KISAH BENAR PADAH IBU BERJANJI DENGAN RAJA IBLIS
Kisah ini diceritakan oleh ibu. Ia berlaku di daerahnya. Walaupun cerita ini telah lama berlaku, tetapi ia tetap terpahat di minda Yong sebagai sempadan.
Kisah ini diceritakan oleh ibu. Ia berlaku di daerahnya. Walaupun cerita ini telah lama berlaku, tetapi ia tetap terpahat di minda Yong sebagai sempadan.
Nenek Yong seorang guru mengaji Quran yang agak terkenal. Atok meninggal dunia semasa adik ibu masih kecil. Nenek meneruskan usaha Atok mengajar budak-budak mengaji Quran, solat, puasa dan lain-lain. Ada di antara murid-murid datang dari kampung lain. Oleh kerana waktu itu tiada kenderaan, ada di antara anak murid bermalam di rumahnya. Hanya hujung minggu akan pulang ke rumah masing-masing. Yang jauh sebulan sekali.
Salah seorang muridnya anak gadis pemilik kedai makan. Kedai itu juga amat laris. Nama gadis itu Murni. Dia hantar oleh ibu-bapanya ketika usianya 9 tahun.
Gadis itu tidak berapa “terang hatinya” kata ibu Yong. Maksud ibu, gadis itu agak sukar untuk mengenali huruf dan membaca Quran. Setelah 3 tahun, gadis itu masih lagi belum khatam Quran. Walau bagaimanapun mulutnya tidak pernah lepas dari membaca "Bismillahirahmanirrahim" setiap kali memulakan pekerjaan, walaupun hanya dari duduk dia hendak berdiri dan sebaliknya.
Suatu hari rumah nenek gempar. Murni yang baru mencecah usia 12 tahun tiba-tiba jatuh pengsan. Pak Imam pun dipanggil. Kata Pak Imam, Murni sudah tiada bernafas. Ibu bapa Murni pun dipanggil. Oleh kerana ibu bapa Murni kurang arif, jenazah Murni disempurnakan di rumah nenek Yong saja. Jenazah Murni hanya boleh dikuburkan pada pagi esok kerana menunggu saudara mara datang menatap wajah Murni bagi kali terakhir.
Lepas subuh, ketika jenazah Murni sedang dimandikan, suasana menjadi gempar kerana hujung ibu jari kaki Murni bergerak-gerak.
Rupanya Murni belum mati.
Ketika itu ada yang menangis dan ada yang ketawa. Ibu bapa Murni terpinga-pinga.
Selepas “dipulihkan” oleh Pak Imam, Murni berkata dia hendak “bercerita” kepada semua orang di hadapan ibu-bapanya.
Murni menceritakan dia telah dibawa oleh pesuruh “Raja Syaitan” untuk dijadikan "isteri."
Ketika di istana raja itu, Murni melihat pagar istana itu adalah manusia yang telanjang dari berbagai rupa. Sangat dhaif kelihatannya manusia-manusia itu.
Entah kenapa Murni sedikit pun tidak berasa takut.
Ketika masuk ke istana, Murni membaca Bismillah sebagaimana yang lazim dilakukannya. Pintu pagar istana syaitan itu runtuh.
Raja Syaitan bersila di atas tahtanya, juga dari tubuh-tubuh manusia yang menjunjungnya. Alat kelamin raja syaitan kelihatan amat panjang seperti ular sehingga membelit manusia-manusia yang menjadi pagarnya.
Raja Syaitan mengarahkan Murni supaya ke dapur memasak nasi dan sup sebagai percubaan untuk mengetahui kebolehannya sebelum dijadikan "isteri."
Seorang perempuan yang mengaku “ibu” kepada Syaitan itu membawa Murni ke dapur. Murni melihat dapur Raja Syaitan itu diperbuat daripada tulang-tulang manusia. Dari senduk nasi sampai kepada periok.
Setiap kali Murni membaca Bismillah untuk mengambil “benda-benda” itu, setiap kali benda-benda yang hendak diambilnya hancur. Periok yang berisi nasi yang hendak dikukusnya juga pecah berkecai.
Itulah yang berlaku….sehingga tiada apa yang boleh disentuhnya. Semua hancur.
“Ibu” Syaitan tidak dapat berbuat apa-apa.
Lalu “Ibu” Syaitan memberitahu Raja Syaitan Murni tidak layak menjadi "menantunya," dan harus dihantar pulang.
Ketika Itulah Murni tersedar.
Rupanya “Bismillahirrahmanirrahim” itu telah menyelamatkan Murni.
Setelah mendengar cerita Murni, ibu bapa Murni pun menangis. Mereka mengaku telah berjanji kepada Syaitan akan memberi anaknya sebagai "isteri" jika Syaitan itu membantu melariskan kedai makannya.
MasyaAllah…sanggup ibu bapa itu melakukan khurafat sehingga rela menyerahkan anak gadisnya kepada Syaitan demi mencapai keinginan untuk menjadi kaya-raya.
Pak Imam segera meminta ibu-bapa Murni bertaubat dan memutuskan perjanjian dengan Syaitan itu.
No comments:
Post a Comment