SIRI PENGENALAN: PENGERTIAN ISLAM
A) Islam mengikut istilah bahasa.
Islam itu adalah selamat, nasihat, tunduk, patuh menurut ajaran Rasulullah saw dalam perkara ucapan serta pekerjaan anggota zahir.
B) Islam mengikut pandangan syarak.
Islam itu adalah mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan perbuatan.
C) Islam mengikut pandangan makrifat.
Islam itu agama menyembah Allah, agama mengenal Allah (makrifat), agama yang merangkumi unsur iman dan ihsan. Islam itu adalah agama kefahaman dan penghayatan ilmu roh rukun islam. Islam bukan agama ikut-ikutan, bukan agama pada panggilan nama dan bukan pada keturunan. Islam bukan sahaja pada pekerjaan anggota zahir, Islam itu adalah pekerjaan ibadah zahir yang disertai ibadah anggota batin. Iaitu pekerjaan anggota hati (roh) yang mengenal Alllah swt, melalui ilmu makrifat.
Mengikut pengertian dan penafsiran makrifat, berdirinya agama itu, adalah berlandaskan Islam, berdirinya islam itu, adalah berlandaskan iman, berdirinya iman pula, adalah berlandaskan ihsan, manakala berdirinya ihsan itu, di atas dasar mengenal Allah swt.
Agama itu, bermakna nasihat manakala islam itu, bermakna selamat. Apabila kedua-dua perkataan itu digabungkan, ianya membawa maksud nasihat yang selamat. Agama islam itu adalah merupakan jalan nasihat yang selamat yang sesuai sepanjang zaman. Nasihat yang benar-benar selamat dan berguna itu, hanya agama dari agama islam. Agama islam mengandungi tiga unsur, pertama unsur islam, kedua unsur iman, dan ketiga unsur ihsan. Inilah yang membezakan agama islam dengan agama-agama yang lain. Unsur-unsur seumpama itu tidak dimiliki oleh agama-agama lain.
Apakah Asas Rukun Islam?
Mengikut hukum syarak islam itu berasaskan kepada lima perkara rukun.
1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Menunaikan sembahyang lima waktu
3. Berpuasa di bulan ramadan
4. Mengeluarkan zakat
5. Menunaikan ibadah haji ke Mekah
2. Menunaikan sembahyang lima waktu
3. Berpuasa di bulan ramadan
4. Mengeluarkan zakat
5. Menunaikan ibadah haji ke Mekah
Bagaimana Mengukur Kebenaran Islam?
Islam adalah agama Ad-Din, yang selamat, sesuai sepanjang zaman. Islam adalah agama yang benar dan diterima di sisi Allah Ta'ala. Agama yang mengamal, menganjur dan mengajak umatnya kepada cara hidup yang sempurna dan cara hidup yang selamat. Menganjur umatnya menjunjung titah perintah Allah dan menjauhi segala larangan dan apa-apa yang ditegah syarak. Islam yang sebenar itu, bukan sahaja bergantung kepada rukun yang lima. Rukun islam yang lima perkara itu, hanya membicarakan soal perkara syariat, sekadar yang boleh dipandang dengan mata zahir sahaja. Seumpama memandang kepada pohon secara zahir, tanpa melihat rahsia biji benih yang tersembunyi roh di sebaliknya.
Islam pada tahap makrifat, bukan sahaja belajar ilmu rukun, ilmu pokok atau ilmu pohon, tetapi merangkumi ilmu yang membicarakan perkara rahsia roh yang tersembunyi di sebalik rukun, di sebalik pokok dan di sebalik biji benih.
Benarnya islam itu, bukan sahaja menjaga ibadah zahir, tetapi juga menjaga ibadah batin (roh ibadah). Menunaikan rukun islam yang lima itu, hanya sekadar zahirnya sahaja, sedangkan ia hendaklah diamalkan berserta dengan roh rukun. Dari segi pekerjaan ibadah zahirnya, ramai di kalangan kita yang boleh mengamalkannya dengan baik dan sempurna, termasuklah anak-anak kita yang masih di bawah umur yang belum akil baligh. Seandainya kanak-kanak di bawah umur, boleh mengerjakan ibadah sebagaimana kita orang dewasa, apalah nilai ibadah kita, jika dibandingkan dengan ibadah kanak-kanak! Kononnya ibadah kanak-kanak itu, tidak dikerjakan dengan roh ibadah, manakala diri kita yang dewasa ini, manakah roh ibadah kita!
Bagi memastikan Islam sebagai agama yang benar, ianya memerlukan kepada kefahaman dan penghayatan kepada roh ilmu yang tersembunyi di sebalik amal. Kebenaran Islamnya itu, bukan datangnya dari keturunan, baka, cara berpakaian, cara pemakanan atau ucapan lidah. Kebenaran islam itu datangnya dari kefahaman dan penghayatan roh islam itu sendiri. Pekerjaan dalam perkara islam itu, boleh ditunaikan melalui perbuatan zahir, seumpama ucapah syahadah, sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir atau amalan sunat. Perkara Islam itu boleh dibuat-buat, diperlihat, dipertontonkan dan boleh dizahirkan kepada khalayak ramai. Islam boleh dinilai dan boleh diukur melalui banyak dan panjangnya amal yang dikerjakan.
Perkara islam boleh dilebih dan boleh dikurangkan, mengikut kemampuan. Seumpama memperbanyak dan memperpanjangkan ibadat melalui sembahyang, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Perkara-perkara ibadat seperti di atas, adalah bagi menggambarkan kelebihan islam pada pandangan mata zahir dan kepada mata dunia. Manakala islam pada pandangan Allah, bukan terletak pada banyak atau lebihnya ibadah, Islam pada Allah itu, terletak pada roh ibadah (roh rukun islam).
Bagi menggambarkan yang kita ini islam, ianya boleh diperlihat melalui memperbanyakkan ibadah seumpama memakai songkok, ketayap, jubah, selalu menggenggam buah tasbih, mulut tidak henti mengucap zikir, selalu ke masjid dan sebagainya. Dari sudut pandangan zahir, islam itu boleh dibuat-buat. Di ukur melalui beberapa banyak ibadah yang mampu dan yang terdaya kita kerjakan. Manakala bagi Allah, islam itu bukan terletak pada kuantiti ibadat. Yang diambil kira oleh Allah itu adalah kualiti hatinya.
Perkara islam itu, boleh dipamer pada tanda nama, boleh diperlihat melalui cara berpakaian. Dengan melihat Abdullah pada tanda nama, kita sudah tahu bahawa, dia seorang islam. Dengan mempamerkan cara berpakaian atau ibadah sahaja, sudah cukup menggambarkan kita seorang islam. Inilah cara islam menzahirkan keislamannya, melalui rukun islam yang lima, Sesungguhnya Allah tidak memandang di atas rupa atau kelakuan zahir seseorang.
Manakala islam yang sebenar itu, bukan boleh disukat dan bukan boleh diukur melalui banyaknya ibadat. Bukan terletak pada banyaknya puasa, zikir atau sembahyang. Kebenaran islam itu, terletak pada kefahaman dan kesedaran dalam roh rukun islam (roh syahadah, roh sembahyang, roh puasa, roh zakat dan roh haji).
Islam yang sebenar, tidak dapat disukat dan diukur oleh akal manusia, hanya sukatan Allah sahaja, yang dapat mengukurnya, melalui cermin hati yang makrifat kepadaNya. Pekerjaan ibadah di dalam islam itu, tidak untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai. Keislaman, keimanan dan ketaatan seseorang kepada Allah itu, biarlah Allah sahaja yang timbang, nilai dan hanya Allah sahaja yang tahu. Malaikat sekalipun, tidak dapat untuk mengukur keislaman sebenar seseorang, apa lagi manusia biasa seumpama kita.
Islam yang sebenar itu, adalah islam yang menjangkaui sempadan rukun dan melewati sempadan syarat. Islam sebenar bukan sahaja dengan cara mengerjakan perkara-perkara rukun yang zahir semata-mata, tanpa disertai roh rukun islam yang terkandung di dalamnya. Benar atau tidaknya islam itu, bergantung kepada roh rukun islam, bukannya bergantung kepada perkara rukun islam yang lima.
Benar atau tidak dan sah atau batalnya islam yang kita anuti itu, bergantung kepada roh rukun islam itu sendiri. Sesempurna mana pun roh rukun islam itu, jika tidak bermula dengan mengenal Allah, ianya sama sekali tidak akan diterima Allah. Itulah makanya bermulanya agama itu hendaklah terlebih dahulu mengenal Allah, selepas mengenal Allah dalam agama, barulah dikatakan kita itu islam, selepas islam, barulah boleh masuk iman ke dalam dada.
Firman Allah :
5.Surah Al-Mā'idah (Verse 3)
ﺣُﺮِّﻣَﺖْ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢُ ﺍﻟْﻤَﻴْﺘَﺔُ ﻭَﺍﻟﺪَّﻡُ ﻭَﻟَﺤْﻢُ ﺍﻟْﺨِﻨﺰِﻳﺮِ ﻭَﻣَﺎ ﺃُﻫِﻞَّ ﻟِﻐَﻴْﺮِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺑِﻪِ ﻭَﺍﻟْﻤُﻨْﺨَﻨِﻘَﺔُ ﻭَﺍﻟْﻤَﻮْﻗُﻮﺫَﺓُ ﻭَﺍﻟْﻤُﺘَﺮَﺩِّﻳَﺔُ ﻭَﺍﻟﻨَّﻄِﻴﺤَﺔُ ﻭَﻣَﺎ ﺃَﻛَﻞَ ﺍﻟﺴَّﺒُﻊُ ﺇِﻟَّﺎ ﻣَﺎ ﺫَﻛَّﻴْﺘُﻢْ ﻭَﻣَﺎ ﺫُﺑِﺢَ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﻨُّﺼُﺐِ ﻭَﺃَﻥ ﺗَﺴْﺘَﻘْﺴِﻤُﻮﺍ ﺑِﺎﻟْﺄَﺯْﻟَﺎﻡِۚ ﺫَٰﻟِﻜُﻢْ ﻓِﺴْﻖٌۗ ﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﻳَﺌِﺲَ ﺍﻟَّﺬِﻳﻦَ ﻛَﻔَﺮُﻭﺍ ﻣِﻦ ﺩِﻳﻨِﻜُﻢْ ﻓَﻠَﺎ ﺗَﺨْﺸَﻮْﻫُﻢْ ﻭَﺍﺧْﺸَﻮْﻥِۚ ﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺃَﻛْﻤَﻠْﺖُ ﻟَﻜُﻢْ ﺩِﻳﻨَﻜُﻢْ ﻭَﺃَﺗْﻤَﻤْﺖُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﻧِﻌْﻤَﺘِﻲ ﻭَﺭَﺿِﻴﺖُ ﻟَﻜُﻢُ ﺍﻟْﺈِﺳْﻠَﺎﻡَ ﺩِﻳﻨًﺎۚ ﻓَﻤَﻦِ ﺍﺿْﻄُﺮَّ ﻓِﻲ ﻣَﺨْﻤَﺼَﺔٍ ﻏَﻴْﺮَ ﻣُﺘَﺠَﺎﻧِﻒٍ ﻟِّﺈِﺛْﻢٍۙ ﻓَﺈِﻥَّ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻏَﻔُﻮﺭٌ ﺭَّﺣِﻴﻢٌ
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakan nya), kerana sesungguh nya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Ilmu Islam melalui rukun Islam yang lima itu, hanya sekadar menggambarkan perkara-perkara rukun asas yang zahir sahaja. Manakala roh Islam yang sebenar itu, ada tersembunyi di sebalik rukun yang lima, yang hanya dapat dizahirkan melalui ilmu makrifat. Dengan hanya mengerjakan rukun Islam yang lima, belum cukup sempurna, bagi menggambarkan Islamnya seseorang, tanpa disertai roh rukun Islam. Islam bukan sekadar belajar rukun yang tertulis dan yang tersurat sahaja, Islam mewajibkan kita belajar perkara rahsia yang tersirat di sebaliknya.
Kebenaran, kesucian, kesempurnaan, kebaikan dan selamatnya Islam itu, terletak kepada mengenal Allah (makrifat) melalui roh rukun Islam. Di sebalik syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji itu, terdapatnya roh di sebaliknya. Seumpama buah kelapa, di sebalik kulit kelapa itu terdapat isinya. Begitu juga dengan rukun islam, kebenaran islam itu terletak kepada isinya bukan pada kulitnya. Pelajari dan tuntutlah rukun Islam itu, sehingga sampai kepada tahap isinya (hakikatnya).
Bagaimana Mengenal Allah Melalui Roh Rukun Islam Mengikut Ilmu Makrifat?
Mengenal Allah melalui roh rukun Islam itu, adalah dengan cara mengenal roh syahadah, roh sembahyang, dua kalimah syahadah (rukun Islam yang pertama), ia bukan sahaja terletak pada pergerakkan kedua bibir atau bunyi suara yang besar dari halkum. Roh atau jiwa Islam itu, terkandung dan tersirat di sebalik ucapan dan tersirat di sebalik pergerakkan bibir, iaitu dengan mengetahui maksudnya yang tersirat di sebalik lafaz. Dengan memahami maksud kalimah nafi di dalam perkataan (ﻻ ), memahami kalimah isbat dalam perkataan (ﺍﻟﻪ ), memahami kalimah sabit dalam perkataan (ﺍﻻ) dan kalimah (ﺍﻟﻠﻪ). Jangan hanya sekadar tahu sebut atau lafaz sahaja, tanpa mengetahui buah butir, hujung pangkal dan tanpa mengetahui roh atau jiwa syahadah itu sendiri. Untuk menghayati roh kalimah syahadah, kita hendaklah memahami sifat 20. Seumpama dalam kalimah nafi (ﻻ ) ada mengandungi sifat 20 yang bernama wujud dan seterusnya sila rujuk dalam artikel yang bertajuk sifat dua puluh dan dua kalimah syahadah.
Begitu juga halnya dalam ibadah sembahyang (rukun islam kedua). Roh sembahyang itu, terkandung di dalam perkara khusyuk dan zouk. Untuk mencapai rasa khusyuk dan zouk dalam sembahyang, kita hendaklah terlebih dahulu memperzahirkan wajah Allah. Selain kita berdiri qiam (sebelum bertakbir), hendaklah kita nampak wajah Allah terlebih dahulu dengan nyata, terang dan jelas, barulah boleh kita angkat anggota tangan untuk bertakbir. Bertakbir pula, bukan sahaja dengan anggota tangan zahir, ianya juga perlu diangkat beserta dengan anggota tangan yang batin, iaitu beserta dengan roh atau jiwa sembahyang itu sendiri. Jika kita tidak mengenal anggota batin (tidak mengenal roh), bagaimana hendak membawanya berserta kita? Untuk mendapat roh sembahyang (khusyuk dan zouk), hendaklah kita mengenal roh terlebih dahulu.
Roh Islam itu berada di dalam rukun puasa. Roh rukun puasa pula berada di dalam hati (roh) yang berpuasa. Puasa bukan sahaja dengan cara menahan diri dari makan dan minum. Menahan anggota zahir dari makan dan minum itu, adalah termasuk sebahagian kecil dari puasa, manakala sebahagian besar dari puasa itu, adalah terletak pada puasa batin (puasa hati atau roh). Puasa batin itu, adalah dengan menahan jiwa (roh) dari terpikat, terpaut atau terikat kepada dunia. Hati kita jangan sampai terhenti kepada kecantikan perempuan, kekayaan harta, kebesaran pangkat, keangkuhan diri, kelazatan makanan, kemewahan hidup dan beramal pula jangan terhenti kepada ganjaran pahala atau balasan syurga. Inilah di antara roh puasa yang harus menyertai puasa zahir.
Roh zakat pula, bukan sahaja terletak pada ukuran pengorbanan dalam bentuk harta benda atau berupa wang ringgit sahaja. Roh zakat yang sebenar itu, adalah terletak kepada keikhlasan pengorbanan anggota tangan dalam menolong orang, keikhlasan anggota kaki dalam keluar mencari rezeki, keikhlasan anggota mulut dalam menasihati dan mengajar ilmu. Keikhlasan menghulur bantuan kepada yang memerlukan, tanpa mengharap balasan. Malahan menolong anjing tersepit dan membuang duri di jalanan, adalah juga dikira zakat anggota. Zakat menurut ilmu makrifat itu, adalah membawa dan mengheret anggota zahir supaya turut serta bersama-sama dengan anggota batin dalam menunaikan taat, patuh, taqwa, rajin beribadah dan pengorbanan jiwa kepada Allah Ta'ala.
Begitu juga dalam ibadah haji (rukun islam kelima). Roh islam di dalam rukun haji itu, adalah berada pada roh haji itu sendiri. Dengan cara pergi ke Tanah suci Mekah, kita telah diiktiraf oleh mata dunia sebagai seorang yang bertaraf haji.
Menurut hukum syarak dan ilmu syariat, ianya telah diiktiraf telah menunaikan rukun islam yang kelima (haji). Jika ianya sekadar memenuhi syarat dengan menunaikan rukun semata-mata tanpa disertai roh haji, ianya tidak bermakna dan tidak membawa erti pada islam. Islam atau tidaknya kita itu, bukan bergantung kepada menunaikan rukun atau syaratnya, tetapi ianya bergantung kepada menunaikan roh rukun dan roh syarat itu sendiri. Haji yang sebenar mengikut suluhan ilmu makrifat itu, selain tujuan beribadah kepada Allah, ianya adalah bertujuan melontar, menjual, membakar dan membuang sifat mazmumah (sifat buruk), dengan menggantikannya dengan sifat mahmudah (sifat terpuji).
Apalah erti, makna, faedah dan menafaatnya kita menunaikan haji ke tanah suci Mekah, jika baliknya dari tanah suci, kita masih berperangai jahat dan berkelakuan buruk, sebagaimana sebelum kita ke Tanah suci. Ukuran haji sedemikian, adalah haji yang tidak ada roh, yang tidak ada beza di antara pergi dengan tidaknya. Haji yang berserta roh itu, adalah haji yang kesucian hatinya, seumpama kapas putih dan seumpama bayi yang baru lahir.
Tahap rukun islam terletak kepada menunaikan perkara rukun dan syarat, manakala tahap roh Islam itu, adalah terletak kepada menunaikan roh rukun dan roh syarat. Roh kepada syarat dan rukun itu, terletak kepada perkara Iman, Islam tanpa iman adalah Islam yang tidak ada roh. Mengenal Allah melalui Islam itu, adalah mengenal Allah melalui roh rukun. Setelah mengenal roh rukun, barulah kita itu dianggap benar-benar islam dan benar-benar ada roh Islam. Mengenal Allah melalui Islam mengikut pandangan ilmu makrifat itu, adalah dengan cara mempelajari ilmu roh (roh rukun islam) dan mengerjakan segala rukun Islam dalam beribadah kepada Allah, disertai dengan roh. Amiin²
Admin Sheikh Al-Islam

No comments:
Post a Comment