BERITA DARI AL-QUDS;
ZIONIS SEMAKIN GANAS, YAHUDI SEMAKIN TAKUT, ISLAM SEMAKIN BERSINAR
Perkongsian Dr Murawweh Musa Nassar berkenaan keadaan semasa Masjidil Aqsa. Beliau adalah setiausaha Lajnah Al-Quds di bawah Kesatuan Ulama Islam Se Dunia dan juga anggota Ulama Kesatuan Ulama Palestin Luar Negara. Isi ucapan ini direkod semasa beliau menyampaikan taklimat pada Seminar Penerangan Khas Kebangsaan di Shah Alam, 22 Mei lepas. Turut hadir adalah Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia sendiri, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri.
STRATEGI ZIONIS
Menurut beliau, Zionis kini sedang giat melakukan projek meruntuhkan masjidil Aqsa. Mereka mahu mendirikan di atas runtuhan al-Aqsa rumah ibadat yang digelar kuil Sulaiman menurut kepercayaan Yahudi. Untuk menjayakan misi tersebut, mereka telah menggariskan enam strategi utama iaitu:
1. Serangan dari bawah tanah, dengan cara menggali terowong-terowong dari bawah tapak al-Aqsa. Sehingga kini, sekitar 50-60 lubang telah digali dari arah barat bagi meruntuhkan al-Aqsa.
2. Serangan dari atas; dengan membina berbagai gereja, kuil dan rumah ibadat agama lain di sekeliling al-Aqsa hingga menutup pandangan Kubah Sakhrah (kubah emas). Setakat ini sudah lebih 100 buah telah berjaya dibina.
3. Memadam kesan-kesan seni binaan tamadun Islam dari Masjidil Aqsa. Sebarang ukiran dan tanda yang berkaitan dengan orang Islam sedang dirombak dan dibuang oleh Israel atas alasan baik pulih.
4. Membawa bahan-bahan binaan kuil Sulaiman. Di sekeliling al-Quds kini telah tersedia batu-batu dan pelbagai bahan binaan. Ia akan digunakan setelah berjaya meruntuhkan al-Aqsa kelak.
5. Membina replika kuil Sulaiman. Sekarang telah diletakkan di dalam al-Aqsa replika-replika kuil tersebut bagi memperkenalkan kepada masyarakat.
6. Mengambil beberapa langkah politik. Ini merupakan strategi yang paling utama bagi menjayakan cita-cita jahat mereka. Presiden Israel ke 10, Reuven Rivlin dalam satu persidangan Zionis tahun 2012 telah memutuskan beberapa perkara antaranya:
- menukar milikan tanah sekitar al-Quds kepada milik Yahudi termasuk Jabal Ma'bad.
-menukar nama-nama tempat, bangunan, kampung dan jalan kepada bahasa Ibrani dan Israel. Dihilangkan semua kesan orang Islam. Jabal Ma'bad ditukar kepada Jabal Yahud. Masjidil Aqsa dinamakan Madinah Daud. Pelancong dibekalkan peta yang diubah semua nama asalnya.
-mengiktiraf al-Aqsa sebagai kawasan tapak tinggalan sejarah purba Yahudi.
-membenarkan kemasukan tentera, pelancong, SB, pegawai diplomat sewenang-wenangnya bagi menambah kependudukan bukan Islam di al-Aqsa.
-merancang pembahagian al-Aqsa kepada dua bahagian, satu bahagian untuk orang Islam dan sebahagian untuk Yahudi.
REAKSI LAJNAH AL-QUDS
Maka atas nama Lajnah al-Quds KUIS dan Kesatuan Ulama Palestin, umat Islam telah mengambil tiga langkah utama mengekang projek pengyahudian al-Quds:
1. Menganjurkan kelas-kelas pengajian di dalam al-Quds. Kelas diadakan setiap hari melibatkan pengajian di peringkat universiti. 5 hari seminggu bermula jam 7 pagi hingga 4 petang. Inilah hari biasa serangan terhadap al-Quds.
Bermula dari 50 orang pelajar, kini telah memiliki 3600 orang. Mereka menyasarkan jumlah pelajar seramai 12000 orang. Kos termasuk makan minum, kelengkapan belajar dan imbuhan kakitangan adalah 1000 USD sebulan bagi setiap pelajar.
Mereka inilah yang akan mempertahankan al-Quds sekiranya tentera Israel cuba masuk untuk menawan al-Quds. Mereka akan menggunakan apa sahaja alatan yang sempat dicapai termasuk kerusi belajar untuk menyerang tentera Israel.
2. Kempen Syad Rihal. Mengangkut orang awam sekitar al-Quds untuk solat 5 waktu sehari semalam. Sehingga hujung tahun lepas, seramai 600000 orang berjaya diangkut. Perbelanjaan tahunan bagi projek ini melebihi 1 juta USD.
Mereka juga berperanan membantu pelajar di masjidil aqsa untuk mempertahankan al-Quds.
3. Lawatan sambil belajar ke Masjidil Aqsa. Pelajar-pelajar dari sekolah seluruh Palestin bermula umur sekolah rendah hingga peringkat tertinggi akan dibawa melawat al-Quds dan belajar di dalamnya mengikut giliran.
Tujuannya supaya hati para pelajar terikat sejak kecil dengan Masjidil Aqsa dan cinta akannya. Belanjanya juga melebihi 1 juta USD setahun.
Di samping itu, komuniti muslim di Palestin dan sekitarnya mengadakan berbagai program meramaikan penduduk Islam di Palestin. Antaranya menganjurkan program perkahwinan percuma kepada semua umat Islam.
Dr Murawweh menamakan fenomena ini sebagai 'pertembungan kewujudan'. Kewujudan sesuatu pihak menentukan Palestin di tangan siapa. Selagi mana umat Islam masih wujud di Palestin, selagi itu Palestin dapat dipertahankan.
Hasrat Yahudi adalah untuk menjadikan jumlah orang Islam tidak lebih dari 12% dari keseluruhan penduduk Palestin. Mereka telah mengharamkan kad pengenalan asal Palestin dan tidak memberikan kad pengenalan baru kepada orang Islam. Dalam waktu yang sama, orang-orang Yahudi mendapat pengenalan dengan mudah. Tanah milikan umat Islam juga dirampas dan kini hanya tinggal sekitar 12% sahaja seluruh Palestin.
Namun Allah tetap memelihara Palestin. Ia adalah milik umat Islam selama-lamanya. Takdir Allah, akhir-akhir ini berlaku perkara yang mengejutkan, kita boleh bergembira dengan beberapa maklumat berikut:
1. Umat Islam semakin bertambah dan Yahudi pula yang berkurangan!
2. Selepas perang Gaza tahun 2014, dianggarkan 1.5juta penduduk Yahudi telah berhijrah keluar dari Israel!
3. Hasil pungutan suara melibatkan penduduk Israel mendapati 95 peratus rakyatnya mengakui hidup dalam ketakutan manakala 75 peratus menyatakan hasrat untuk keluar dari Israel!
4. Kajian beberapa institusi di Britain, Perancis dan negara Eropah lain pada tahun 2012 menunjukkan bahawa negara haram Israel tidak akan dapat bertahan di bumi Palestin lebih dari 10 tahun!
5. Israel telah mula merancang pelan untuk keluar dari Palestin jika keadaan tidal lagi memungkinkan mereka terus tinggal di sana.
APA PERANAN KITA?
Saranan Dr Murawweh, apa yang perlu dilakukan adalah oleh umat Islam sedunia adalah:
1. Menyokong 'revolusi kependudukan' umat Islam di sana.
2. Menyalurkan sumbangan jihad sebanyak mungkin bagi menampung kos revolusi tersebut.
3. Mengeluarkan kenyataan tegas dari pemimpin negara umat Islam menyatakan Masjidil Aqsa milik seluruh umat Islam.
4. Menghimpun umat Islam dibawah ulama' Islam di rantau-rantau dunia menjadi suara pendesak berskala besar. Ini ekoran ulama Islam di tanah arab tidak mampu bersuara kerana terikat dengan perjanjian negara arab dan Israel.
5. Menyebarkan maklumat ini dan juga perkembangan Palestin dari semasa ke semasa.
Sesungguhnya bumi Palestin adalah milik umat Islam. Masjidil Aqsa ukan milik orang arab, bukan milik bangsa Palestin, bukan milik mana-mana individu, tetapi ia adalah miliki SETIAP YANG MENGUCAPKAN DUA KALIMAH SYAHADAH..
Semoga Allah mengurniakan kita semua peluang solat di Masjidil Aqsa.
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment