Wednesday, 19 July 2017

ct amy

Kisah mengenai Siti Aminah atau dikenali juga sebagai Siti Jalang merupakan salah satu lagenda yang terkenal di Johor. Untuk pengetahuan pembaca orangkelantan.com, Siti Aminah sebenarnya berasal dari Kelantan tetapi telah dijadikan sebagai anak angkat oleh keluarga bangsawan Bugis. Oleh itu, Siti Aminah telah dibesarkan di Johor dan kisah mengenai beliau juga cukup terkenal dalam kalangan masyarakat johor. Kisah Siti Aminah ini juga pernah dijadikan drama arahan Sabri Yunus yang diberikan tajuk ‘Sanggul Beracun’, lakonan Erra Fazira dan Namron.

erra_fazira
Kisah mengenai Siti Aminah ini dicatatkan telah berlaku sekitar 200 tahun dahulu selepas kejadian ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’. Siti Aminah digelar sebagai Siti Jalang kerana beliau dikatakan telah berkahwin dengan 100 orang lelaki dan setiap perkahwinannya juga tidak kekal lama. Kisah ini terjadi kerana, Siti Aminah dikatakan mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan menjadi rebutan ramai lelaki. Keluarga angkat Siti Aminah risau akan keselamatannya lalu mewariskan satu ilmu untuk melindungi kesucian dirinya daripada lelaki yang menyimpan niat tak baik terhadap beliau.
Setelah meningkat dewasa, Siti Aminah telah dipinang oleh seorang lelaki yang juga daripada keluarga bangsawan. Majlis perkahwinan mereka diadakan dengan meriah sehinggalah pada malam pertama mereka, Siti Aminah telah diceraikan. Hal ini terjadi kerana, suami Siti Aminah gagal menemui sebarang tanda bahawa Siti Aminah merupakan seorang perempuan. Kejadian yang sama berulang sehinggalah cukup 99 orang suami yang dikahwini oleh Siti Aminah. Disebabkan inilah, Siti Aminah telah digelarkan sebagai Siti Jalang oleh masyarakat Johor.
makam
Siti Aminah sekali lagi berkahwin dan ianya merupakan perkahwinan beliau yang ke 100. Suami Siti Aminah yang ke 100 merupakan seorang yang warak dan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi. Ilmu yang ada pada suaminya ini berjaya membuka kunci nafsu yang diwariskan oleh keluarga angkat Siti Aminah. Perkahwinan beliau yang ke 100 ini dikatakan kekal hingga ke akhir hayatnya. Namun, mereka tidak mempunyai anak kerana usia Siti Aminah pada waktu itu telah meningkat tua. Siti Aminah telah dimakamkan di Kampung Tembioh, Kota Tinggi.
siti aminah
Namun begitu, ada juga versi lain yang turut disebarkan tentang kenapa Siti Aminah digelar Siti Jalang dan sebab beliau yang perlu berkahwin dengan 100 orang lelaki. Ada yang mengatakan, Siti Aminah asalnya mempunyai wajah yang buruk dan sering diejek oleh penduduk kampung sehinggalah beliau berjumpa dengan seseorang yang menawarkan peluang untuk mencantikkan wajah tetapi dengan syarat beliau perlu berkahwin dengan 100 orang lelaki dan setiap suaminya perlu dibunuh untuk mengekalkan kecantikkannya dengan menitiskan racun yang diperbuat daripada bisa kala jengking yang disimpan disebalik sanggulnya. Dikatakan Siti Aminah telah terminum racunnya sendiri bersama suaminya yang ke 100.
makam siti
Satu lagi versi mengatakan, setiap kali ada lelaki yang meminang Siti Aminah, Siti Aminah akan mengenakan hantaran keranda dan sepapan kain kapan sebagai persiapan mati lelaki tersebut. Namun, syarat yang dikenakan tidak menjadi penghalang bagi lelaki yang terpikat dengan kecantikkan Siti Aminah walaupun sedar akan nasib yang bakal menimpanya. Dikatakan, suami Siti Aminah yang ke 100 tidak meninggal dan kekal bersamanya hingga ke akhir hayat. Disebabkan perkahwinannya dengan 100 lelaki inilah, Siti Aminah telah digelarkan sebagai Siti Jalang oleh masyarakat Johor.
Pun begitu, tidak dapat dipastikan versi mana yang paling tepat berkenaan Lagenda Siti Aminah ini. Apa yang pasti, Siti Aminah berasal dari Kelantan namun lagenda tersebar luas di Johor. Mungkin tak ramai orang Kelantan yang tahu akan lagenda ini kerana Siti Aminah telahpun berpindah ke Johor sewaktu beliau masih kecil dan kisahnya juga hanya tersebar di Johor terutamanya di Kota Tinggi.

No comments:

Post a Comment