Sunday 11 March 2018

TAUHIDUS SIFAT : MENGESAKAN ALLAH TA’ALA PADA SEGALA SIFAT


TAUHIDUS SIFAT : MENGESAKAN
ALLAH TA’ALA PADA SEGALA SIFAT
Maksudnya mengesakan Allah Ta’ala pada segala sifat ialah: mengembalikan, dan juga meninggalkan seluruh sifat yang ada pada makhluk ini ke dalam sifat-sifat Allah s.w.t. dengan pengertian iaitu memfanakan sifat-sifat makhluk ini, ke dalam sifat-sifat Allah Ta’ala, sehingga tercapailah pandangan, bahawa tidak ada yang bersifat kecuali Allah Ta’ala sahaja.
Adapun tujuannya adalah untuk makrifat kepada Allah, sedangkan sifat-sifat yang ada pada makhluk ini adalah nyata sifat-sifat Allah Ta’ala. Dan sengaja Allah zahirkan sifat-sifatNya itu kepada hambanya atau makhluknya, kerana rahmatNya supaya makhluk itu sendiri mempunyai tangga dan jambatan untuk mengenal sifat-sifat Allah. Dan bukan jadi dinding dan hijab untuk melihat sifat-sifat Allah, Tuhan yang kita cari, dan yang kita cintai.
Adapun kaifiat dan cara memandang sifat Tuhan itu ialah:
Engkau pandang dengan hatimu dan dengan mata kepalamu dengan haqqul yakin dan dengan iktiqad yang putus, bahawasanya tidak ada yang bersifat di alam alam ini kecuali Allah. Seperti: kudrat, iradat, ilmu, hayat, samak, basyar dan kalam. Semuanya adalah sifat-sifat Allah.
Jadi sifat-sifat yang ada pada makhluk ini adalah sifat-sifat majazi belaka, bukan hakiki. Maka daripada itu nyatalah kepada kita bahawa sifat-sifat yang ada pada kita sekarang ini adalah nyata sifat-sifat Tuhan Allah semata. Kalau kita sudah mengembalikan sifat-sifat yang ada pada kita itu kepada Allah, nescaya fanalah sifat-sifat kita itu kepada sifat-sifat Allah.
Sehingga tidak ada lagi yang bersifat, kecuali Allah. Jadi jelaslah sudah kepada kita bahawa: kita ini tidak punya perbuatan, tidak punya nama, dan tidak punya sifat, kecuali Tuhan. Sekarang tinggal lagi mengesakan Allah Ta’ala pada Zatnya.
BEBERAPA PENJELASAN
Marilah kita jelaskan dahulu tentang tauhidus sifat itu tadi. Di dalam istilah ilmu tasawuf ada beberapa perkataan yang menyangkut masalah sifat itu tadi. Kata-kata itu seperti di bawah ini:
ZAIDUN MAAQAAMA, MANQALA, MANFAKA, MAAKUMA, LA’UDMA, QADIMUN, LA HANA.
Maksudnya ialah: tentang dari sifat-sifat itu sebagai berikut:
Sifat-sifat Allah itu tidaklah berdiri kepada ZAT. (tidak berdirinya seperti sifat hitam kepada sesuatu benda). Maksudnya tidak berpindah dari Zatnya, tidak terlepas daripada Zatnya. Dan tidak tersembunyi dari Zatnya, bukan bererti tidak ada. Dia qadim kerana qadimnya zat, dan tidak akan binasa selamany.
Jadi begitulah hakikat sifat-sifat Tuhan tidak pernah berpindah kepada makhluknya. Ia seperti nafi dan isbat jua, tidak bercerai dan tidak bersatu, tetapi memang satu dalam rahsia. Maka dari itu supaya hambaNya dapat mengenal sifat-sifat Tuhan. Ia zahirkan NUR dan terang benderangnya sifat-sifatNya itu kepada Roh kita, seperti sudah kita jelaskan dahulu tadi.
Jadi kalau sudah tahkik pandangan kita dengan cara demikian, nescaya fanalah sifat-sifat kita dan makhluk sekaliannya ke dalam sifat Allah. Maka dapatlah kita rasakan bahawa: tidak mendengar kita, tidak melihat kita, tidak berkata-kata kita, tidak tahu kita, melainkan dengan pendengaran Allah, dengan penglihatan Allah, dengan kalam Allah, dengan tahunya Allah. Dan tidak hidup kita ini, melainkan hayatullah zat, hingga yang lainnya daripada sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata. Demikianlah penjelasan hamba.

No comments:

Post a Comment