Saturday, 29 July 2017

AHLI SUFI vs AHLI TAREKAT

AHLI SUFI vs AHLI TAREKAT
---------- ---------- ---------- ----------
Tidak semestinya semua ahli sufi itu adalah ahli tarekat, dan tidak semestinya semua ahli tarekat itu adalah ahli sufi. Sebagai contoh, di antara seribu ahli tarekat, hanya seorang sahaja di antara mereka yang menjadi sufi.
Fariduddin Attar telah berkisah di dalam karya puisi monumentalnya 'Musyawarah Burung'. Di antara sekian ratusan burung yang mengembara untuk mencari siapakah calon si maharaja burung, hanya 30 sahaja yang hidup dan sampai di hadapan pintu agung istana maharaja itu.
Dan setelah pintu agung itu terbuka, maharaja yang mereka sangkakan akan muncul di hadapan mereka dan sesudah tersangat lama mereka merindui untuk bertemu dan ingin menyaksikan wajah maharaja itu, rupa-rupanya hanya kosong nan hampa. Kosong itulah Yang Maha Ada tanpa ada yang selainNya.
Lalu 30 burung itupun dikurniakan kesedaran makrifat oleh maharaja, bahawa DiriNya yang mereka cari selama ini sebenarnya ada di dalam diri mereka sendiri yang bergelar ANA AL HAQ - AKU Yang Benar.
Perjalanan ibadah antara ahli sufi dan ahli tarekat itu pun berbeza. Ahli sufi lebih mengutamakan cara bertafakur. Tanpa tafakur, maka tiadalah nilainya sesuatu ibadah itu dari segi syariat dan hakikat.
Tafakurnya ahli sufi tidak memandang kepada amalnya atau mengharapkan kurniaan maqam, kerana ahli sufi adalah golongan yang berpegang kuat kepada tauhid dan tawakal kepada Allah sahaja, maka amal perbuatan yang tampak pada diri ahli sufi itu adalah dari Allah jua sebagai pelaku ibadah yang sebenarnya.
Ahli sufi berprinsipkan kepada sebuah hadis Nabi saw bahawa sesaat bertafakur itu sama nilainya dengan 70 ribu tahun ibadahnya orang awam.
Manakala ahli tarekat adalah golongan yang masih memandang kapada amalnya dan bergantung kepada hasil usahanya sendiri. Ahli tarekat sangat perlu mengharapkan maqamat untuk mencapai kedudukan di sisi Allah.
Lantaran itu, ahli tarekat adalah mereka yang berjalan mencari Allah. Sedangkan ahli sufi adalah mereka yang terbang menuju Allah.

No comments:

Post a Comment