Monday, 23 May 2016

hakikat pokok


Perbuatan Menebang Pokok Itu, Biarlah “Dari Dalam” Biji Benih Lagi.
Mari kita sama-sama mengembara bersama saya dengan menaiki bahtera usang, yang tiada layar dan tiada kemudi lagi bernahkhoda kepada seorang nahkhoda yang telah lama mati! Nahkhoda yang selalu menerima kritikan, cacian, cemuhan dan kejian dari segenap penjuru!
Namun sebagaimana amanat guru, “patah sayap, paruh akan ku tongkat jua”. Perjuangan ini, akan tetap ku tempuh jua, biar rintangan badai yang melanda diri, biar sekali pun di hujung mata pedang! Liku-liku perjalanan orang makrifat itu, sudah sememangnya begitu. Lagikan nabi besar junjungan kita Muhammad Rasulullah, lagikan dikeji, dimaki, dihina, dibaling dengan batu dan najis, namun perjuangan tetap tidak membeku!
Orang selalunya berkata menebang pokok di atas permukaan bumi, namun ilmu makrifat itu, mengajar kita menebang pokok “di dalam benih”! Bagaimana mungkin menebang dahan, ranting, batang dan akar di dalam benih? Yang kedua, membaling batu di dalam sungai, sehingga kembali timbul di permukaan air? Ilmu ini seumpama mata mencari kening. Sebagaimana pantun Tok Kenali;
Pucuk paku sayurpun paku,
Dimasak oleh ulamak seberang.
Tengoklah aku, tiliklah aku
Aku berada ditempat terang.
Bahasa-bahasa sebegini, jarang terdengar dan jarang tergambar dalam fikiran. Namun sesungguhnya, inilah keunikan, kehalusan dan ketinggian ilmu makrifat, yang tidak ramai orang yang memahaminya. Bahasa makrifat itu, adalah bahasa seni lagi halus! Bahasa-bahasa sebeginilah selalu dipandang serong oleh golongan feqah! Kerana tidak faham untuk menyelami, maka dituduhnya ilmu ini sesat atau salah!
Mencari nama Allah yang tersembunyi itu, bukannya suruh kita meletak nama yang baru! Nama Allah yang tersembunyi itu, tidak akan dapat dilihat melalui mata zahir mahu pun mata batin. Tidak akan sama-sekali terpanggil melalui bibir mulut seorang pendusta besar (yang hanya tahu sebut)!
Carilah nama yang tidak perlu dipanggil melalui mulut, tidak terlihat melalui mata, tidak terdengar melalui telinga dan tidak tersentuh melalui tangan! Apakah itu? Inilah bahasa-bahasa guru saya dahulu, dalam mengajar ilmu makrifat kepada murid-muridnya! Menebang pokok itu, biarlah di dalam benih!
Segala-galanya Telah Tersedia Ada!
Di dalam sebiji benih, memang sudah tersedia akar, batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah! Kenapa tuan-tuan tidak nampak? Cuba tuan-tuan ambil biji benih dan tolong belahkan! Sila belah biji benih dan lihat dan lihat dan lihatlah, apakah ada nama, apakah ada nama akar, apakah ada nama batang itu, apakah ada nama dahan dan apakah ada nama…
Di situlah tersembunyinya nama yang satu, di sebalik 99 nama! Untuk itu, kenalilah diri rata-rata, moga-moga mengenal Allah nama yang nyata!
Untuk mengenal diri, mari kita pakai ilmu Tok Kenali. Ilmu Tok kenali dalam mengenal Allah itu, beliau mengambil dalil, iktibar atau kiasan dari menebang dahan, menebang batang dan mengenal buah yang di dalam biji! Setelah yang di dalam biji roh dapat ditebang, barulah mengenal ia akan Allah dengan terang lagi nyata!
Mana yang dikatakan benih? Yang dikatakan benih itu, adalah diri kita yang batin! Mana yang dikatakan batu yang dilempar ke dalam sungai, kembali timbul di permukaan air? Batu yang kembali timbul di permukaan air itu, adalah batu diri kita yang batin. Tengelamnya batu “diri zahir”, maka timbullah kembali batu diri yang sebenar-benar diri di permukaan air! Bukan batu itu, bermaksud kerikir atau batu bukit. Yang dimaksudkan batu yang timbul itu, adalah batu diri batin kita sendiri! Itulah makanya belajar ilmu makrifat itu, jangan tebang batang yang di atas tanah, tetapi tebanglah “batang yang di dalam benih!”.
Jangan cepat melatah menuduh sesat!
Itu makanya bila belajar ilmu makrifat itu, jangan cepat melatah, dengan tuduhan sesat dan tuduhan salah! Yang sesat dan yang salah itu, adalah fikiran kita sendiri. Fikiran yang disogok dengan ilmu feqah yang menebal! Belum habis belajar sudah pandai tuduh sesat dan sebagainya. Tuduh orang sesat itu, memang mudah, tetapi yang menuduh sesat itu, apakah boleh menceritakan ilmu yang tidak salah kepada kita? Mereka hanya pandai tuduh sesat tetapi yang tidak sesat, mereka tidak pandai untuk menceritakannya! Untuk itu, di hari-hari mendatang, saya minta berhati-hatilah dengan lidah tuan-tuan kiranya belum cukup ilmu di dada!
Untuk menimbulkan batu, tenggelamkan diri zahir mu. Dari situ, akan timbullah batu yang batin. Setelah timbulnya batu yang batin, maka terzahirlah roh. Setelah terzahir roh, maka timbullah nama yang tersembunyi. Nama yang tersembunyi itu, akan dengan sendirinya ternyata dengan senyata-nyatanya, bila mana diri zahir telah dikuburkan!
Cuba tuan-tuan bayangkan sekiranya diri kita tenggelam di dasar sungai atau di dasar lautan! Yang tenggelam itu, adalah jasad, manakala roh atau diri batin kita, tetap berada di atas. Seumpama kita lemas dalam sungai, sungguh pun diri zahir lemas, namun diri batin kita, tetap naik dan tetap berada di atas tebing atau berada di permukaan air meminta tolong! Semasa diri tenggelam atau diri berada di dasar sungai, terasa ingin meraung atau memekik, supaya suara kita kedengaran oleh orang!
Sungguh pun diri zahir kita telah dikatakan tenggelam, tetapi diri batin kita, tetap timbul. Seumpama kita merantau di negeri orang. Biarpun diri zahir merantau jauh, namun diri batin tetap berada di kampung halaman. Tambahan pula bila mana buah hatinya berada di kampung!
Setelah segala-galanya kita matikan di dalam wajah Allah, pada diri kita, apakah lagi yang tinggal? Mulut sudah tenggelam, mata, telinga, hidung dan segalanya, bila mana sudah tenggelam, bolehkah lagi kita bersuara?
Yang bersuara itu, bila mana ada diri dan bila mana adanya sifat mulut. Bila mana diri dan sifat mulut sudah karam di dasar lautan wajah Allah, mana ada lagi diri dan mana lagi adanya mulut? Bila mana tidak ada diri dan tidak ada mulut, mana lagi yang dikatakan berhuruf dan bersuara? Tetaplah ia tidak bersuara dan tidak berhuruf, bila mana sifat anggota jasad yang zahir beserta dengan anggota-anggota lain, akan dengan sendirinya turut lebur dalam wajah Allah!
Segala nama 99 atau 100 atau 1,000, atau 3,000 atau sejuta itu, segalanya akan turut lebur dalam nama yang satu! Yang satu itulah, yang dikatakan tidak berhuruf dan tidak bersuara!
Sheikh Al Islam
LikeShow More Reactions

No comments:

Post a Comment