Siapakah yang Berhajat kepada Makan dan Minum?
Mari kita teruskan pengajian kita tentang bab siapakah yang masih berhajat kepada makan-minum, anak-isteri dan masih berhajat kepada kebutuhan duniawi, sedangkan setelah mempelajari ilmu makrifat, diri kita itu telah dikatakan mati, binasa, hilang dan tidak lagi terlihat diri? Jika sekiranya mati dan jika sekiranya tidak lagi terlihat adanya diri, persoalannya di sini, siapakah yang makan-minum ini dan apakah orang mati itu masih lagi membutuhkan kepada nikah kahwin?
Orang yang mengenal Allah dan orang yang sudah sampai kepada makam makrifat itu, bukan bererti dirinya tidak ada, bukan bererti dirinya hilang dan bukan bererti dirinya menjadi Allah!
Untuk memahami apa yang akan saya jelaskan nanti, saya minta tuan-tuan duduk di hadapan peti televisyen. Jika nak menghayati betul-betul apa yang akan saya perkatakan ini, saya minta tuan-tuan buat betul-betul apa yang saya sarankan, baru dapat barokah ilmu. Jika saya suruh tuan-tuan tidak mahu ikut, itulah makanya tuan-tuan tidak akan faham apa yang akan saya perkatakan.
Jika tidak faham, itulah makanya menuduh ilmu ini sesat dan ilmu ini salah. Tetapi bilamana diminta ikut apa yang saya sarankan tuan-tuan tidak mahu ikut, bagaimana untuk mendatangkan faham? Untuk mendatangkan faham itu, ikut saranan saya. Bukan bertujuan untuk memperlekeh atau mempersendakan tuan-tuan, tetapi cara pendekatan untuk memberi faham, agar tidak timbulnya fitnah.
Sekarang pergi cari peti televisyen, saya minta tuan-tuan duduk di hadapan peti televisyen. Lihat, tilik dan saya minta tuan-tuan pandang peti televisyen (yang belum di on) atau yang belum dihidupkan atau televisyen yang belum ada siaran (offkan dulu peti televisyen itu) . Jika tidak ada televisyen, saya minta berhenti dulu baca dan pergi cari televisyen (jika nak mendapat barokah dan supaya tidak timbul kata tidak faham). Tidak faham itu, datangnya dari tidak ikut cakap guru, bukan datangnya dari salah guru.
Kepada ahli-ahli makrifat, duduklah perhatikan, tiliklah dan pandanglah pada peti televisyen. Lihat akan berapa inci, berapa besar, jenis apa, hitam-putih atau berwarna dan lihat apa sahaja yang ternampak. Apakah sudah dilihat? Jika sudah dilihat, saya minta dibuka (dionkan) peti televisyen itu sekarang.
Sekarang saya mahu tuan-tuan lihat, pandang dan tilik gambar, cerita atau apa yang terdapat di kaca televisyen.
Seumpama, tuan-tuan sedang menonton bola sepak atau sedang menonton drama TV. Jika lihat perlawanan bola sepak, semasa tuan-tuan melihat perlawanan bola sepak itu, apakah yang tuan nampak? Cuba jawab pertanyaan saya di dalam hati tuan-tuan. Apakah yang tuan-tuan nampak ketika melihat perlawanan bola di kaca TV? Apakah tuan-tuan nampak TV atau nampak perlawanan bola sepak? Cuba jawab dengan ilmu dan jujur, nampak TV ke atau nampak perlawanan bola sepak?
Jika kita kata kita lihat perlawanana bola sepak, ke mana perginya TV dan jika kita kata kita lihat TV, ke mana perginya perlawanan bola sepak? Jika kita lihat perlawanan bola sepak, apakah bola sepak itu ada di dalam TV. Cuba buka belakang TV, yang ada hanyalah wayar (tidak ada bola dalam TV atau di belakang TV) . Yang kita lihat itu TV, tetapi kenapa terlihat, terpandang dan tertilik permainan bola sepak? Semasa melihat perlawanan bola sepak, ke mana perginya TV, yang sebelumnya tuan lihat, tilik dan yang tuan-tuan nampak.
Sebelum buka siaran bola sepak, tentunya lihat TV dulu, tetapi setelah siaran berlangsung, ke mana perginya TV?
Apakah semasa kita melihat perlawanan bola sepak itu, TV itu hilang? Hilangkah TV itu bilamana kita lihat bola sepak? Biarpun di kala kita melihat perlawanan bola sepak, peti televisyen itu, tidak ke mana-mana, dia masih berdiri utuh di tempatnya, tanpa berubah walau seinci. Kaca TV, tidak berpindah tempat, tidak berubah wajah dan tidak bertukar jenama. TV tidak ke mana-mana, tidak hilang, tidak mati dan tidak binasa.
Yang dimaksudkan binasa TV itu, bilamana kita tertilik, terlihat dan terpandang siaran perlawanan bola sepak, biarpun TV di hadapan mata, tetapi kita tidak lagi tertilik atau tidak lagi terpandang peti televisyen. Biarpun TV itu ada di hadapan mata, yang terlihat itu, adalah siaran bola sepak. Itulah yang dimaksudkan mati sebelum mati, jangan sampai tertilik adanya diri dan maksud yang dikatakan diri kita tidak ada.
Bilamana mengenal Allah, diri kita mati, diri kita lebur dan diri kita tidak lagi terlihat diri. Di situ bukan bererti diri itu hilang, tetapi leburnya diri kita itu, seumpama leburnya peti televisyen di kala kita sedang melihat siaran perlawanan bola sepak. Maksud tidak ada di situ bukan bererti berubah tempat atau bukan bererti berubah wajah, tetapi lebur dan tidak ada, sebagaimana lebur dan tidak adanya TV, di kala siaran berlangsung atau tidak ada sebagaimana tidak adanya TV, semasa kita menonton perlawanan bola sepak di kaca TV.
Yang tendang bola itu, bukan TV, yang tendang bola itu, adalah siaran TV. Yang berlakon makan-minum, kahwin, cerai, beranak, bawa kereta, rompak, penyamun dan orang yang alim di dalam TV itu, bukan TV. Adapun yang makan-minum, nikah kahwin itu, adalah siaran TV (bukannya TV) . Yang berhajat kepada suara itu, siaran, yang berhajat kepada gambar itu adalah siaran, yang berhajat kepada berlakon selaku perompak itu, siaran, yang berlakon makan, nikah kahwin, beranak-pinak itu, adalah siaran bukannya TV.
Sungguhpun TV itu ada, cuba tuan-tuan bawa TV rosak, atau cuba tuan-tuan matikan siaran perlawanan bola sepak sekarang atau matikan siaran drama sekarang dan off kan TV sekarang.
Apakah yang tuan lihat, apakah ada lagi siaran yang minta makan, yang tendang bola dan apakah ada lagi siaran yang nikah kahwin? Sedangkan TV, masih di hadapan tuan-tuan, apakah TV boleh makan-minum, beranak isteri? Yang makan-minum dan beranak isteri itu, adalah siaran TV. Jadi siapakah TV, TV adalah sekadar selaku penyata bagi siaran! Diri kita itu, tidak ubah selaku penyata bagi Allah. Bukannya bagi bertujuan makan-minum, nikah kahwin atau lapar dahaga, tetapi diri kita itu, adalah selaku penyata bagi Allah.
Cuba bawa cerita itu kepada diri kita dan kepada diri tuan-tuan sendiri. Sebagaimana TV, begitulah adanya diri kita. Yang berhajat kepada sesuatu itu, bukan TV tetapi yang berhajat itu, adalah siaran.
Yang kedua, contoh kiasan wayang kulit. Yang berhajat kepada makan-minum, bini beranak itu, bukan patung wayang kulit tetapi yang berhajat itu, adalah Tok Dalang. Matinya patung wayang kulit itu, bagi menggambarkan yang hidup itu Tok Dalang. Bisunya wayang kulit itu, bagi menyatakan bahawa Tok Dalanglah yang berkata-kata. Yang dikatakan lapar dahaga itu, bukan patung wayang kulit, adapun dahaga dan lapar makan-minum itu, adalah Tok Dalang. Yang makan-minum itu bukan patung, yang berhajat dan yang berkehendak adalah Tok Dalang.
Yang berhajat kepada makan-minum itu, wayang kulit ke atau Tok Dalang? Yang berhajat kepada suara, berlakon sakit, berlakon susah dan berlakon itu dan itu, peti televisyen ke atau siaran?
Admin Cik Siti Jenar
No comments:
Post a Comment