Tuesday, 3 May 2016

hakikat karomah

KAROMAH
Tuan-tuan, puan-puan, muslimin dan muslimat serta para sahabat ku yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian.
Ramai para sahabat yang bertanyakan kepada saya tentang perkara-perkara aneh yang berlaku semasa menuntut ilmu makrifat, Didatangi oleh perkara-perkara ajaib semasa membaca kitab, ada yang mendapat semasa mengerjakan bersembahyang, semasa berzikir dan tidak kurang pula yang mendapat anugerah karomah melalui mimpi dan tidak kurang yang mendapat karomah melalui semasa jaga.
Contoh:
Seumpama; didalam masa mereka sedang bersembahyang, tiba-tiba dirasakan tubuh mereka hilang, sehingga mereka meraba-raba mencari kemana perginya tubuh mereka. Diraba-raba tubuhnya dengan tangan, ternyata tubuhnya ghaib. Tangan yang memeluk tubuh itu, seolah-olah seumpama tembusnya cahaya melalui cermin.
Ada yang sedang berada didalam bilik yang bertembok batu, tiba-tiba jasadnya boleh tembus keluar bilik yang berdinding batu. Semasa beliau didalam bilik, beliau kunci (selak) pintu itu dari dalam, setelah jasadnya diangkat keluar melalui tembok dinding batu, apabila beliau nak masuk kembali kedalam bilik, beliau terpasa memecah pintu.
Semasa mengerjakan sembahyang fardhu, ada seorang sahabat kita yang melihat dirinya keluar dari dirinya. Tiba-tiba diri ada dua, satu diri yang asal dan satu lagi diri yang duduk dihadapan mereka. Diri yang dihadapan mereka bertanya kepada beliau, “siapa diri kau?”.
Selepas baca kitab, ada seorang sahabat yang yang dapat melihat bulan terbelah menjadi dua dan tiba-tiba kembali menjadi satu dan berulang lagi menjadi dua dan terdapat tulisan ayat Al-Quraan disekeliling bulan.
Ada yang sewaktu menunaikan sembahyang hajat di waktu tengah malam, mereka sembahyang didalam rumah yang ada bumbung, tetapi seolah-olah bumbung rumah itu telah terbuka dan mereka dapat melihat bintang yang bertaburan dilangit, seolah-olah rumah itu tidak ada beratap. Mereka dapat melihat langit dengan bintangnya!.
Ada yang melihat bulan dilangit beserta dengan wajah seorang gurunya pada bulan. Datang mengajar ilmu didalam mimpi. Ada yang didatangi gurunya memintanya untuk menjadi seorang guru.
Ada yang menunaikan haji, mereka merasa was-was terhadap ilmu yang dipelajari dan rasa tidak yakin kepada kitab yang dibaca, lalu bermunajat dihadapan Kaabah supaya Allah menunjukkan sama ada ilmu yang dipelajari dan apakah kitab yang dibaca itu benar atau salah. tiba-tiba didatangi Baginda Rasulullah. Baginda Rasulullah keluar pintu Kaabah dengan nyata dihadapan mata. Rasulullah keluar dari pintu Kaabah, lalu memberi tahu yang bahawasanya ilmu makrifat yang sedang dipelajari, kitab yang dibaca serta guru yang mengajar ilmu itu, adalah benar!.
Perkara yang sama juga telah berlaku kepada salah seorang sahabatnya tetapi secara mimpi (pada beliau perkara itu berlaku secara sedar semasa dihadapan pintu Kaabah manakala sahabat beliau perkara yang sama berlaku secara mimpi).
Karomah adalah diantara kelebihan atau anugerah yang aneh dan pelik-pelik oleh Allah kepada penuntut ilmu makrifat atau kepada mereka-mereka yang beramal soleh.
Anugerah karomah itu, bukan ilmu tanggapan, ilusi, angan-angan, rasional, ramalan, agak-agak atau ilmu yang dibuat-buat oleh pancaindera!.
Ilmu karomah itu, adalah ilmu melalui pengalaman sendiri atau ilmu yang melalui penghayatan rohani atau melalui pengalaman kejiwaan melalui diri sendiri. Pengalaman yang pelik-pelik atau yang aneh-aneh itu, dialami apabila kita dalam berkeadaan bersungguh-sungguh menghampiri ilmu Allah!.
Dalam menempuh perjalanan rohani yang bersungguh-sungguh itu, dirinya akan menempuh perubahan perasaan atau perubahan pengalaman kerohanian. Perubahan atau pengalaman itu, akan terjadi sendiri secara tiba-tiba tanpa diundang, tanpa ikhtiar (diluar usaha) atau tanpa mengharap kedatangan karomah!.
Karomah Melalui Ikhtiar
Tingkatan, kedudukkan atau maqam karomah itu, ada setengah dari setengahnya mendapat karomah melalui usaha atau ikhtiar semasa mengerjakan wirid, zikir atau melalui cara berpuasa. Karomah seumpama ini, adalah karomah yang bukan dari kerana ingat kepada Allah, tetapi karomah yang datangnya dari kerana “ingat kepada bilangan buah tasbih” dan “ingat kepada bilangan banyaknya rakaat sembahyang!”.
Karomah golongan ini, bukan datangnya dari kerana ingat kepada Allah (tuan yang empunya nama!), tetapi karomah kerana wirid, karomah zikir atau karomah kerana puasa.
Karomah Yang Sebenar
Adapun sebenar-benar karomah yang keramat itu, adalah karomah yang datangnya dari penghayatan hati atau pengalaman kejiwaan ingat kepada Allah Taala itu sendiri ( Iaitu, ingat kepada tuan yang empunya nama). Penghayatan rohani itu, adalah pengalaman yang mendatangi terus ke lubuk hati, tanpa disedari, tanpa disengajakan atau tanpa diusahakan ke arah karomah.
Tidak sedikitpun mengharap karomah Allah, mereka benar-benar ikhlas ingat kepada Allah dengan hati yang tembus kepada Allah. Melihat Allah itu, seolah-olah melihat air melalui gelas kaca yang jernih. Terlihat air melalui gelas kaca yang jernih, sehingga penglihatan itu tidak sedikitpun terhalang oleh gelas kaca!.
Sehubungan dengan itu, inginlah saya nyatakan disini kepada sahabat-sahabat dan para pembaca yang budiman sekalian, bahawa perkara “penghayatan hati atau pengalaman kejiwaan” ini, adalah suatu anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya!.
Karomah Hasil Dari Ingat Kepada Allah
Inilah hasil atau beruntungnya bagi mereka-mereka yang benar-benar ikhlas, suci dan bersih hatinya dalam menuju ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itu, adalah ingatan yang jangan sampai bercampur dengan ingatan kepada yang lain. Tidak terhalang kepada pandangan yang lain, sebagaimana melihat air melalui gelas kaca yang jernih. Melihat keburukan, sesungguhnya disebalik keburukan itu, ada Allah. Melihat kebaikan, sesungguhnya disebalik keburukan itu, ada Allah. Buruk atau baik itu, sesungguhnya dari ciptaan dan datangnya dari ilmu Allah. Tidak terjadi sebesar zarah sekalipun tanpa izin Allah. Jadi lilhatlah, pandanglah dan ingatlah Allah disebalilk perkara buruk dan baik!.
Karomah Itu Berbeza-Beza
Anugerah pengalaman atau anugerah penghayatan aneh dan yang pelik-pelik atau yang luar biasa itu, berbeza-beza dari seorang dengan orang yang lain. Sungguhpun begitu, anugerah itu akan mendatangi kita, sesuai atau setimpal dengan persiapan atas usaha pencari ilmu. Sesuai juga dengan kebersihan penyerahan diri nurani pencinta ilmu kepada Allah Taala!.
Anugerah itu, bukan sahaja kerana ia anugerah. Anugerah itu, adalah seimbang dengan tingkatan kebersihan hati terhadap “penyerah diri” kepada Allah Taala. Makin bersih penghayatan penyerahan diri kepada Allah, semakin cemerlang dan semakin meninggi tingkatan anugerah Allah. Anugerah Allah itu, adalah bersifat individual. Anugerah yang berupa individual itu, tidak sama kualitinya antara seseorang dengan orang yang lain!.
Anugerah yang tidak disangka-sangka kebiasaannya boleh kita bahagikan kepada 4 peringkat.
1) Anugerah Karomah Cinta
2) Anugerah Karomah Air Mata (Tiada Gambaran Kata)
3) Anugerah Karomah Fana (binasa atau karam)
4) Anugerah Karomah Kelebihan zahiriah
Karomah Cinta
Bagi ahli makrifat, mereka tidak mengharapkan karomah sehingga boleh berjalan diatas air, karomah berzikir sehingga jasad boleh terangkat atau terbang kelangit atau bertujuan untuk mendapat karomah supaya tembak tidak meletup!.
Karomah bagi orang makrifat itu, adalah karomah cinta kepada Allah!. Karomah cinta kepada Allah itu, adalah karomah yang paling tinggi dalam tingkatan ilmu makrifat.
Buat sembahyang dengan kerana cinta!, buat puasa dengan kerana cinta!, buat zikir dengan kerana cinta dan buat ibadah-ibadah lain, adalah diatas dasar cinta kepada Allah Taala.
Cinta kepada Allah Taala itu, adalah cinta sejati dan cinta yang tulus. Tumbuhnya iman kedalam hati orang-orang mukmin (orang mengenal Allah) itu, adalah diatas dasar cinta. Orang mengenal Allah yang sejati itu, adalah orang yang tentunya teramat rindu dan cinta kepada Allah. Sekiranya belum tumbuh rasa nikmat cinta kepada Allah, bererti belum beriman seseorang itu kepada Allah Taala.
Admin Al-Hallaj

LikeShow More Reactions

No comments:

Post a Comment