Assalamualaikum kepada kekasih-kekasih Allah.........
Bila diri telah sampai kepada tahap rasa, biarpun diluar tidak ada hujan namun pipi kita akan tetap ditimpa basah dengan linangan air mata. Di sini juga hujan air mata mula berguguran membasahi permukaan pipi kita tanda lazat, lunak, cair perasaan kita diulik asyik dan diulik zuk kepada Allah.
Setelah semua didapati mati di situlah perkara rasa akan mendatangi dan memenuhi jiwa kita. Apabila perkara rasa telah menjiwai, memenuhi dan melimpah ke dalam jiwa di situlah wajah Allah akan dapat kita lihat dan pandang. Kita akan dapat rasa bahawa wajah Allah dengan wajah diri kita bersatu tidak dan bercerai tiada.
Inilah perumpamaan mati yang tidak berpisah dengan nyawa (jasad mati tapi ada nyawa). Apabila diri menjadi mati, tetapi masih ada nyawa ianya membuatkan timbulnya perasaan menyesal, takut, rendah diri, khusyuk, diri ini kecil, murah hati dan hendaklah bersifat penyayang sesama makhluk Allah. Sebelum jasad kita menyembah bumi marilah sama-sama kita terlebih dahulu kembali kepada Allah.
Inilah yang dikatakan konsep ilmu makrifat. Mari kita sama-sama semaikan pokok keyakinan dan daripada pokok yakin itu nantinya akan mengeluarkan buah berserah diri dan daripada buah berserah diri akan mengeluarkan bunga tawakal, daripada bungan tawakal akan mengeluarkan haruman dan wangian cahaya wajah Allah yang tidak terperi terang dan indahnya.
Mekar semerbak bunga-bunga wajah Allah menghiasi taman-taman hati orang makrifat tidak akan pernah padam wanginya walaupun hidung dan matanya ditutup. Berbekalnya dengan buah berserah dan bunga tawakal ianya akan mengeluarkan pula haruman zuk, wangian cinta dan khusyuk kepada Allah. Di sinilah kita akan menjadi mabuk, karam dan tenggelam dalam lautan wajah Allah yang tidak ketepi.
Sekali lagi lautan Allah dilimpahi dengan linangan air mata yang berguguran jatuh melalui kelopak mata anak Adam yang mengenal. Dari air mata yang mengalir ini mudah-mudahan akan dapat membasuh permukaan bumi diri yang selama ini lupa kepada Allah. Dengan air mata ini juga membawa diri kita lebur dan karam dalam wajah Allah. Leburnya diri orang makrifat itu, bukan kerana dibakar dengan api, leburnya diri anak Adam yang mengenal Allah itu kerana dibakar oleh air matanya sendiri.
Apabila ayat-ayat ini ditulis dan dibaca dengan linangan air mata zuk kepada Allah membuatkan diri menjadi binasa, binasa segala-galanya dalam wangian wajah Allah yang harum dan gemilang. Dari itu, sungguhpun diri kita hidup dengan penuh miskin dari segi harta benda dan wang ringgit namun hati kita dikala ini tetap merasa kaya, bahagia, selesa dan aman dengan sifat tawakal di dalam dakapan dan pelukan wajah Allah Yang Maha Agung. Orang makrifat itu sedikit dalam berkata-kata tetapi banyak dalam menangis zuk kepada Allah. Inilah maksud penyerahan diri dalam bermakrifat kepada Allah.
Amin drp Bahtera Usang Tiada Kemudi.
No comments:
Post a Comment