Saturday, 18 June 2016

KHALID AL WALID

*KISAH SAAT SAAT TERAKHIR PAHLAWAN TERBILANG KHALID AL WALID.*

Setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Panglima Tentera Islam, pada suatu malam, Khalid membawa keluarganya keluar dari Madinah menuju ke Syria. Di Himsya, Khalid tenang menjalani kehidupan sebagai orang biasa.

Pada suatu hari dia jatuh sakit. Penyakit yang dihidapinya itu semakin teruk dari hari ke hari.   Berita pahlawan Pedang Allah jatuh sakit itu sampai ke pengetahuan sahabat sahabatnya.

Ramai antara mereka yang datang menziarahinya. Mereka sedih melihat keadaan Khalid bin Walid.
" Selepas di lucutkan jawatan sebagai ketua panglima tentera islam oleh Khalifah Umar, saya terus berperang walaupun sebagai tentera biasa. Saya berperang bukan kerana Khalifah Umar, tetapi kerana Allah."  Kata Khalid dalam nada suara yang perlahan. Kata kata melambangkan keikhlasannya itu menyebabkan ramai yang terpegun dan sebak.

Dia berperang hanya kerana Allah!. Tidaklah hairan sekiranya dia digelar Pedang Allah ( Saifullah ) oleh kekasih Allah, iaitu Nabi Muhammad SAW.

" Umur saya sekarang sudah 58 tahun, saya sudah menyertai lebih 100 peperangan. Saya terlibat secara langsung dalam peperangan besar seperti perang Muktah, Parsi , melawan tentera Rom di Yarmuk , merebut Damsyik dari Rom, menakluki Mesir dan menawan Baitul Maqdis daripada kuasa Kristian. Itu lah kejayaan yang tidak dapat saya lupakan kerana Baitul Maqdis bebas dari cengkaman kuasa mereka ." kata Khalid al Walid lagi.

" Tuan adalah pahlawan terbilang, Khalifah Abu Bakar pernah berkata : ' tidak ada lagi yang dapat melahirkan anak sebagai tuan .' Hanya tuan seorang yang mendapat gelaran pahlawan pedang Allah daripada Rasulullah SAW ." kata Yazid yang turut menziarahi Khalid bin Walid yang sedang sakit tenat.

 " Saya bercita cita mahu mati syahid, Di sebabkan itulah saya sertai semua peperangan yang melibatkan tentera islam. Ditubuh saya ini penuh dengan parut parut luka akibat senjata musuh, tetapi saya masih hidup. Impian saya mahu gugur syahid tidak tercapai. Akhirnya saya mati diatas katil. Hanya orang pengecut sahaja yang mati begini ." Khalid bin Walid merintih.

Air matanya mengalir perlahan lahan membasahi pipi tuanya. Beberapa sahabat yang rapat dengannya cuba memujuk. " Ajal maut kita ditentukan Allah. Tuan tidak ditakdirkan mati dimedan perang. Kita terima sahaja ketentuan Tuhan." Yazid cuba memujuk.

 " Saya tidak mahu mati di atas katil. Saya mahu mati dimedan perang!!.  Panglima agung itu merintih lagi.

Orang lain turut sebak mendengar rintihannya. Ada juga yang mengalirkan air mata apabila melihat panglima agung itu sudah berada di hujung hayatnya.

" Cuba saudara lihat kaki saya dari hujung jari sehingga ke pangkal peha. Ia penuh dengan parut parut luka." kata Khalid bin Walid sambil menyelakkan kainnya.

Yazid hampir menitiskan air mata kerana hiba melihat keadaan sahabatnya itu. Namun dia cuba menahannya supaya tidak terlihat oleh Khalid.

" Dada saya ini pernah menjadi sasaran mata tombak, anak panah dan pelbagai senjata tajam musuh, tetapi mengapa saya tidak menemui syahid ?. kata Khalid lagi.

Tiba tiba Abu Zanad yang turut melihat parut parut luka di tubuh Khalid Walid berkata: " Saudara tidak boleh mati di medan perang dan saudara juga tidak boleh tewas apabila bertarung dengan musuh." " Mengapa ? " tanya Khalid dengan nada hampa. " Rasulullah SAW mengurniakan kepada saudara gelaran pahlawan pedang Allah. Baginda juga mendoakan saudara menang dalam setiap peperangan. Disebabkan itulah saudara tidak boleh mati dibunuh oleh orang kafir. Saudara juga tidak boleh tewas kerana doa Rasulullah SAW dimakbulkan Allah." Abu Zanad menjawab dengan lembut.

Khalid al Walid terdiam mendengar kata kata itu, namun wajahnya masih kelihatan sedih.   " Tolong kumpulkan senjata senjata yang pernah saya gunakan dalam peperangan. Saya mahu wakafkan semua senjata milik saya itu kepada tentera islam." Dia berkata kepada Yazid.

Selain senjata , saya juga memiliki seekor kuda yang biasa saya gunakan dalam peperangan. Kuda itu juga saya wakafkan kepada tentera islam. Itu sahaja harta yang masih ada pada saya." ujar Khalid al Walid lagi.

Khalid al Walid menjalani hari hari terakhirnya dengan penuh kesukaran. Penyakitnya semakin tenat. Akhirnya panglima terbilang itu menghembuskan nafas terakhir bersama harapannya yang tidak kesampaian. Berita kematian Khalid al Walid disampaikan dengan segera ke pengetahuan Khalifah Umar al Khattab. Dia terperanjat dan sedih apabila mengenangkan Khalid sudah tidak ada lagi di dunia ini.

" Semoga Tuhan merahmati roh saudara wahai Abu Sulaiman. Rupa rupanya saudara tidak seperti yang saya sangka." kata Umar sambil bersedih. " Apa maksud tuan ?" tanya Adi bin Hatim. "Jasa Khalid bin Walid pasti dikenang sepanjang zaman. Saya menyedari perlucutan jawatannya adalah satu kesilapan. Saya bercadang mahu menyerahkan semula jawatan itu kepadanya, tetapi sekarang dia sudah tiada." jawab Umar sambil menangis.

Memang Abu Bakar lebih mengenali lelaki itu daripada saya." Khalifah Abu Bakar pernah berkata : " tidak ada lagi wanita yang dapat melahirkan pahlawan seperti Khalid bin Walid. Hanya dia yang mendapat gelaran pahlawan Pedang Allah." kata Adi bin Hatim.

Pemergian Khalid bin Walid diratapi oleh umat islam. Walaupun dia sudah tiada lagi namun jasanya dan pengorbanannya tersemat dalam hati mereka.

Dipetik dari sumber NOVEL SEJARAH ISLAM  oleh Abdul Latip Talib  KHALID MEMBURU SYAHID.

No comments:

Post a Comment