MAKRIFAT TOK KENALI BUKAN FAHAMAN WAHDATUL WUJUD
Setelah memahami serba sedikit ilmu rasa Makrifat Tok Kenali, mungkin ramai yang menganggap bahawa Ilmu Makrifat Tok Kenali banyak dipengaruhi oleh ketiga-tiga fahaman ini iaitu Qodariah, Jabariah, dan Muktazilah. Ramai juga yang berfikiran bahawa ajaran makrifat Tok Kenali beranggapan manusia bersatu dengan Allah. Mereka yang beranggapan demikian diibaratkan bahawa mereka masih ‘basah’ dalam melayari bahtera makrifat Tok Kenali. Walaubagaimanapun, saya juga ‘rasa’ yang saya masih ‘basah’ dalam ilmu ini.
Secara ringkasnya ketiga-tiga mazhab di atas berpendapat bahawa segala takdir tidak dijadikan Allah. Dan antara anggapan signifikan yang lain ialah manusia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya bergantung kepada apa saja yang ditakdirkan, menganggap Al Quran dan segala yang baru akan binasa dan segala yang baik dan yang buruk adalah perbuatan Allah ke atas maknusia.
Pada hakikatnya, intipati dan permulaan ilmu rasa Tok Kenali adalah dari kejadian azali Luh Mahfuz di dalam ilmuNya. Di Luh Mahfuz, setiap sesuatu telah diciptakan bermula dari NurNya dan dengan sempurnanya bersesuaian dengan sifat salbiahnya atau sifat kesempurnaanNya.
Segala sesuatu adalah diibaratkan bayang kepada yang empunya bayang. Bayang hanya bergerak jika yang empunya bayang bergerak. Bersatu tiada dan berpisah pun tiada. Makhluk tidak pernah bersatu dengan Allah. Makhluk BUKAN Dia tapi makhluk adalah DARI Dia juga. Seperti besi yang dibakar merah oleh api hingga sukar membedakan yang mana besi dan yang mana api. Tapi pada hakikatnya api tetap api dan besi tetap besi.
Segala sesuatu yang terjadi di Luh Mahfuz adalah qada’ Nya dan dalam ilmuNya. Segala sesuatu yang terjadi di dunia pula adalah qadarNya. Maka qadar terjadi mengikut qada’.
Ajaran Tok Kenali mengajar kita percaya kepada qada’ dan qadarNya dan menyerahkan segala sesuatu kepadaNya.
Oleh kerana makhluk hanya bayang dan hanya bergantung kepada pergerakan empunya bayang, maka bayang-bayang tidak akan tahu pergerakan yang selanjutnya oleh yang empunya bayang. Makhluk berserah. Tapi berserahnya ajaran Tok Kenali bukan seperti berserah dengan memandu dengan keadaan tayar yang botak. Berusaha dengan menggantikan dengan tayar yang baru, dan baru berserah sepenuhnya kepadaNya.
Al-Quran memang dicipta olehNya dan bersifat baru dan akan binasa akhirnya. Hakikat Al-Quran dan segala sesuatu tercipta cuma dengan kalam ‘kun’. Kalam ‘kun’ telah ‘dilafazkan’ tanpa huruf dan tanpa suara. Maka segala sesuatu yang ternampak, berhuruf dan bersuara adalah baharu sifatnya. Jadinya Al-Quran itu baharu juga sifatnya jika ia berhuruf dan bersuara. Di sinilah letaknya pesanan Tok Kenali supaya jangan sampai ternampak adanya diri yang masih berhuruf dan bersuara dan hanya Allah yang mengenal Allah jua.
Untuk melafazkan kalimah-kalimah Allah di dalam Al-Quran, kita memerlukan antaranya mulut, bibir, lidah dan peti suara demi mengeluarkan lafaz kalimah Allah. Apakah Allah memerlukan anggota-anggota ini untuk berkata- kata? Itulah sebabnya Allah menzahirkan diriNya agar kalimah-kalimahNya dapat dilafaz dan didengar oleh diri yang lain yang telah dizahirkan olehNya.
Setelah kita dizahirkanNya, maka tugas kita hanya menyatakan Dia Allah. Allah yang AHAD. Segala sesuatu yang telah dizahirkan adalah bayang-bayangNya jua.
Sekali lagi ditekankan bahawa antara Allah dan hambanya, bersatu tidak dan berpisah pun tidak.
Al-Hallaj
No comments:
Post a Comment