BURUNG WAJIB AKAN PULANG DENGAN SANGKARNYA
Selagi jasad ku diberi kesempatan waktu oleh Allah, selagi itu juga akan ku luahkan segala intipati ilmu yang ada di dada buat kalian! Mengarang dan terus mengarang. Semoga lagu jiwa yang aku dendangkan ini, membuat tuan-tuan dan sahabat-sahabat beroleh ilmu.
Tuan-tuan dan puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Hidup di dunia ini, tidaklah lama. Pejam celik-pejam celik, umur kita 30an. Pejam celik-pejam celik, umur kita 40an dan pejam celik-pejam celik umur kita 50an dan seterusnya menghampiri saat-saat kematian.
Masa di dunia, roh kita ditemani jasad! Setelah mati kelak, ke mana perginya jasad kita. Apakah roh selamanya akan berpisah dengan jasad? Tidak mungkin waktu datang kita bersama, bila tiba saat mati jasad bercerai dari roh? Hendaknya kalian tahu bahawa bila mana datang bersama, pulang pun hendaklah bersama. Tidak mungkin burung meningggalkan sangkar dan tidak mungkin keris tinggalkan sarung!
Dalam pengajian ilmu makrifat, setiap orang yang menuntut ilmu makrifatullah (mengenal Allah), roh tidak sekali-kali membenarkan jasad tinggal bersendirian atau berkeseorangan di dalam tanah! Pulangnya kita kelak, bukan kembali “ke rahmatul tanah”, ada pun kepulangan kita adalah bertujuan kembali “ke rahmatullah” (ke pangkuan Allah) dan bukannya ke rahmatul tanah atau ke rahmatul bumi!
Orang makrifat, tidak sekali-kali akan meninggalkan jasadnya keseorangan di dalam bumi. Datang bersama, pasti mati pun akan bersama. Burung keramat lagi sakti, pasti tidak akan sekali–kali membiarkan sangkarnya terbiar dimakan cacing! Inilah janji burung (roh) yang mengenal makrifatullah kepada sangkarnya.
Barang siapa yang tidak mahu jasadnya dimakan cacing, dimamah kala jengking dan tidak mahu diri dan jasadnya bersoal jawab dengan Mungkar dan Nakir, dipersilakan tuan-tuan mengenal Allah! Barang siapa yang dirinya mengenal Allah, sudah dengan pasti, burung akan terbang dengan sangkar-sangkarnya sekali, menemui Allah Azzawajalla!
Asal kita itu, adalah dari kampung “rahmat Allah”, maka sekembalinya kita kelak, hendaklah juga pulang ke rahmatullah dan hendaklah juga pulang ke rahmat Allah. Kampung kita bukan tanah dan bukan bumi. Kita berasal dari kampung rahmat, mari kita sama-sama kembali juga ke kampung rahmat! Itulah kampung asal kita, iaitu kampung “rahmat Allah”!
Alam bumi atau alam dunia ini, adalah alam persinggahan sementara, alam transit atau alam binasa yang tidak kekal. Buat apa nak duduk di alam yang tidak kekal, kenapa tidak sahaja kita kembali balik ke kampung asal kita, yang kekal tidak binasa? Dunia ini binasa!
Guru-guru terdahulu, selalu menaruh amanat atau selalu berpesan kepada anak-anak muridnya, agar menggali semula kuburnya. Jika didapati jasadnya masih di dalam alam kubur, dipersilakan kencing atas kuburnya! Begitulah apa yang berlaku kepada jasad-jasad Tuan Guru Haji Ahmad Al- Fatani, Tuan Guru Tok Selehong, Tuan Guru Mohd Yusof Cik Wook dan ramai lagi guru-guru kita terdahulu.
Orang yang sampai kepada peringkat makam ilmu makrifatullah (mengenal Allah) itu, jasadnya bukan di dalam bumi. Roh dan jasadnya adalah milik Allah semasa di dunia lagi. Dari alam dunia lagi, kita ini sesungguhnya telah mati dan di alam dunia lagi kita ini berserah diri, menyerah diri dan telah mengembalikan diri kepada Allah sedari di dunia dan telah menjadi milik Allah sedari dulu sampai sekarang dan sampai bila-bila!
Jika kita mengenal Allah semasa masih di dunia, di masa alam kubur esok, Munkar dan Nakir, tidak akan sekali-kali berani untuk datang menyoal tubuh kita! Sebabnya adalah kerana, diri atau tubuh atau anggota kita ini, telah menjadi hak milik kepunyaan Allah! Bila mana kita sudah kepunyaan Allah sedari di dunia lagi, tidak sekali-kali beranikah Munkar dan Nakir datang menyoal kita! Barang yang sudah kembali menjadi hak milik Allah, tidak sekali-kali berani makhluk mempersoalkannya?
Yang selalu mereka soal dan mereka seksa itu, adalah bila mana bernama Mamat bin Jusuh atau Dollah bin Mat Noor. Selagi kita bergelar Muhamad bin Muhamad, saya pasti dengan pasti sepasti pastinya, sekali pun kita berjumpa munkar dan Nakir, bukan mereka yang bertanya atau menyoal kita, malahan kita yang akan menyoal mereka.
Contoh atau seumpama!
Bila mana Munkar dan Nakir datang bertanya kepada kita ”Ma Robbuka” (siapakah Tuhan engkau). Maka jawablah dengan terang dan jelas. Tidakkah Tuhan aku dan Tuhan engkau itu sama! Bertanya lagi Malaikat Munkar dan Nakir kepada kita. Siapakah Tuhan engkau, hendaklah kita jawab dengan terang dan jelas, sesungguhnya Allah lebih mengetahui dari apa yang kita tidak tahu! Allah telah lebih dahulu tahu dari apa yang Munkar dan Nakir belum tahu! Apa yang Munkar dan Nakir nak tahu, nak soal atau nak tanya itu, sesungguhnya Allah sudah terlebih tahu!
Sedari mula kita dijadikan Allah, Allah sudah sedia tahu, apa yang akan kita jawab. Kerana apa yang akan kita jawab itu, adalah jawapan yang sudah sedia ada dalam ilmu Allah sedari azali! Yang hendak bertanya itu pun ilmu Allah dan yang hendak ditanya pun ilmu Allah, Bila mana diri kita sudah tidak ada (mati), siapa yang hendak tanya siapa? Yang menyoal pun Dia dan yang hendak di soal pun Dia. Dia seDia Dianya Dia…
Setelah segalanya tidak ada, jika segalanya sudah tidak ada, siapa yang bersifat ada? Yang bersifat ada itu siapa, cuba jawab? Makhluk itu bersifat dengan sifat muhadas (bersifat baharu), barang yang bersifat baharu itu tetap dan pasti binasa, jika makhluk binasa, yang bersifat kekal itu siapa, cuba jawab? Tidakkah yang bersifat kekal itu Allah. Bila mana Allah yang bersifat kekal, bererti makhluk bersifat binasa, setelah binasanya makhluk, siapa lagi yang nak soal siapa?
Sheikh al Islam
No comments:
Post a Comment