BICARA KESUFIAN RABI'ATUL ADAWIYAH
Rumah Rabiah Al-Adawiyah sering menjadi kunjungan Guru yang Rabiah sendiri pernah mempergurukan mereka. Mereka antaranya Hassan Al-Basri, Sufian Al-Tsauri, Malik bin Dinar, Abdul Wahid bin Zaid dan banyak lagi. Di kediaman Rabiah yang serba kekurang sering terjadi dialog di antara Rabiah sendiri dan beberapa orang termasuk Ulama dan Umara' pada zaman itu.
Dialog pada kali ini dimulakan dengan persoalan yang dilontarkan oleh Rabiah kepada kelompok Orang Soleh Basrah itu. Dia bertanya kepada mereka sambil matanya menyoroti setiap hadirin dengan pandangan mata yang tajam. Tanda dia tidak main-main dalam urusan itu.
"Wahai Hamba Allah, mengapakah kamu menyembah Allah?"
Lelaki Soleh itu menjawab tanpa ragu:
"Tentunya kerana saya takutkan azab neraka Allah yang maha pedih."
"Tentunya kerana saya takutkan azab neraka Allah yang maha pedih."
Soalan yang sama juga ditanya kepada lelaki sebelah tadi.
Dia menjawab, "Tentunya kerana saya mahu ke Syurga Allah yang penuh dengan nikmat abadi itu."
Selepas mendengar jawapan daripada kedua-dua lelaki Soleh itu. Rabiah diam membisu seketika. Selepas menghela nafas panjang dengan perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya dan merenung tajam mereka yang berada di hadapanya.
Kemudian dia berkata, "Alangkah hinanya seorang hamba itu jika beribadah kepada Allah hanya kerana mahukan Syurga dan dijauhkan daripada api Neraka."
Sekelian yang hadir terkedu dengan kenyataan itu. Mereka tidak menyangka jawapan mereka itu dinilai salah malah dipertikaikan sebegitu rupa.
"Sekiranya Syurga dan Neraka itu ditakdirkan tiada, maka masihkah kalian menyembah Allah?"
Hening. Tiada yang berani bersuara. Masing-masing hanya berpandangan sesama sendiri. Hanya selepas beberapa ketika, salah seorang daripada mereka bersuara:
"Wahai Rabiah, jika begitu apakah pula sebabnya kamu menyembah Allah?"
"Saya menyembah Allah hanya kerana mengharapkan keredhaan-Nya. Nikmat dan pemberian-Nya sudah cukup untuk saya mengerakkan diri saya bagi terus beribadah kepada-Nya."
Begitulah Rabiah, penuh dengan ketegasan dan hikmah. Mereka yang bersamanya sentiasa mendapat manfaat daripada kalimah-kalimah yang dituturkannya. Mereka yang hadir di dalam Majlis itu pun sentiasa bercerita berkenaan kisah itu kepada sesiapa sahaja sehingga kisah itu menjadi sangat masyhur dan ditulis dalam riwayat yang muktabar.
No comments:
Post a Comment