Wednesday 22 April 2015

Tasawuf


- HAKIKAT SYAHADAH -

Inilah satu risalah yg telah dibukakan bagiku pintu yg memberi faham didalam Sir akalku daripada Allah Azza Wajalla....

Wahai hambaKU!

Dengan namaKU yg bersifat Ar-Rahman dan yg bersifat Ar-Rahim. Segala puji itu bagiku, Tuhan Pencipta sekalian alam. Bahawa sesungguhnya AKU ALLAH, tiada Tuhan yg disembah dengan sebenar-benar melainkan AKU. Dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah hambaKU dan RasulKU kepada sekalian makhluk.

AKU-lah Zat yg Wajibul-Wujud Pencipta sekalian alam. AKU-lah Zat yg Maha Tunggal, SediaKU tiada awal permulaan, KekalKU tiada akhir kesudahan.AKU Maha Hidup dan Berdiri AKU SendiriKU, tiada sekutuKU sesuatu. AKU-lah Zat yg Maha Esa, Maha Kuasa dan Maha IradatKU diatas segala sesuatu. AKU-lah As-Shomad, tempat tumpuan hajat sekalian makhlukKU.

AKU tiada beranak dan tiada yg memperanakkan bagiKU. AKU Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu yg ghaib dan yg nyata, dan segala ilmu adalah IlmuKU. AKU Maha Mendengar lagi Maha Melihat akan tiap-tiap sesuatu. AKU-lah Zat yg Berkata-kata,  sifat KalamKU kekal adaNya dan bahawasanya AKU telah pun berkata-kata dan sedang berkata-kata dan lagi akan berkata-kata dengan para hamba pilihanKU selama-lamanya.

AKU bukanlah roh dan roh itu bukanlah AKU, sesungguhnya roh itu ciptaanKU dan cermin tempat kenyataan WujudKU. Mahasuci AKU daripada menyamai, Mahasuci AKU Tuhan Yg Maha Besar, Mahasuci AKU Tuhan Yg Maha Tinggi daripada sesuatu. Mahasuci AKU daripada pihak dan arah, Mahasuci AKU daripada berbentuk dan berupa yg kasar atau yg halus, Mahasuci AKU daripada dikandung dalam sesuatu atau diluar sesuatu, AKU tiada bertempat didalam ruang, dan AKU tiada suara yg berbunyi dan tiada berhuruf, dan tiada AKU cahaya dan tiada AKU kilauan, warna dan getaran.

Mahasuci AKU daripada disifatkan akan ZatKU, Mahasuci AKU daripada dibatasi AKU oleh sesuatu, Mahasuci AKU daripada dapat dilihat oleh segala mata dan Mahasuci AKU daripada dapat dipandang oleh segala akal. Mahasuci AKU dan Maha Agung AKU daripada dicapai oleh sesuatu, Mahasuci AKU, Maha Rahsia AKU yg tersembunyi SendiriKU.

Mahasuci AKU dengan QahharKU yg tiada kuasa seseorang pun menolakkan segala tadbirKU dan tiada kuasa keluar daripada segala takdirKU, dan AKU berbuat apa yg AKU kehendaki, dan tiada sesuatu yg dapat menahan kehendakKU. Mahasuci AKU daripada dipersoalkan, apakah, dimanakah, mengapakah, bilakah, bagaimanakah? Dan sesungguhnya AKU tidak dapat ditanyai oleh sesuatu.

Al-LatifKU adalah KelembutanKU, dan KeelokkanKU, dan KehalusanKU, dan KeindahanKU, dan KeluhuranKU, dan KetersembunyianKU didalam tiap-tiap sesuatu. Dan tiada yg menjadikan manfaat dan mudarat, kurnia dan tegah, gerak dan diam, daya-upaya dan kekuatan melainkan AKU-lah Yg Zahir, dan tiada yg dapat membinasakan sesuatu melainkan AKU. Dan tiada yg memberi rezeki kepada tiap-tiap makhlukKU melainkan AKU.

Ka'abah ialah rumahKU dibumi, dan Arasy ialah rumahKU dilangit dan adapun rumahKU yg hakiki itu ialah dalam Sir hambaKU yg telah AKU sucikan ia daripada sesuatu selainKU. Mahasuci AKU daripada berhubung dan bercerai dengan sesuatu, Mahasuci AKU daripada segala sifat yg kekurangan, dan AKU-lah Yg Maha Besar Sifat KemalatKU yg tidak dapat dikira akan bilangannya.

AKU adalah perbendaharaan yg tersembunyi, dan AKU suka bahawa AKU dikenali, maka AKU jadikan makhluk untuk mengenali DiriKU. Telah adalah AKU dan tiada sesuatu sertaKU, dan segala sesuatu binasa melainkan AKU, dan AKU sekarang sebagaimana AKU dahulu jua, Maha Esa  dengan KeEsaanKU.

Jangan engkau buka matamu melainkan untuk melihatKU, dan jangan engkau mendengar melainkan untuk mendengar suaraKU, dan jangan engkau melangkah kakimu melainkan untuk menuju kepadaKU dan jangan engkau terpesona dan kagum kepada sesuatu melainkan kepada AKU!

Tiada AKU berkehendak kepada sesuatu dan berkehendak tiap-tiap sesuatu kepadaKU, dan AKU-lah yg menentukan Qadar bagi tiap-tiap sesuatu dan telah selesai-lah segala IradatKU, dan tiada perubahan bagi takdirKU, tiada pengubah terhadap hukumanKU, dan tiada hukum melainkan hukum-hukumKU, AKU Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan AKU Yg Maha Esa, tiada sekutu bagiKU sesuatu, bagiKU semua kerajaan dan bagiKU segala pujian, dan AKU diatas segala sesuatu Amat Berkuasa.

Maka AKU-lah Zat yg disembah disetiap zaman dan disetiap tempat. AKU-lah Zat yg Awal tiada permulaan adaKU, dan AKU-lah yg Akhir tiada kesudahan WujudKU, dan AKU-lah yg Zahir dan telah nyata KudratKU dan IradatKU, dan AKU-lah yg Batin ZatKU yg Mahasuci yg terselimut ghaib didalam keghaiban Mutlak selama-lamanya, dan tiada yg Wujud dengan sebenar-benarnya didalam sekalian alam ini melainkan WujudKU, AKU-lah Zat Yg Maha Esa, Maha Tunggal, Mahasuci dan Maha Tinggi AKU, dan tiada sesuatu seumpama AKU(ALLAH), LAISA KAMISTLIHI SYAI'UN....

- KALAM QADIM

No comments:

Post a Comment