Tuesday, 24 January 2017

hakikat

ALLAH BERBUAT SESUKA HATINYA..
KERANA DIA ITU TUHAN..
KITA PULA JANGAN BANYAK TANYA..
KERANA KITA INI HAMBA..
Apabila Allah memperkenankan permohonan dan doa seorang hamba, maka ini tidak bererti bahawa simpanan Allah itu akan berkurang, kerana Allah itu Maha Kaya; dan juga tidak semestinya Allah merasa terpaksa menerima permohonan hamba itu, seakan-akan Dia tertakluk kepada permohonan hamba itu.
Sebenarnya, permohonan atau doa hamba itu sesuai dengan kehendak Allah dan juga sesuai dengan masanya. Hakikatnya, penerimaan doa itu telah tertulis dalam azalinya, dan hanya tinggal menunggu masa dikabulkan doa itu oleh Allah.
Inilah apa yang dikatakan oleh orang-orang arifbillah di dalam menerangkan kalam Allah, “Setiap saat Dia dalam keadaan baru.” Ini bererti bahawa Allah menerima permohonan hamba itu pada masa yang telah ditentukanNya.
Allah telah menentukan masa dikabulkannya doa itu. Allah tidak akan memberi sesuatu kepada seseorang dalam dunia ini, kecuali dengan doa yang datang dari diri hamba itu sendiri. Begitu juga Allah tidak akan
menolak sesuatu dari hamba itu, kecuali dengan doanya.
Ada sabda Nabi yang menyatakan bahawa ketentuan takdir Ilahi itu tidak dapat dielakkan, kecuali dengan doa yang ditakdirkan Allah dapat menolak ketentuan takdir itu. Begitu juga, tidak ada orang yang akan masuk ke dalam syurga hanya melalui perbuatan baiknya sahaja, melainkan dengan rahmat Allah juga. Walaupun demikian, hamba-hamba Allah itu akan diberi darjat di syurga sesuai dengan amal perbuatannya.
Diriwayatkan bahawa Aisyah pernah bertanya kepada Nabi, “Dapatkah seseorang itu memasuki syurga hanya dengan melalui perbuatan baiknya sahaja?” Nabi menjawab, “Tidak, kecuali dengan rahmat Allah.” Aisyah bertanya lagi, “Sekali pun engkau sendiri?” Beliau menjawab, “Ya, sekali pun aku, kecuali jika Allah meliputi aku dengan rahmatNya.” Setelah bersabda demikian, beliau meletakkan tangannya di atas kepalanya.
Beliau berbuat demikian untuk menunjukkan bahawa tidak ada seorang pun yang berhak untuk melanggar ketentuan takdir Ilahi, dan Allah itu tidak harus memperkenankan doa-doa hamba-hambaNya.
Dia berbuat apa yang di kehendaki-Nya. Dia mengampuni sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia menghukum sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia memiliki kekuasaan yang mutlak. Segala ketentuan kembali kepada￾Nya. Allah tidak boleh ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya, tetapi hamba itulah yang ditanya.
Allah memberikan kurnia-Nya kepada orang yang dikehendaki-Nya dan tidak memberikannya kepada orang yang tidak dikehendaki-Nya juga. Segala apa yang berada di langit dan di bumi serta di antara keduanya adalah kepunyaan Allah belaka dan berada dalam kekuasaan-Nya. Tidak ada tuan-tuan yang memiliki semua itu, melainkan Allah saja. Dan tidak ada pencipta, melainkan Dia juga.

No comments:

Post a Comment