Tuesday, 3 May 2016

hakikat zuhud


Maqam Zuhud
Zuhud itu ertinya, tidak tamak, tidak mengutamakan atau tidak berkeinginan kepada kepada balasan, upah, imbuhan atau ganjaran!.
Dalam maqam zuhud, kita dikehendaki menjauhi dari perkara-perkara syubhat (perkara-perkara yang mendatangkan was-was). Manakala didalam perkara zuhud pula, kita diasas atau didasarkan kepada tidak tamak kepada dunia, tidak harap kepada balasan, ganjaran atau imbuhan dari pekerjaan amal ibadah yang kita kerjakan!.
Zuhud itu, selalunya kita sasarkan kepada menjauhi atau tidak berkeinginan kepada perkara-perkara dunia sahaja tetapi menurut sudut pandang ilmu makrifat. Zuhud itu, adalah termasuk kepada perkara-perkara akhirat seperti balasan syurga atau takutkan neraka!.
Zuhud itu, selalunya kita hanya disogok atau diperdengarkan kepada perkara-perkara dunia sahaja. Seumpama menghindari diri dari berkeinginan kepada perkara-perkara keduniaan. Ada yang sampai tidak mahu pakai kereta, ada yang sampai tidak mahu beli sofa (sanggup duduk atas lantai) dan ada yang sanggup berhenti dari bekerja dengan kerajaan, katanya wang gaji dari kerajaan itu, datangnya dari hasil perkara shubhat. Ada yang menjauhi diri atau mengasingkan diri daripada bergaul dengan masyarakat!.
Ada yang mendakwa bahawa hanya dengan cara menjauhi diri dari dunia dan dari masyarakat sahaja yang membolehkan kita berzuhud!. Dengan menolak terus keduniaan. Ada yang sanggup tidak beli televisyen dan membiarkan anak isteri tidak tengok TV. Ada yang sanggup melihat rumahnya tidak ada sofa, semata-mata untuk berzuhud.
Zuhud itu, bukan dengan menolak pakai baju ala Melayu dengan memakai baju ala-ala Afghanistan!. Zuhud itu, bukan berdiri didepan orang ramai dengan mengeluarkan kayu sugi!. Zuhud itu, bukan dengan memakai jubah atau serban. Bukan dengan cara menarik diri untuk tekun beribadah atau menghindarkan diri dari berkeinginan menikmati kelazatan hidup didunia!.
Zuhud Menurut Sudut Pandang Ilmu Makrifat
Zuhud menurut sudut pandang ilmu makrifat itu, bukan sahaja perkara-perkara sebagaimana yang tersebut diatas. Zuhud menurut pandangan ilmu makrifat itu, adalah “kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput atau dari apa yang terlepas dari kita” dan “ Kamu jangan terlalu bergembira terhadap apa yang diberikanNya kepada kita”.
Firman: 57 : 23
Orang zuhud itu, tidak bergembira dengan adanya dunia dan tidak berduka cita dengan adanya akhirat. Pengertian atau tafsiran zuhud itu, tidak sahaja berkisar kepada menghindari kelazatan atau kenikmatan hidup didunia sahaja. Kebanyakkan ulamak hanya selalu mengetegahkan cerita-cerita zuhud yang berat sebelah dan hanya condong kepada tafsiran feqah. Dengan menceritakan seumpama contoh cerita Abu Sulaiman Al- Darani, katanya sufi itu;
“sufi itu, suatu ilmu yang sehingga tidak boleh untuk mengenakan (untuk membeli) kain suf dengan wang ditangan 3 dirham untuk membeli barang yang berharga 5 darham”.
Cerita-cerita seumpama ini, hanya mengisahkan perkara untuk meninggalkan dunia. Sedangkan siapakah yang menceritakan dengan cerita-cerita tentang untuk tidak melupa dan melalaikan Allah?. Siapa yang memandang zuhud dari sudut Allah?, siapakah yang memperjuangkan Allah, melainkan rata-rata yang kita temui, hanya memperjuangkan zuhud dunia dengan langsung tidak meyentuh zuhud Allah.
Sedangkan menurut sudut pandang atau menurut tafsiran ilmu makrifat, zuhud itu, adalah menghendaki supaya kita menghindari sesuatu selain Allah.
Barang siapa yang ingin tahu lebih lanjut dan lebih mendalam, mari ikut saya kita sama-sama mengharungi, menyeberangi dan menghayati ilmu makrifat ini. Maksud, erti dan makna sebenar-benar zuhud itu, adalah bilamana sampai kepada tahap “tidak ada lagi yang hendak dizuhud”. Jika masih ada perkara-perkara yang hendak dizuhudkan, tandanya masih ada dunia, bilamana masih ada dunia, ertinya jauh dari Allah, bilamana jauh dari Allah bermakna belum berzuhud.
Jika masih duduk dalam keadaan berzuhud (membuang dunia), bererti dunia masih ada terlekat pada tubuh akalnya!. Selagi berpaut hati pada keberadaan dunia, selagi itu belum berzuhud. Zuhud itu, setelah tidak lagi berpaut hati pada dunia. Inilah yang dikatakan zuhud, mengikut fahaman ilmu makrifat.
Zuhud itu, hanya bagi mereka-mereka yang belum nyata Allah. Dunia dan diri bagi orang makrifat itu, sudah lama terkubur dan terkaram dalam wajah Allah, yang tidak ada apa lagi hendak dizuhudkan!. Setelah Allah nyata dalam hatinya, sudah tidak ada lagi yang hendak dizuhudkan.
Saya ulangi sekali lagi bahawa, zuhud bagi orang feqah itu, adalah bererti mengasingkan diri dari kehidupan dunia untuk bertekun kepada ibadah dan menjalankan latihan rohani, seumpama menjalankan ibadah puasa, menjaga makan minum, berzikir dan sebagainya, demi memerangi keinginan hawa nafsu.
Adapun zuhud orang makrifat itu, adalah bererti tidak lagi ingat selain Allah.
Admin Khairul Mukmin

No comments:

Post a Comment