Himpunan Hadis-Hadis Rasulullah SAW
PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
Dari Anas bin Malik r.a., katanya;
Rasulullah ﷺ bersabda : “Aku telah didatangi (Jibril membawakan kepadaku) seekor ‘Buraq’, iaitu sejenis haiwan berwarna putih dan lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia dapat melompat sejauh mata memandang. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi.”
Baginda ﷺ bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitul Muqaddis.”
Baginda ﷺ bersabda lagi: “Sampai di sana haiwan itu ku tambatkan di tambatan yang biasa digunakan para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat di situ sebanyak dua rakaat.”
Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba Jibril datang membawa dua buah bekas yang satu bekas berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: “Engkau telah memilih fitrah.”
Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.”
Setelah itu barulah pintu dibukakan untuk kami. Tanpa disangka, aku berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Baginda ﷺ menyambutku dan mengucapkan ‘selamat datang’ kepadaku serta mendoakanku semoga beroleh kebaikan.
Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan dua orang; anak dan pakciknya, iaitu Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Dijawabnya: “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah سبحانه وتعالى yang bermaksud: “Dan kami telah mengangkat dia (Idris) ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima.” (Maryam : 57).
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!”.
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril!”
Jibril a.s ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s menjawab: “Muhammad!".
Jibril a.s ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami.
Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur, dimana 70,000 malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ.
Kemudian Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha, mendapatkan sebatang pohon yang daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Setiap kali ia tertutup dengan kehendak Allah ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah yang sanggup mengungkapkan keindahannya. Lalu Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu kepadaku, mewajibku solat 50 kali sehari semalam.
Sesudah itu aku turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: “Apa yang telah diwajibkan Tuhanmu kepada umatmu?” Jawabku, “Solat 50 kali.”
Kata Nabi Musa a.s: “Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku sendiri telah mencuba terbadap Bani Israil dan memberitahu mereka.”
Baginda ﷺ kemudiannya kembali kepada Tuhan lalu aku memohon, “Wahai Tuhanku! Berilah keringanan kepada umatku.”
Maka Allah سبحانه وتعالى mengurangkan lima waktu solat dari Baginda ﷺ. Baginda ﷺ kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: “Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku.” Nabi Musa a.s berkata: “Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.”
Baginda ﷺ bersabda: Baginda ﷺ tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah سبحانه وتعالى berfirman: “Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardhukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardhu sama nilainya dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardhu sama dengan lima puluh solat fardhu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya.”
Baginda ﷺ turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Nabi Musa a.s masih lagi berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan.” Baginda ﷺ menyahut: “Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhanku meminta keringanan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya.”
(Hadith Sahih Muslim : Nombor 234, Bab Israk Rasulullah ﷺ Ke Langit Dan Kewajipan Solat)
No comments:
Post a Comment