AHLUL QURAN YANG MUNAFIQ
Telah berkata Imam Az-Zuhdi :
"Jika kau melihat seseorang yang memelihara tajwid bacaannya dan mengelokkan suaranya yang merdu ketika ia membaca Al-Quran maka kau telitilah pula pada akhlaknya. Jika akhlaknya selari dan sama dengan Al-Quran yang dibacanya maka dia seorang yang MUKMIN. Jika sebaliknya maka dia seorang yang MUNAFIQ."
Sabda Nabi s.a.w yang maksudnya :
"Paling banyak orang munafiq dalam umatku ialah para qari".
Dalam hadis lain baginda bersabda :
"Kelak akan muncul di antara umatku suatu kaum yang membaca Al-Quran bukan seperti lazimnya kamu membaca, dan sembahyangmu jauh berbeza dengan cara mereka bersembahyang. Mereka membaca Al-Quran dengan mengira bahawa Al-Quran itu sebagai alat propaganda mereka, padahal Al-Quran itu berisi peringatan yang
harus mereka junjung. Bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkongnya (tidak sampai meresap ke dalam hati). Mereka itu sebenarnya keluar dari Islam, bagaikan anak panah yang lepas dari busurnya."
Seorang ahlul Quran yang munafiq itu menjual ayat Al-Quran yang dipinjam dan diamanahkan oleh Allah s.w.t kepadanya hanya semata mengejar habuan dunia dan melupakan akhirat. Dia sukakan pujian dan tumpuan yang dimaksudkan kepada riak dan ujub. Ia suka dengan gelaran "Al-Hafiz", "Al-Qari" atau seumpamanya padahal ia melalaikan bacaan Quran itu sebagai wirid hariannya dan tidak beramal dengan apa yang ia baca sepertimana yang digambarkan dalam Al-Quran yang bermaksud :
"Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya."
(Surah Ali Imran ayat 188)
Dia juga berusaha untuk menonjolkan dirinya supaya dipandang dan dipertontonkan serta menagih pujian dan mengharapkan sanjungan manusia dalam keadaan dia melakukan maksiat di belakang manusia kerana ditakuti hilang segala apa yang dia harapkan. Secara tidak langsung dia terlepas pandang hadis Nabi s.a.w yang bermaksud :
Dari Tsauban dari Nabi s.a.w baginda berkata : “Sungguh aku mengetahui suatu kaum dari umatku datang pada hari kiamat dengan banyak kebaikan semisal Gunung Tihamah. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut menjadi debu yang bertebaran.” Tsauban berkata, “Wahai Rasulullah, cuba sebutkan sifat-sifat mereka pada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Adapun mereka adalah saudara kalian. Kulit mereka sama dengan kulit kalian. Mereka menghidupkan malam (dengan ibadah) seperti kalian. Akan tetapi mereka adalah kaum yang jika bersepian mereka merobek tirai untuk bisa bermaksiat pada Allah.”
Hadits di atas semakna dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, padahal Allah beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahasia yang Allah tidak ridhai. Dan adalah Allah Maha Meliputi (ilmu-Nya) terhadap apa yang mereka kerjakan.”
(Surah An-Nisa ayat 108)
Inilah penipuan yang dilakukan oleh ahlul Quran yang fasiq yang mengejar dunia dan menipu itu adalah merupakan sifat utama orang munafiq dan tidak ada pada diri seorang Muslim sebagaimana sabda baginda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Nabi s.a.w telah ditanya, "Adakah mukmin itu boleh jadi penakut?". Baginda jawab, "ya". Kemudian ditanya lagi, "Adalah mukmin boleh jadi kedekut?". Baginda jawab, "ya". Kemudian ditanya lagi, "Adakah mukmin boleh jadi pembohong?". Baginda jawab, "Tidak".
Sifat menipu ini merupakan sifat utama orang munafiq seperti yang disebutkan dalam Al-Quran :
يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ . فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ .
Maksudnya : Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
(Surah Al-Baqarah ayat 9-10)
Lafaz (يكذبون) yang bermaksud "mereka mendustakan" menunjukkan dusta dan menipu merupakan sifat utama golongan munafiq.
Sememangnya hampir nyata hadis baginda Nabi s.a.w yang maksudnya :
"Akan ada pada akhir zaman golongan ahli ibadah yang jahil dan para qari yang fasiq."
Dalam hadis lain baginda menyebut yang mafhumnya :
"Kelak pada akhir zaman akan ada ulat-ulat qurra' (ahlul Quran yang menghancurkan agama seperti ulat menghancurkan buah). Barangsiapa yang berada pada masa itu, hendaklah ia berlindung kepada Allah dari mereka."
Na'uzubillahi min zalik. Semoga ampuni kita semua dan memimpin kita ke jalan yang diredhai-Nya amin.
* Perkongsian ini merupakan sedikit olahan daripada intipati kuliah "Akhlak Ahlul Quran" yang disampaikan oleh Syeikh Abdel Mohaimen Sayyid Aliy Abdel Maged hafizahullah (gambar) selepas Maghrib di Masjid Pusat Islam Darul Quran Jakim pada 9 Februari 2017.
No comments:
Post a Comment