Maqam Sabar
Dalam mentafsir bab sabar, tidak ramai ulamak yang boleh mentafsirkannya dan tidak banyak kitab yang mengkhabarkannya!. Cuba tuan-tuan belek dan semak kitab-kitab dipasaran, payah ditemui kitab yang menterjemah atau mentafsir makna atau erti sabar!.
Banyak yang kita dapati, hanyalah saranan menyuruh kita bersabar. Sabar menurut tafsiran feqah;
“Tahan menderita yang tidak disenangi dengan rela dan kemahuan jati dan menyerah diri kepada Allah”
Selama ini, kita hanya tahu mengucap perkataan sabar kepada sahabat-sahabat yang ditimpa musibah. Setelah terkena pada batang hidung sendiri, ternyata perkataan sabar yang selalu kita ucapkan kepada orang lain itu, bilamana terkena pada diri sendiri, tidak dapat kita realisasikan atau tidak dapat kita terjemahkan!.
Cuba tuan-tuan tafsirkan apakah itu erti sabar dan saya minta tuan-tuan cari tafsiran sabar?. Sudah saya cari, ternyata gagal mendapatnya!.
Saya temui makna, erti atau tafsiran sabar itu dari kalimah Tok Kenali!. Sabar itu, adalah bagi orang yang berserah diri kepada Allah. Setelah kita berserah diri kepada Allah itu, erti sabar dalam erti kata sebenar-benar sabar.
Sabar itu, setelah kita serahkan bencana atau kecelakaan itu, datang dari Allah, serahkan kemiskinan, kepapaan, kerugian, kemusnahan dan segala penderitaan yang kita tanggug itu, adalah sebenar-benar bukannya datang dari sebab orang atau bukan datang dari makhluk. Makhluk tidak boleh memberi bekas atau tidak boleh memberi kesan sedikit pun atas kita, melainkan Allah.
Setelah kita sedar segala apa yang terjadi, apa juga yang mendatang dan yang menimpa kita itu, adalah datangnya dari Allah!. Bilamana datangnya dari Allah, semestinya terbaik untuk kita!.
Setelah segalanya datang dari Allah, apakah patut kita mengeluh?. Apakah patut kita merungut atau rasa tidak puas hati?. Perkara yang datang dari Allah itu, adalah perkara yang terbaik untuk kita. Maka kita terimalah seadanya. Itulah erti sabar!.
Sabar bukan kerana sanggup menahan lapar. Sabar bukan kerana sanggup mengerjakan ibadah. Sabar bukan kerana sanggup menanggung penderitaan hidup!. Tahan lapar, sanggup mengerjakan ibadah dan tahan dari menanggung derita itu, bukan atas daya yang datangnya dari diri kita, kita tidak boleh menanggung sabar, sekiranya tidak diberi daya oleh Allah. Kita tidak boleh bersabar atau tidak boleh menahan dari derita jika tidak datangnya kesabaran itu dari Allah. Kita tidak mampu untuk menanggung sabar, jika tidak dari kuasa Alah!. Sabar itu bukan milik kita, tetapi milik Allah.
Untuk menjadikan sabar itu milik Allah, hendaklah kita berserah diri kepada Allah. Setelah berserah diri kepada Allah, barulah dikatakan sebenar-benar sabar. Sesungguhnya sabar itu milik Allah. Kita tidak akan bersabar kiranya tidak diberi kekuatan sabar dari Allah. Sebenar-benar sabar itu milik siapa?. Cuba jawab...
Sabar itu, adalah bagi mereka yang berserah diri kepada Allah. Serahkan miskin kepada Allah, serahkan sakit kepada Allah, serahkan amal ibadah kepada Allah dan serahkan hidup dan mati kepada Allah barulah dikatakan sabar.
Seumpama kita berhadapan dengan binatang buas yang hendak menerkam kita atau sewaktu kita berhadapan orang yang hendak membunuh kita. Bagaimana hendak bersabar, sedangkan nyawa sudah dihujung pedang atau sudah dihujung mulut harimau?. Orang yang berserah diri itu, adalah orang yang beranggapan bahawa yang mendatangkan harimau dihadapan kita itu, adalah diatas dasar gerak ketetapan dari Allah.
Allah sebenarnya yang telah menghantar harimau atau mengirim musuh di hadapan kita. Tidak akan datang musuh dan tidak akan sampai harimau dihadapan kita, kiranya tidak dihantar atau tidak dikirim oleh Allah. Kiranya itu kiriman Allah, sepatutnya kita bergembira dan bersuka hati, kerana mendapat kiriman Allah!, bukanya membuat kita takut!. Sepatutnya kita menjadi lebih gembira, bukannya takut!.
Disitu akan membuat kita bersabar. Kerana apa kita bersabar, kerana kita sudah tahu yang mendatang itu, adalah datangnya dari kiriman Allah!. Setelah datangnya segala sesuatu itu dari Allah, maka serahlah segala termasuk diri kepada Allah. Serah harimau kepada Allah, sudah serah pedang atau musuh kepada Allah dan serah termasuk diri kita kepada Allah!, itulah sabar.
Orang yang bersabar itu, adalah orang yang telah beranggapan bahawa yang melanggar kereta kita, orang yang maki hamun kita, orang khianati keluarga kita atau orang tak bayar hutang kita itu, bukan datangnya dari kehendak orang, tetapi adalah datangnya dari kehendak Allah. Allah yang menetapkan hari itu kita berlanggar, maka berlanggarlah kita tanpa boleh dielak. Orang tak bayar hutang itu, telah tidak dibayar oleh Allah sedari azali, bukan kerana orang yang tidak mahu bayar, tetapi telah ditetapkan oleh Allah. Itu, barulah datangnya sabar.
Pendapat ini adalah pendapat yang berbahasa dengan bahasa makrifat. Mungkin tidak akan dapat diterima oleh orang yang berpelajaran bahasa feqah!.
Bahasa percakapan saya ini, adalah bahasa karam, bahasa fana dan bahasa makrifat. Seumpama bahasa ayam tidak difahami oleh itik. Manakala kedua-dua bahasa itu benar bagi mereka yang faham.
Orang sabar itu, adalah orang yang tidak ada perasan marah, putus asa, kecewa, merungut atau orang yang tidak menuduh salah orang lain. Orang lain sebanarnya tidak langgar kereta kita, yang langgar kereta kita itu, adalah ketetapan Allah. Bukan orang yang tidak mahu bayar hutang kita, yang tidak mahu bayar hutang kita itu, adalah ketetapan Allah sedari azali dan sebagainya. Kiranya kita faham konsep ketetapan Allah di dalam kitab luh hul mahfuz sedari azali, maka akan datanglah perkara sabar. Itulah maksud, erti dan makna sabar!
Dalam kitab feqah, telah membahagikan sabar kepada 3 jenis:
1) Sabar dalam menahan diri dari membuat segala rupa pekerjaan jahat atau menahan diri dari menurut hawa nafsu.
2) Sabar dalam diri dari menanggung kesusahan, kepedihan atau kesengsaraan dalam menjalankan kewajipan agama.
3) Sabar dalam menahan diri untuk terus beristiqamah secara berpanjangan dalam sesuatu perkara dengan tidak menoleh ke belakang.
Tafsiran feqah itu, adalah tafsiran dari segi istilah atau tafsiran dari segi fahaman ilmu. Tetapi tidak memberi erti dari segi pegangan atau kehidupan seharian yang sebenar (realiti kehidupan).
Sabar yang sebenar-benar sabar itu, adalah setelah menyerahkan segalanya kepada Allah.
Sheikh al Islam
No comments:
Post a Comment