MAKRIFAT DAN SYARIAT SELALU BERTENTANGAN
Tidak mampu untuk saya mengajak Tuan-Tuan memahami ilmu makrifat. Biar apapun kata saya, tuan-tuan tetap menafikan dengan berbagai-bagai penafian. Malahan menuduh saya tidak benar!
Sebelumnya saya nak bertanya kepada tuan-tuan, apakah Allah tidak tahu yang Iblis itu akan ingkar kepada perintah Allah? Perintah ingkar itu, apakah Iblis sendiri yang menciptanya? Bolehkah Iblis mencipta kehendak dan kemahuan dirinya sendiri, tanpa diketahui Allah?
Allah menjadikan Iblis itu, adalah bertujuan supaya menjalankan perintah dan ketetapan Allah, iaitu perintah tidak patuh. Ketidak patuhan Iblis itu juga, adalah perintah Allah! Iblis bukan ingkar kepada perintah Allah. Sebenarnya Iblis patuh kepada perintah ketetapan azali, sebagaimana tercatat.
Bila saya kata Iblis patuh, orang syariat menuduh saya salah! Orang makrifat tidak memandang atau menuduh Iblis ingkar. Sebaliknya orang makrifat itu memandang bahawa keingkaran Iblis itu pun juga, adalah dari ketetapan Allah (ketetapan ingkar) iaitu Iblis menjalankan ketetapan ingkar!
Ketetapan ingkarnya Iblis itu pun juga, adalah dari karangan atau dari tulisan Allah juga! Patuh kita katakan dari Allah, apakah ingkar itu, ada Allah lain yang buat? Cuba jawab!
Banyak daripada ilmu makrifat itu, tidak diterima oleh orang syariat. Pertentangan serta percanggahan ini, tidak akan habis sehingga kiamat! Biar apa yang kita luahkan dalam ilmu makrifat, akan selalu mendapat tentangan.
Orang makrifat tidak melihat kepada patuh atau ingkar tetapi melihat kepada pemilik patuh dan pemilik ingkar! Ingkar dan patuh itu, Allah bukan suruh kita lihat kepada perkara buruk atau perkara baik. Buruk dan baik itu, adalah bagi tujuan Allah menyatakan diriNya di sebalik buruk dan baik!
Apa-apa pun yang mereka tuduh, saya telan dengan rasa manis. Asal saja mereka tidak meyentuh kebesaran Allah.
Mulai dari hari ini, wahai sekalian yang berfahaman ilmu makrifatullah (ilmu mengenal Allah). Jangan sekali-kali kita terlihat atau terpandang ciptaan.. Tetapi lihat, tilik dan pandanglah kepada PENCIPTANYA!
No comments:
Post a Comment