GURU MURSYID
Bermula guru-guru yang Mursyid itu, bukannya boleh dilihat pada segi zahir sahaja tentang kedudukannya. Atau pun dari jumlah ilmu syariatnya. Atau tau pun berapa panjang serbannya. Atau pun betapa warak wataknya. Atau pun berapa banyak kitabnya. Atau pun betapa jernih air mukanya. Atau pun betapa bertanda hitam di dahinya. Atau pun betapa bersopan santun orangnya, dan sebagainya.
Tetapi ianya hendaklah dipandang dari segi perawakan ilmunya. Ini disebabkan banyak mereka yang Mursyid selalu saja menyelubungi ilmunya. Merahsiakan ilmunya. Kadang-kadang orang ramai tidak mengetahui bahawa ia merupakan seorang Mursyid yang mempunyai martabat yang tertinggi di sisi Tuhan.
Seperti kata Pujangga:
"Jangan sekali-kali kamu menilik pakaian seseorang itu menandakan ianya terdiri daripada golongan orang-orang bijak pandai, alim, lebai, atau berketurunan baik-baik, kerana walaupun memakai pakaian kain sutera dan intan berlian sekalipun. Yang kera itu tetaplah kera juga”
Oleh itu bagi mereka yang hendak mencari ilmu Hakikat dan ilmu Makrifat, hendaklah mencari dan menuntutnya dengan guru-guru yang Mursyid. Walaupun mereka ini terdiri daripada seorang yang miskin, hina dina, waima seorang yang perawakan gila di mata manusia.
Tidak terkecuali juga, seorang Mursyid itu mungkin merupakan seorang yang perawakan jahil, sama ada daripada golongan rakyat atau pun raja. Sama ada tempatnya di masjid, atau di tepi jalan, atau di bandar, atau di hutan. Pendek kata, belajarlah ilmu ini di mana-mana saja, asalkan ia daripada guru yang Mursyid.
No comments:
Post a Comment