Monday 27 January 2020

ARAB MALAYSIA

ARAB MALAYSIA
~ Arab adalah antara kaum terbesar di Malaysia. Namun tidak seperti kaum lain di negara ini yang masih kekalkan budaya, bahasa dan identiti mereka. Kaum Arab lebih senang mengasimilasikan diri dengan masyarakat setempat. Ini menyebabkan ramai daripada mereka yang berketurunan Arab sudah secara rasmi atau tidak rasmi telah "masuk Melayu".

Sejarah antara orang Arab dan Tanah Melayu sudah terjalin begitu lama sekali, mungkin sebelum orang Arab menjadi Islam lagi. Kebanyakan orang Arab di Malaysia berasal dari selatan Semenanjung Arab, terutama sekali di wilayah Hadhramaut yang sekarang ini berada di dalam negara Yaman. Walaupun orang Arab sudah lama mempunyai hubungan dengan Tanah Melayu, majoriti orang Arab di Malaysia berhijrah dari Yaman ke Malaya pada zaman British, mereka dianggap gelombang pertama penghijrahan orang Arab ke Malaysia. Gelombang Arab kedua pula kebanyakannya datang dari wilayah Levant seperti Palestin, Lubnan dan Syria. Gelombang kedua ini masih kental dengan identiti Arabnya kerana baru sahaja berhijrah ke Malaysia. Namun orang Arab gelombang kedua pun ramai yang berasimilasi dengan masyarakat Melayu, lebih cepat berbanding kaum lain seperti Jepun, Bengali dan lain-lain.

Hubungan orang Arab dan Melayu selalunya baik, sehinggakan orang Arab menjadi Raja di salah sebuah negeri di Malaysia iaitu negeri Perlis (negeri Perlis dibentuk oleh Siam dan melantik bangsawan dari Yaman sebagai Raja Perlis, keturunan mereka masih kekal memerintah sehingga kini, menjadi dinasti Jamalullail). Orang Arab juga telah banyak menyumbang kepada ilmu agama, budaya, kesusasteraan, politik, bahkan media hiburan kepada Malaysia.

Antara beberapa faktor mengapa orang Arab mudah berasimilasi dengan orang Melayu;
  • Pertama sekali mungkin disebabkan mereka berkongsi mazhab yang sama. Orang Hadhramaut di Yaman dan orang Melayu sama-sama menganut agama Islam mazhab Syafi'e, jadi dalam urusan keagamaan mereka mudah mengamalkan ajaran Islam di Tanah Melayu tanpa ada konflik perbezaan mazhab.
  • Kedua ialah sifat terbuka orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu sangat mudah menerima kedatangan bangsa lain ke Tanah Melayu menyebabkan orang Arab mudah mempercayai dan menerima orang Melayu.
  • Orang Arab adalah bangsa pedagang, perdagangan memainkan peranan penting dalam hidup mereka, jadi ramai orang Arab berhijrah ke Asia Tenggara untuk membuka kehidupan baharu (biasanya perniagaan), dan mereka biasanya menarik perhatian orang Melayu kerana berkongsi agama yang sama. Ramai keluarga Arab akhirnya berasimilasi dengan Melayu dan membela nasib Melayu (mereka juga mewakili orang Melayu untuk bersaing dengan bangsawan-bangsawan Cina dan Eropah pada zaman penjajahan).

Ada banyak lagi faktor kenapa orang Arab mudah berasimilasi dengan orang Melayu. Akan tetapi, walaupun mereka sudah dianggap Melayu, ramai yang masih mengekalkan gelaran-gelaran Arab, nama Arab yang paling banyak ialah "Syed". Tapi kalau di Sarawak, gelaran "Wan" pun merujuk kepada keturunan Arab juga. Orang Arab patut dijadikan contoh bagaimana sebuah bangsa asing dapat menyesuaikan diri dengan penduduk setempat tanpa menghilangkan identiti mereka sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment