Saturday 28 March 2015

Ulama patani


Sejarah ringkas hidup ayahnda al-Walid:


📖  Manaqib Syeikh Baba Wan Abdul Aziz bin Ahmad Syafi’e al-Fathoni Makki

✏  1. Nama dan Nasabnya

Beliau adalah Wan Abdul Aziz bin Wan Ahmad Syafi'e bin Wan Ahmad bin Wan Muhammad Al-Fathoni, (Wadil Husein Teluk Manok).

✏  2. Kelahiran dan Keperibadiannya

Beliau dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Pungguk yang terletak di Daerah Legih (Ra-ngae) dalam Wilayah Narathiwat pada 14 Sya'ban 1366 bersamaan 3 Julai 1947.

Beliau mendapat pendidikan awal dari kedua orang tuanya yang faqih dalam bidang agama. Ketika berusia 10 tahun, keluarga beliau telah berpindah ke Kampong Lubuk Lesung (kampung ayahnya) yang tidak berapa jauh dari Kampung Pungguk. Di sana beliau telah mula belajar ilmu agama dan diasuh sendiri oleh bapa saudaranya yang bernama Zakaria bin Ahmad (seorang murid kepada Saiyid Abbas bin Abdul Aziz Al-Maliki) yang alim dalam bidang fiqh dan tasawwuf. Dibesarkan dalam persekitaran ahli ilmu, ia berperanan membentuk peribadi beliau sebagai seorang ahli pencinta ilmu.

Jiwa dan tingkah laku beliau dibentuk oleh ayah tercinta. Hal ini mendorong beliau untuk bersungguh-sungguh belajar ilmu agama dari ayahnya dan ulama-ulama lain yang berada di Fathoni Darussalam.

Beliau membesar sebagaimana kanak-kanak lain, tetapi kecerdasaan dan kepintaran beliau tampak jelas berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang seusianya pada masa itu.

Pada suatu hari, beliau bersama ibunya pergi menziarahi kampung halaman nenek moyang beliau di Telok Manok. Di sana beliau telah bertemu dengan seorang wali allah. Wali tersebut berkata: "selepas ini kambing tak akan datang lagi ke Telok Manok dan semua akan pergi ke Pungguk" (maksudnya manusia akan berbondong-bondong menimba ilmu di Pungguk, yang mana sebelumnya gedung ilmu agama berpusat di Teluk Manok). Kata-kata wali Allah ini menjadi kenyataan kemudiannya selepas Baba Aziz mula membuka majlis pengajian beliau sendiri di Pondok Pungguk. Ternyata puluhan ribu manusia datang menghadiri majlis ilmu beliau dan menjadi tumpuan orang ramai.

✏  3. Pendidikan

Ayah beliau tidak lupa untuk memasukkan anaknya di Lembaga Pendidikan Agama, dimulai dari Maktab Ta`lim al-Qur`an. Di sini beliau belajar membaca al-Qur`an dan tajwid sehingga beliau mahir membaca al-Qur'an.

Di samping itu, beliau turut mengikuti pengajian sekolah Kerajaan Thailand sehingga Lulus Kelas 4 Sekolah Dasar. Beliau telah belajar menulis dan membaca dalam Bahasa Siam.

Seterusnya beliau belajar di Ma`had Nahdhatu as-Sunnah di Fathoni. Di ma'had ini beliau telah belajar pelbagai disiplin ilmu agama seperti ilmu Nahu, Saraf, Fiqh, Tauhid, Tasawuf dan lain-lain.

Kesungguhan beliau untuk menuntut ilmu agama amat tinggi hingga beliau berazam untuk melanjutkan pelajarannya di Makkah al-Mukarramah. Keinginan ini turut diinspirasikan daripada banyaknya ahli-ahli ilmu Fathani yang telah berangkat ke Makkah bagi tujuan tersebut.

Ketika berusia 21 tahun, pengajian dan cita-cita beliau untuk ke Mekah tertangguh sementara. Ini kerana beliau telah diundi untuk menjadi tentera (di negara Thailand, warganegara yang berusia 21 tahun wajib diundi dan sesiapa yang terpilih wajib berkhidmat selama 2 tahun di dalam tentera). Semasa beliau berkhidmat di dalam tentera, beliau telah ditawarkan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi disebabkan oleh ketokohan dan kepintaran yang dimiliki oleh beliau. Namun tawaran tersebut ditolak kerana beliau ingin meneruskan cita-cita berangkat ke Makkah bagi mendalami ilmu agama.

✏  4. Keberangkatan ke Makkah

Sudah menjadi kebiasaan bagi para penuntut ilmu dari Fathoni untuk mendalami ilmu agama di Makkah al Mukkaramah yang terkenal sebagai gedung ilmu. Sejak dari zaman Syeikh Daud al-Fathani lagi, Makkah merupakan gedung dan pusat ilmu bagi para penuntut ilmu dari seluruh dunia (ketika itu). Inilah yang mendorong beliau begitu bersemangat untuk ke Makkah bagi mengikut jejak langkah ulama-ulama Fathani yang terkenal pada masa dahulu.

Pada tahun 1969, ketika beliau berumur 23 tahun - bagi tujuan melanjutkan pengajian agama ke Makkah, kedua orang tua beliau telah mengorbankan sejumlah harta mereka untuk menyediakan dana bagi perbelanjaan pengajian dan tambang beliau ke Mekah. Akhirnya beliau telah berangkat ke tanah suci Makkah yang berkah.

Selesai melaksanakan ibadat haji dan umrah serta menziarahi Rasulullah s.a.w, maka beliau telah kembali ke Makkah dan menetap di sana.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian beliau di Madrasah as-Saulatiyah ke tingkatan Thanawiyah. Di sana beliau begitu tekun meneruskan pengajian sehingga selesai.

Kemudian beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah Darul Ulum Makkah ke tingkatan Aliyah (Ijazah). Ketika itu, mudir pusat pengajian tersebut adalah al-Muhaddis Musnid Dunia Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.

Namun kerana merasakan masih tidak cukup dengan ilmu yang diperolehi, beliau turut mengikuti halaqah-halaqah pengajian ulama-ulama besar yang berada di Makkah. Beliau melazimi menghadiri majlis-majlis ilmu Saiyid Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Malik al-Hasani, Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyaath al-Maliki al-Makki dan lain-lainnya. Walaupun telah bertahun-tahun menuntut ilmu agama, kehausan terhadap ilmu agama menyebabkan beliau terus menuntut ilmu kepada anak guru beliau iaitu al-Muhaddits Syaikh Saiyid Muhammad bin Alawi bin Abbas al-Malik al-Hasani. Tawadhuknya beliau dalam menuntut ilmu, tetap mencari ulama-ulama untuk menambah ilmu yang ada walaupun sudah memiliki ilmu yang cukup untuk bergelar seorang ulama.

Antara guru-guru beliau adalah seperti berikut ini :

• Wan Ahmad Syafi’e bin Ahmad (ayah beliau)
• Asy-Saiyid Alawi bin Abbas al-Maliki al-Hasani
• Asy-Syaikh Muhammad Amin Qutbi
• Asy-Syaikh Hasan bin Muhammad al-Masyaath al-Maliki al-Makki
• Asy-Syaikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani
• Asy-Syaikh Ismail bin Zein al-Yamani
• Asy-Syaikh Abdullah bin Sa`id al-Lahji
• Asy-Syaikh `Awadh Manqusy az-Zabidi
• Asy-Syaikh Abdul Hamid al-Banjari
• Asy-Syaikh Abdul Karim al-Banjari
• Asy-Syaikh Abdul Fatah Husein Rawa
• Asy-Syaikh Zakaria bin Abdullah Bila
• Asy-Syaikh Husein As-Siraji
• Bapa saudara beliau Wan Zakaria bin Ahmad (menerima Tarikat Syatariah)
• Al-Habib Abubakar Attas Al-Habsyi
• Al-Habib Abdulkadir bin Ahmad As-Saqqof
• Al-Habib Ahmad Masyhur bin Taha Al-Haddad
• Al-Habib Ali bin Ja’far Al-Aidrus (Syeikh futuh beliau )
• As-Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sya’rawi
• As-Syeikh Muhammad Ali As-Shobuni
• Al-Habib Zein bin Ibrahim Bin Sumait
• As-Saiyid Muhammad bin Alwi bin Abbas Al-Maliki Al-Hasani

Dan masih banyak lagi ulama-ulama yang beliau luangkan masa untuk berziarah dan menerima ijazah dalam beberapa bidang ilmu.

✏  5. Kembali ke Tanah Air

Setelah 23 tahun menetap di Makkah, maka pada tahun 1992 bersamaan 1412 Hijrah, beliau telah pulang ke Fathani. Beliau mulai berfikir untuk mendirikan sebuah pondok pengajian agama di Menara (Narathiwat). Pada tahun 1993 beliau mendirikan sebuah pondok pengajian bernama Al Muassasah As-Tsaqafah Al-Islamyyah Al-Ahliyyah. Pada awalnya, beliau mengajar mengikut kaedah sistem halaqah tradisional seperti ulama-ulama Fathani yang terdahulu. Namun disebabkan ada sebahagian dari pelajar beliau yang buta huruf, beliau merubah sistem pondok ini kepada sistem pondok moden. Ia menggunakan sistem 2 aliran iaitu mengabungkan sistem akademik dan agama.

Beliau turut menyumbang tenaga dalam organisasi ulama Fathani untuk memperkasakan peranan ulama. Beliau kemudiannya  menubuhkan  satu organisasi perhimpunan ulama Fathani (Jam'iyyah Ulama Fathani), dengan sistem talaqi syeikh bi syeikh (ulama belajar dengan yang lebih senior ).

Disebabkan peranan beliau yang aktif sebagai Ketua Ulama Fathani pada masa itu, beliau telah menerima tekanan dan sekatan dari pemerintah Thailand pada masa itu. Beliau turut menghadapi pelbagai ancaman serta beberapa usaha untuk menangkap dan membunuh beliau.

Pada tahun 2004, atas arahan murabbi beliau (guru rohani) iaitu Habib Ali bin Jaafar Alaydrus Batu Pahat dan pesanan dari sahabat beliau iaitu wali Aziz Kemaman, beliau telah berhijrah ke Malaysia dan meninggalkan negeri yang tercinta.
Beliau juga diharamkan kembali ke Thailand selama 5 tahun yang berakhir pada 2011.

✏  6. Dakwah Di Malaysia Serta Hubungan Dengan Ulama Yang Lain

Negeri Kelantan menjadi negeri pilihan beliau untuk menetap dan mengajar ilmu agama. Ramai penuntut ilmu yang mengambil istifadah dan ilmu dari beliau. Beliau juga menjadi tempat rujukan dalam permasalahan agama oleh ramai pihak. Beliau turut mengajar dan berdakwah di Johor, Kemaman (Terengganu), Cherating (Pahang) dan Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, beliau telah mengajar di Majlis Pengajian Ba'lawi Kuala Lumpur dan juga di Khazanah Fathaniyyah. Di sini beliau menekankan peranan kitab-kitab turats karangan ulama' nusantara yang begitu berharga supaya terus dipertahankan oleh generasi-generasi kemudian. Beliau turut menebarkan ilmunya di sekitar Kuala Lumpur dan anak muridnya datang dari seluruh pelusuk Malaysia.

Beliau juga sangat menekankan peranan ilmu tasawwuf dalam membentuk peribadi dan akhlak umat ini. Selanjutnya, beliau menerapkan konsep pentarbiahan akhlak dan rohani kepada murid-murid beliau secara am dan khusus.

Beliau sendiri telah berguru dengan beberapa orang guru yang arif billah dalam bidang Tasawwuf. Di antaranya adalah Kiyai Soleh Awang Besar (Mekah), Sayyid Alawi (Mekah), Baba Hasan (Tok Ayah Bukit, Kuala Kawi, Narathiwat), Habib Anis (Solo), Habib Ali Jaafar Al-Aydrus (Batu Pahat) dan Habib Alwi (Surabaya).

Di samping itu beliau turut berdamping dengan beberapa orang sahabat di Kelantan yang mahir dalam bidang Tasawwuf. Di antaranya Ustaz Mustafa al-Jiasi, Pok Su Musa (Tumpat), Tok Ayah Mat (Lundang Paku), Haji Ismail (Pauh Lima), Pak Su Mid (Gunung), Syeikh Dato' Murtadza (Negeri Sembilan) dan lain-lain.

Beliau turut mempunyai hubungan yang baik dengan ulama-ulama antarabangsa dari kalangan Ulama Ahlu Bait dari Yaman, Mesir, Mekah, Madinah, Indonesia dan lain-lain. Dalam masa yang sama beliau turut mendapat penghormatan dari ulama yang berlainan firqah sehingga beliau pernah dikunjungi oleh ulama-ulama Syiah bertaraf Ayatollah dari Tehran dan juga golongan Orientalis Antarabangsa, Sami Buddha dan lain-lain.

Di samping itu juga beliau turut mempunyai hubungan rapat dengan syeikh-syeikh Tariqat dan ulama-ulama lain seperti Syeikh Nazim al-Haqqani (Naqsyabandi Haqqani),  Syeikh Yusuf Bakhour (Syaziliah), Syeikh Murtadza (Ahmadiah Idrissiyah), Habib Salim As-Syathiri, Habib Zain Sumait, Habib Omar Bin Hafidz, Habib Omar al-Jufri (Madinah) dan  sebagainya.

Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Pertubuhan Al-Sofwa Indonesia yang mana ia merupakan satu badan alumni murid-murid Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki yang berpusat di Mekah.

Dalam masa yang sama beliau turut bersahabat karib dengan Tuan Haji Yaakob (Kemaman) dan Allahyarham Haji Amir (Shah Alam) yang juga merupakan anak angkat kepada Abuya Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki.

Beliau amat menekankan pentingnya penyatuan ummah dan mengelakkan permusuhan sesama umat Islam walaupun berbeza dari segi firqah dan pandangan.

Beliau turut berperanan menyiapkan pelajar-pelajar terutamanya dari Thailand untuk di hantar ke luar negara bagi menuntut ilmu agama. Ini sebagai persediaan untuk membentuk barisan pelapis ulama pada masa akan datang.

Beliau turut mengasaskan idea penubuhan beberapa buah pondok dan madrasah di Johor, Kemaman, Kok Kapok dan Kuang.

✏  7. Kembali Semula ke Thailand

Setelah menghabiskan beberapa tahun berdakwah di Malaysia, beliau berazam untuk kembali semula ke Thailand dan meneruskan aktiviti dakwah di sana.

Pada tahun 2010, dengan izin Allah - beliau telah memilih kampung Kok Kapok, Daerah Takbai dalam Wilayah Narathiwat sebagai tempat untuk beliau mendirikan sebuah zawiyah. Dengan bantuan dan galakan oleh sahabat beliau iaitu Habib Umar al-Jufri (Madinah) serta sumbangan dari dermawan yang lain, beliau mula mendirikan zawiyah ini.

Pada tahun 2012, zawiyah tersebut mula dibuka secara rasminya. Beliau telah meminta Al-Habib Umar bin Hafidz untuk memberi nama kepada zawiyah tersebut. Alhabib kemudiannya telah memberikan nama ribath tersebut dengan nama “Badrut Tammam”.

Zawiyah ini dibangunkan khusus untuk memberikan tarbiah rohani dan pendidikan akhlak kepada murid-murid beliau. Pada setiap Ramadhan, zawiyah ini memainkan peranan yang penting untuk mendidik murid-murid beliau dalam menjalankan perintah agama mengikut manhaj islam yang sebenar dan menjadikan tasawwuf sebagai tunjang utamanya.

Beliau juga membuka zawiyah ini untuk memberi peluang kepada semua orang yang ingin mendapatkan pendidikan dalam bidang tasawwuf seterusnya membersihkan rohani dan memperbaiki akhlak mereka.

Daurah dan Tarbiyyah Khusus disepanjang bulan Ramadhan telah berjaya dilakukan pada tahun 2012 dan 2013 di ribath ini (sebelum adanya zawiyah ini, Daurah Ramadhan ada dilakukan di rumah kediaman beliau di Wakaf Che Yeh, Kelantan pada tahun 2010 dan 2011). Antara pengisian di dalam daurah Ramadhan ialah pengajian kitab secara bertalaqqi, tazkirah, majlis khatam Al-Quran (selepas Subuh dan Asar), Solat Tarawih dan Witir, Qiamulail serta setiap murid juga diarahkan untuk melakukan amalan berzikir, berselawat dan lain-lain bagi tujuan pembersihan rohani.

Pada masa-masa tertentu juga beliau akan menjalankan daurah khusus untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid beliau dari masa ke semasa.

Dalam masa yang sama, beliau juga turut memainkan peranan penting di dalam organisasi ulama Fathoni. Beliau menyumbangkan buah fikiran, usaha dan tenaga beliau untuk memperkukuhkan Persatuan Ulama Fathani, yang mana sebelum ini ia diibaratkan sebagai kapal tanpa nakhoda pada masa itu.

✏  8. Pulang Ke Rahmatullah

Setelah sekian lama mengabdikan dirinya untuk berdakwah, mengajar dan mendidik dengan penuh keikhlasan, beliau telah jatuh sakit lalu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital HUSM Kubang Kerian, Kelantan pada 6 April 2014 bersamaan 7 Jamadil Awal 1435 Hijrah.

Pada penghujung hayatnya, beliau menekankan pentingnya pembersihan rohani melalui jalan Tasawwuf dan beliau sendiri berpegang kepada thoriqot Beliau juga turut berpesan kepada murid-murid beliau untuk terus beramal dan berthoriqat ini.

Antara kata-kata dan pesanan terakhir beliau yang sering diungkapkannya adalah “Jangan Takut Selain Allah, Jangan Harap Selain Allah, Jangan Cari Selain Allah” dan  "Betulkan Lisan, Hati dan Perbuatan Dalam Setiap Tindakan”.

Beliau meninggalkan 10 orang anak (dari 3 isteri) seperti berikut :

Dari isteri pertama (Fathimah Azzahra binti Abdurrahman - telah meninggal dunia), beliau dikurniakan seorang anak iaitu Abdul Jawwad.

Dari isteri kedua (Maryam binti Ismail), beliau dikurniakan 5 orang anak  iaitu Aminah, Ummu Kalsum, Khadijah, Amirah dan Abdul Hadi.

Dari isteri ketiga (Rahimah binti Abdul Manaf), beliau dikurniakan  4 orang anak iaitu Ammar al Basyir, Sufaiyah, Mursyida dan Abdul Muiz.

Berita kewafatan beliau ini telah tersebar ke seluruh dunia Islam dan ia merupakan satu kehilangan yang besar kepada ummah di zaman ini. Beliau merupakan seorang ulama sufi (yang alim, lagi abid dan mujahid) yang sangat tawadhuk, istiqamah, tegas, berani dan ikhlas dalam mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam.

Beliau dikebumikan di sisi kediaman dan ribath beliau di kampung Kok Kapok sesuai dengan wasiat beliau semasa hidupnya.

Semoga Allah mencucurkan rahmat dan maghfirahnya kepada guru kita Syaikh Wan Abdul Aziz bin Ahmad Syafi'e al-Fathoni al-Makki.

( Al-Fatihah ila arwah Mursyid wa Murobbina ).

1 comment:

  1. Ralat : Baba meninggal pada 7 jamadil akhir bukan 7 jamadil awal. Mohon dibetulkan. Terima kasih.

    ReplyDelete