Thursday 15 March 2018

tokoh bukan Islam

Tiap kali ada tokoh bukan Islam meninggal dunia, tak kira artis atau saintis, ruang komen di Facebook mesti akan dipenuhi dengan dua reaksi ekstrim daripada netizen. Kali ini pemergian Stephen Hawking pun tak terkecuali.
Yang pertama golongan yang perasan alim ulamak. Golongan ini suka bagi komen "kesian, pandai tapi kafir", "tak penting pun berita dia mati, bukan ulama Islam pun" "dia ni ateis tau". Golongan kedua pula terlebih perasan open minded: "may his soul rest in peace", "may his soul shine in heaven". Apakah.
Kedua-dua golongan ini sebenarnya sama bengap. Kedua-dua pun buang masa. Sebenarnya tak perlu pun kita nak berdebat samada mendiang akan masuk syurga atau neraka. Hal itu di luar skop kita sebagai manusia ("mortal"). Kita mengingati kematian tokoh-tokoh yang meninggal dunia ni cuma untuk mengambil perkara-perkara positif sebagai teladan dan iktibar. Dalam kes Hawking, pegangan ateis beliau tidak menghalang kita untuk belajar sikap kental beliau dalam meniti hidupnya yang begitu mencabar.
Hawking mengidap penyakit aneh pada umur 21. Doktor kata beliau akan mati dalam masa 2 tahun. Bukan semua orang boleh menanggung dugaan sebegini, lebih-lebih lagi Hawking memasang cita-cita besar untuk menjadi saintis hebat. Kita ni kalau duit habis hujung bulan pun meroyan macam langit nak runtuh. Itu sebabnya riwayat hidup Hawking merupakan satu sumber inspirasi kepada kita untuk menghadapi segala rintangan dalam hidup.
Sama seperti Ludwig van Beethoven yang walaupun cacat pendengaran tapi mampu menghasilkan karya muzik yang paling agung dalam sejarah, atau Helen Keller yang cacat penglihatan tapi berjaya menjadi penulis yang terkenal. Kita nak ambil semangat je, mereka ateis kah tak ateis kah, masuk syurga kah neraka kah, itu adalah urusan Maha Penghukum.
Dan pada masa yang sama, Hawking juga diingati sebagai orang yang memberi sumbangan besar kepada bidang astrofizik. Amat rugi kalau kita menolak atau ambil ringan hasil penemuan Hawking hanya semata-mata berdasarkan alasan "dia ateis".
Den bukan orang fizik, jadi doksah lah nak kupas tesis PhD Hawking atau bukunya. Tapi sebagai seorang yang pernah jadi Buddhis, pernah jadi Kristian, pernah jadi agnostik dan pernah jadi ateis sebelum menemui jalan ke al-Haq, topik-topik yang dibincangkan oleh Hawking tentang kosmologi dan "origins of universe" (asal usul alam semesta) tidak asing bagi den.
Topik sebegini berkait rapat dengan akidah kita. 1000 tahun sebelum Hawking dilahirkan, para ulama kita sudah pun berdebat tentang alam semesta (al-ʿālam), samada ia bersifat azalī ("primordial") atau abadī ("eternal"). Malah di kalangan masyarakat Minangkabau pun ada menyebut tentang "alam terkembang". Dari mana orang Minang belajar pasal "expanding universe" kalau bukan melalui kitab alim ulama lama-lama?
Kita boleh tidak bersetuju dengan Hawking, apa yang lebih penting ialah proses menimba ilmu tentang kejadian alam semesta itu akan mengukuhkan lagi akidah kita. Kerana alam semesta merupakan apa yang Hossein Nasr sebut sebagai "al-Qurʾān al-takwīnī" yang mengandungi "āyāt" (tanda-tanda) yang membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan Maha Esa. Sesiapa yang bersungguh-sungguh mengkaji alam semesta, mereka berada di landasan yang betul untuk mendekati dan mengenal Maha Pencipta.
Malah perkara ini diulangi dalam mahakarya Hawking, "A Brief History of Time" (1988) di mana beliau berkata "If we find the answer to that (on why the universe exists), it would be the ultimate triumph of human reason, for then we would know the mind of God". Meskipun Hawking sendiri tidak percaya tentang kewujudan Tuhan, tetapi ini tidak bermakna penemuan Hawking tentang "expanding universe", "multiverse" dan "black hole" tidak bernilai bagi kita, atau tidak menyumbang kepada pemahaman kita tentang alam dan kejadian.
Dan tak semua saintis Barat menolak kewujudan Tuhan. Cuma majoriti mereka berpendapat bahawa premis kewujudan Tuhan tidak perlu dalam menerangkan proses kelahiran alam semesta. Ada di antara mereka yang berpegang kepada kepercayaan agnostik (percaya ada Tuhan, tetapi tak kenal Tuhan), dan ada yang berpegang kepada kepercayaan deis (percaya Tuhan mencipta alam, tetapi tidak bercampur tangan dalam hukum alam).
Ni yang kita patut bincangkan. Sepertimana para mutakallimin seperti al-Ghazālī dan al-Rāzī di era klasik bersungguh-sungguh mendalami ilmu kalam yang dikatakan berpunca daripada falsafah orang kafir (Greece) dengan tujuan membela Islam dan berdakwah, begitu juga kita patut mengemaskini ilmu kita tentang perkembangan sains masakini untuk berdakwah secara berkesan.
Bukannya bergaduh pasal Hawking masuk syurga atau masuk neraka. Punca kejahilan dunia Islam hari ini ialah umat kita dah tak tahu apakah "priority" kita, dan masalah itu jelas terpapar dalam sikap netizen kita.
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (āyāt) bagi orang-orang yang berakal (ulūl albāb)." – Surah Ali Imran, ayat 190

No comments:

Post a Comment