Wednesday 13 December 2017

BAIK BURUK ITU BERPUNCA DARI


JIKA SEMUA BAIK BURUK ITU BERPUNCA DARI ALLAH, APAKAH PERBUATAN MAKSIAT ITU JUGA DILAKUKAN ALLAH ?
Allah itu punca segala perlakuan Baik dan Buruk TETAPI perlakuan Baik dan Buruk itu, BUKAN perlakuanNya! Gerak perlakuan itu, adalah gerak roh yang menzahirkan gerakanNya melalui jasad makhluk itu sendiri. Makanya, yang melakukan perbuatan maksiat itu BUKAN Allah tetapi adalah perbuatan makhluk yang digerakkan oleh Allah melalui Roh. Dari penzahiran RohNya itulah, perbuatan maksiat dapat dilakukan! Tanpa roh, segala perbuatan BAIK dan BURUK, tidak dapat digerakkan!
Ini bukan saja terpakai untuk perbuatan maksiat, malah perbuatan baik itu juga adalah perlakuan manusia itu sendiri yang digerakkan Allah melalui penzahiran roh ciptaanNya dan roh pula menzahirkan perlakuannya melalui jasad manusia itu sendiri.
Dua hal yang kelihatan SERUPA tetapi TIDAK SAMA.
Itulah tanda betapa Maha HebatNya Dia!`
KENAPA PERLAKUAN MAKSIAT ITU BUKAN GERAKAN ATAU PERLAKUANNYA?
Kerana Dia : Laisa kamislihi syaiun wahuwa samiu’l basir (tidak ada serupa dengan Dia sesuatupun dan Dia Maha Mendengar Maha Melihat) Asy-Syura :11
Kerana, DIA Maha Suci daripada segala sesuatu!
Bukankah dikatakan ‘sifat’ DIA itu, ‘Mukhalafatuhu lilhawadith’(berbeza dengan semua makhluk ciptaanNya). Mustahil DIA itu seperti makhluk ‘yang berkehendak’ melakukan itu dan ini, melakukan hal baik atau hal buruk.
Allah tidak tertakluk kepada hal baik dan hal buruk. Hal baik dan hal buruk itu hanya terpakai kepada makhluk sahaja. Allah itu suci dari segala yang baik dan suci dari segala yang buruk.
MAKA JIKA ITU BUKAN GERAK DARINYA, MAKA GERAK SIAPA PULA YANG MELAKUKAN MAKSIAT ITU? ADAKAH GERAK MAKHLUK?
Bukan juga gerak makhluk, kerana sifat makhluk itu berlawanan dengan sifat DIA. Jika sifat DIA itu ‘Qiyamuhubinafsihi? (Berdiri dengan sendiriNya) maka sifat berlawanan yang terpakai ke atas makhluk adalah ‘Ihtiyaj li ghairihi’ (berkehendak kepada yang lain).
Makhluk yang berkehendak kepada DIA, bukan DIA yang berkehendak kepada makhluk. Jika makhluk berkehendak kepada DIA untuk melakukan segala sesuatu, maka TANPA DIA, mustahil makhluk itu boleh melakukan segala sesuatu termasuk melakukan maksiat !
NAH.... JIKA BUKAN DIA DAN JIKA BUKAN MAKHLUK YANG MELAKUKAN PERBUATAN MAKSIAT ITU, SIAPA PULA YANG MELAKUKANNYA?
Yang melakukan perbuatan maksiat itu adalah ‘Penzahiran Roh yang bersumberkan DIA. Roh menzahirkan diriNya melalui makhluk. Makhluk itu pula dizahirkan melalui tubuh fizikal.
Jika pandangan mata seseorang itu nampak ada makhluk manusia melakukan maksiat atau jika pendengaran telinga seseorang itu mendengar ada makhluk manusia melakukan perbuatan maksiat, maka yang nyata melakukan maksiat pada penglihatan mata orang yang melihat atau pada pendengaran telinga orang yang mendengar itu, adalah makhluk manusia itu sendiri!
Jika yang dilihat mata itu makhluk manusia yang bernama KONYOL, maka si KONYOL itulah pelaku maksiatnya! Bukan Allah! Jika yang didengar telinga itu makhluk manusia yang bernama MANGKOK, maka si MANGKOK itulah pelaku maksiatnya! Bukan Allah!
Walaubagaimanapun, si KONYOL atau si MANGKOK itu, hanyalah sekadar makhluk manusia yang gerak perbuatannya, dihidupkan melalui ‘Penzahiran Roh yang bersumberkan Allah’. Tanpa sumber dari Allah, maka Roh itu tidak dapat bergerak. Bila Roh tidak digerakkan, maka jasad si KONYOL dan si MANGKOK juga tidak boleh bergerak untuk melakukan sesuatu perbuatan maksiat itu!
Di dalam satu sudut pandangan yang lain, si KONYOL atau si MANGKOK itu pula tidak wujud! Jika wujud, itu bermakna sudah ada DUA wujud. Wujud Allah dan wujud makhluk! Bagaimana boleh ada DUA wujud, sedangkan yang wujud HANYA ALLAH YANG SATU!
Jika tidak wujud, bagaimana pula kita boleh katakan yang si KONYOL atau si MANGKOK itu yang melakukan perbuatan maksiat?
Contoh : Jika si KONYOL itu wujud, sila tunjuk di mana dia?
Jika ditunjuk pada dada, yang tertunjuk itu bukan KONYOL, tetapi dada yang ada pada jasad si KONYOL. Jika ditunjuk pada muka, yang tertunjuk itu, bukan KONYOL, tapi muka si KONYOL, pipi si KONYOL, hidung si KONYOL, dahi si KONYOL. Jika didekatkan lagi tunjuknya mengena kulit, maka yang tertunjuk itu bukan KONYOL, tapi kulit si KONYOL. Ditunjuk kulit, tertunjuk urat, ditunjuk urat, terkena tulang, dipotong tulang, ternampak darah, ternampak merah, ternampak sel. Diperiksa sel, ternampak atom, namun hakikat diri si KONYOL itu, masih tak jumpa-jumpa! Yang kelihatan ada, hanyalah pada NAMA...
K O N Y O L !
JIKA MAKHLUK TIDAK WUJUD, MAKA BOLEHKAH KITA KATA DIRI SI KONYOL ITULAH YANG MELAKUKAN MAKSIAT ?
Disebabkan kita ini makhluk manusia yang bertubuh jasad dan jasad itu pula tertakluk kepada Sunatullah (undang-undang Allah), maka perlulah jasad itu mengikut undang-undang jasad yang telah ditetapkanNya. Hal jasad (fizikal) itu telah ditetapkan dalam undang-undangNya sebagai perkara zahir. Maka setiap apapun perlakuan jasad itu, ianya adalah tertakluk kepada undang-undang zahir. Undang-undang zahir hanya terpakai kepada alam zahir. Alam zahir tidak boleh melangkau alam batin. Hanya yang batin, boleh melihat perkara batin!
Jasad zahir tertakluk kepada undang-undang alam zahir. Jika jasad lapar, maka undang-undang jasad mengatakan, makanlah! Jika jasad merasa sejuk, undang-undang jasad mengatakan, pakailah pakaian supaya panas. Jika jasad ghairah, undang-undang jasad mengatakan, berkelaminlah! Semuanya tertakluk kepada hukum atau undang-undang! Jika jasad melakukan kesalahan, maka akan terhukumlah!
Makanya, jika mata si makhluk itu nampak si KONYOL yang melakukan maksiat, tentulah yang nyata pada penglihatan si makhluk itu adalah perbuatan si KONYOL itu sendiri, sebab yang melihat itu mahluk, maka makhluklah yang dia nampak!
KESIMPULANNYA
Jika yang memandang itu bersifat makhluk maka yang terpandang itu tentulah hal makhluk itu juga. Jika yang "memandang itu Tuhan” tentulah yang dipandang adalah hal Ketuhanan itu sendiri!

No comments:

Post a Comment