kerana Tuhan yang disembah manusia adalah Tuhan yang telah bertajalli dalam Sifat dan menyandang Asma, maka Dia tidak lagi berada pada tataran 'tunggal'. Yang 'tunggal' itu adalah Tuhan dalam Zat.
Kerana itu janganlah merasa hairan kalau terjadi banyak perselisihan hanya kerana masalah nama Tuhan. Dalam Sifat dan Asma jelas akan terjadi perbezaan, bergantung pada siapa yang mempersepsi-Nya. Dalam Sifat dan Asma, Tuhan itu berbeza-beza. Kaum kamu menyebut-Nya Allah, kaum yang lain pula menyebut-Nya Brahman, sementara yang lainnya lagi menyebut-Nya Father, lalu perbalahan pun terjadi. Perbalahan yang terjadi kerana nama.
Bagi golongan yang telah mampu menyeberangi dan memahami akan perlambangan dan nama, yang telah menyelami hakikat Tuhan di dalam dirinya dan segala yang ada, tidak akan lagi mempermasalahkan nama. Orang yang telah merasa kopi tidak akan pernah mempermasalahkan nama cairan pahit dan beraroma yang telah dihirupnya itu.
Ia akan tersenyum sahaja jika orang Inggeris menyebutnya sebagai coffee atau orang Arab menyebutnya sebagai qohwa. Mahu panggil nama seperti apa pun ia tidak akan peduli, kerana ia telah merasakannya. Sayangnya, orang seperti itu amat jarang sekali jumlahnya, sehingga perang di atas nama Tuhan sering terjadi di dunia.

No comments:

Post a Comment