• Apa itu IS?
 1 / 1 
KUMPULAN militan Negara Islam (IS) adalah kumpulan militan radikal yang menggunakan nama Islam untuk berjihad, dan kini telah menguasai sebahagian besar kawasan di timur Syria, di utara serta barat Iraq.

Kumpulan ini menggunakan taktik ganas termasuk pembunuhan beramai-ramai musuh yang ditangkap, penculikan, dan memenggal kepala petugas media dari negara luar sehingga menyebabkan campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyerang kubu kumpulan itu di Iraq.

Matlamat IS adalah untuk mewujudkan sistem pemerintahan khalifah, iaitu negara yang diperintah oleh seorang pemimpin politik dan agama.

Walaupun pada masa ini IS masih beroperasi di Iraq dan Syria, kumpulan itu telah berjanji akan memperluaskan jajahan ke Jordan dan Lebanon serta membebaskan Palestin.

Ia menerima sokongan militan Islam dari seluruh dunia dan menuntut semua ahlinya bersumpah setia kepada ketuanya, Ibrahim Awad Ibrahim Ali al-Badri al-Samarrai, atau lebih dikenali sebagai Abu Bakr al-Baghdadi.

Penubuhan IS boleh dikaitkan dengan kumpulan Tawhid wa al-Jihad yang diwujudkan oleh seorang lelaki Jordan, Abu Musab al-Zarqawi pada 2002. Setahun selepas pencerobohan AS di Iraq, Zarqawi menyokong Osama Laden, ketua kumpulan pejuang Al-Qaeda di Afghanistan.

Zarqawi kemudian menubuhkan kumpulan Al-Qaeda di Iraq (AQI) yang menjadi kumpulan utama dalam pemberontakan terhadap pencerobohan AS.

Selepas kematian Zarqawi pada 2006, AQI mewujudkan pertubuhan penaung, Negara Islam di Iraq (ISI). Kumpulan ini bagaimanapun berjaya dilemahkan oleh serangan AS dan penubuhan Majlis Sahwa oleh pemimpin puak Arab Sunni yang menolak keganasan ISI. Selepas menjadi pemimpin kumpulan itu pada 2010, al-Baghdadi membina semula keupayaan ISI. Menjelang 2013, ia sekali lagi melancarkan puluhan serangan dalam tempoh sebulan di Iraq. Ia juga menyertai pemberontakan terhadap Presiden Syria, Bashar al-Assad dengan menubuhkan Barisan al-Nusra.

Pada April 2013, al-Baghdadi mengumumkan penggabungan tenteranya di Iraq dan Syria serta penubuhan Negara Islam di Iraq dan Jajahannya (ISIL).  Pada 2014, ISIL berjaya menakluki bandar Mosul di Iraq dan menuju ke arah Baghdad. Akhir bulan itu, selepas menggabungkan pegangannya terhadap puluhan bandar dan pekan, ISIL mengisytiharkan pembentukan negara khalifah dan menukar namanya kepada Negara Islam (IS).

Kumpulan militan paling kaya

Beberapa anggaran menyebut IS dan sekutunya mengawal kira-kira 40,000 kilometer persegi tanah di Iraq dan Syria, hampir sama dengan keluasan Belgium. Ada juga yang percaya IS mengawal hampir 90,000 kilometer persegi kawasan, sama seperti keluasan Jordan. Kawasan jajahan IS termasuk bandar Mosul, Tikrit, Falluja dan Tal Afar di Iraq, bandar Raqqa di Syria dan medan minyak, empangan, jalan utama serta pintu sempadan.

Sementara itu, seramai lapan juta orang dipercayai hidup di bawah kawalan penuh atau kawalan separa IS, dengan kumpulan itu melaksanakan undang-undang syariah tegas seperti memaksa wanita memakai purdah, orang bukan Islam perlu membayar cukai khas (jizyah) atau memeluk Islam dan melaksanakan hukum hudud.

Dipercayai sehingga kini, ada seramai 31,000 anggota IS di Iraq dan Syria. Menurut satu rekod, lebih 12,000 orang luar dari sekurang-kurangnya 81 negara, termasuk 2,500 orang dari negara Barat ke Syria untuk berperang sejak tiga tahun lalu.

Pejuang IS mempunyai akses dan berkeupayaan menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk pelancar roket, senjata antipesawat dan sistem peluru berpandu darat-ke-udara mudah alih. Mereka memiliki kereta kebal dan kenderaan berperisai yang dirampas daripada tentera Syria dan Iraq. IS dipercayai mempunyai rantaian bekalan fleksibel bagi memastikan bekalan peluru dan senjata kecil.

IS dilaporkan mempunyai AS$2 bilion (RM6.5 bilion) wang tunai dan aset, menjadikannya kumpulan militan terkaya di dunia. Pada peringkat awal, kebanyakan sokongan kewangannya datang daripada orang perseorangan di negara Teluk Arab.

IS adalah pertubuhan yang mempunyai sumber kewangan sendiri, dengan mengumpul jutaan ringgit setiap bulan daripada medan minyak dan gas yang dikawalnya, selain cukai, tol, penyeludupan, ugutan dan penculikan. Pencerobohannya di Iraq memberikan kumpulan itu akses kepada wang tunai yang disimpan di bank utama di bandar yang ditaklukinya.