*Hak Untuk Membayar Sendiri Zakat Kepada Asnaf*
Oleh Dr Khairuddin at-Takiri
Fatwa al-Azhar pada tahun 1939 oleh Mufti Mesir Syeikh Abdul Majid Salim ( juz 1, hlmn 137) menyatakan " *TIDAK WAJIB* menurut 4 Mazhab Fiqh membayar sendiri zakat fitrah kepada asnaf yang layak tetapi *HARUS* untuk diserahkan kepada pemerintah untuk diagihkan kepada asnaf."
Maksudnya, prinsip asas dalam menunaikan kewajipan zakat ialah setiap orang muslim berkewajipan membayar zakat. Maka timbullah persoalan; _"adakah wajib membayar sendiri kepada asnaf zakat atau boleh diserahkan sahaja kepada pemerintah untuk menyalurkannya kepada asnaf yang layak?"_
*Jawapannya* ialah *tidak wajib* bayar sendiri dan *boleh sahaja* diserahkan kepada pemerintah.
*Hari ini* kita berbincang secara terbalik pula iaitu "adakah wajib membayar zakat kepada pemerintah atau tidak?".
Maka timbullah kecaman kepada mereka yang mahu menunaikan kewajipan zakat dengan menyerahkannya sendiri kepada asnaf yang berhak dengan alasan bahawa mereka wajib membayar zakat kepada atau menerusi pemerintah.
Sepatutnya perlu difahami isu secara jelas iaitu setiap muslim wajib membayar zakat dengan diagihkan kepada golongan yang berhak; lalu datanglah pemerintah sebagai saluran yang memudahkan setiap muslim menunaikan kewajipannya.
Kerana itu datang perbahasan hukum seperti
1. Bolehkah seseorang membayar zakat kepada orang di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak dan ibu bapanya?
2. Wajibkah diserahkan zakat kepada semua asnaf atau berpada dengan salah satu?
Semua perbahasan ini timbul kerana Islam memberi kelapangan kepada pembayar zakat untuk membayar zakat terus kepada orang yang berhak.
Beberapa fatwa peringkat negeri dan kebangsaan yang mewajibkan zakat dibayar kepada pemerintah sahaja berhujah dengan dalil umum iaitu "wajib taat kepada ulil amri".
Bagaimana sekiranya Ulil Amri mencanggahi Allah dan Rasul-Nya dalam memahami maqasid zakat dan hukumnya? Ia wajib ditegur.
Kelapangan yang diberikan oleh Allah untuk pembayar zakat menyampaikan terus zakat kepada asnaf yang berhak ingin disempitkan oleh pemerintah?
Pemerintah sepatut bertindak untuk memudah dan melapangkan bukan menyempit, mengongkong dan menyusahkan dalam bab zakat.
Di mana ingin kita letakkan hadis-hadis Nabi saw yang menyeru membayar zakat kepada kaum kerabat yang dekat kerana ia memberi pahala menyambung rahim?
Nabi saw bersabda:
الصدقة في المسكين صدقة وفي ذي الرحم صدقة وصلة
"Zakat kepada orang miskin satu sedekah manakala zakat kepada kerabat adalah sedekah dan silaturahim" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasaei)
Hadis sebegini membawa mesej bahawa zakat perlu segera sampai kepada yang memerlukan. Ia boleh berlaku apabila pembayar membayar sendiri terus kepada yang berhak di hadapan matanya di kalangan saudara-maranya.
*Cukuplah* bagi pemerintah berpegang dengan pandangan "lebih aula membayar zakat menerusi pemerintah" supaya asnaf dan golongan yang berhak mendapat zakat dapat menerimanya secara sama rata.
Tapi bagaimana pula di saat ada pertikaian pada cara pengurusan agihan zakat?
Seorang yang melihat seorang saudaranya sedang kesusahan memerlukan bantuan kewangan sedangkan untuk mendapatkan bantuan zakat secara saluran rasmi tentu sahaja melalui birokrasi dan siasatan yang panjang? Adakah ia menjadi satu kesalahan?
Mungkin ada yang berhujah kenapa Abu Bakar memerangi golongan yang enggan membayar zakat? *Jawapannya* itu kewajipan pemerintah apabila masyarakat enggan menunaikan kewajipan zakat *bukan* apabila masyarakat tidak mahu membayarnya menerusi pemerintah.
Mungkin ada yang berhujah; kenapa Nabi saw mengutuskan sahabat untuk memungut zakat? *Jawapannya* adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memastikan rakyat membayar zakat maka diutuskan para pemungut zakat untuk memastikan mereka menunaikan kewajipan zakat dengan diagihkan kepada asnaf *tetapi* bukan untuk mewajibkan zakat dibayar menerusi pemerintah.
Mungkin ada lagi yang berhujah; kenapa sebahagian kitab-kitab fiqh ada yang menyebut apabila pemerintah mewajibkan zakat dibayar kepada mereka maka hendaklah mereka taat dan terlepaslah kewajipan mereka?
*Jawapannya* perbahasan fuqaha bukan dalam konteks mengharuskan tindakan pemerintah yang memaksa *TETAPI* untuk menyatakan bahawa apabila dipaksa maka terlepaslah kewajipan pembayar zakat dengan membayar kepada pemerintah.
*Justeru, saya berpandangan bahawa cukuplah untuk pemerintah menggalakkan rakyat menunaikan zakat menerusi pemerintah dan mengekalkan hak rakyat membayar terus kepada asnaf sekiranya dilihat kebaikannya lebih segera sampai kepada asnaf.
Apa yang ingin saya simpulkan menerusi penghujahan ini ialah *berilah kelapangan dan janganlah menyempitkan*. Ia lebih menepati kehendak syara dan maqasid zakat serta hukum-hakam zakat dan lebih memberi manfaat kepada umat.
No comments:
Post a Comment