Saturday, 11 February 2017

*Martabat Zikir**

*Martabat Zikir**
1. Laa ilaaha illallaah
(tidak ada tuhan melainkan Allah)
2. Laa ilaaha illa huwa
(tidak ada tuhan selain Dia)
3. Laa ilaaha illa anta
(tidak ada tuhan selain Engkau)
4. Laa ilaaha illa ana
(tidak ada tuhan selain Aku)
......................................
1. Laa ilaaha illaallaah
(zikir lidah)
2. Allah
(zikir hati)
3. Ah
(zikir nyawa)
4. Hu
(zikir sirr)
.......................................
Zikir Hu Allah, itu yang paling dalam lagi mendalam sampai ketinggian martabat Zat Ahadiyyat, tiada huruf dan suara.
Zikir Allah Hu, Zat Allah itu ada dalam segala sesuatu atau ain bagi segala haqiqat.
Zikir HuAllahu, Allah meliputi segala-galanya.
Ada tercatat di dalam kitab ahli ma'rifat terdahulu, ada zikir yang lebih halus dan tinggi lagi dari Zikir Hu, iaitu;
'Zikir Ah' - Lam Awal dan Lam Akhir luput dalam huruf ALLAH.
Zikir Ah Ah = Zikir Rasa atau Zikir Ruh... bila dizikirkan, berdiri seluruh bulu-bulu dan rasanya seperti kenikmatan orang yang sedang berjima'. Zikir Hu Hu = Zikir Rahasia... bila dizikirkan di hadapan burung kecil, maka burung itu akan ikut mengangguk-angguk mengikut Zikir Hu Hu..
.....................................
~ ZIKIR NAFAS ~
Zikir nafas itu melalui hubungan nafas yang keluar masuk disertakan zikir Hu Allah tanpa diucapkan dengan bibir suara dan hanya menyebutnya di dalam hati sahaja. Hu adalah ketika jalannya memasuki nafas seraya mengingati Lailaha illa Hu (tiada yang wujud melainkan DIA) di dalam kesedaran hakikat diri, dan Allah adalah ketika menzahirkan nafas seraya mengingati Lamaujuda ilallah (tiada yang maujud melainkan Allah) di dalam kesedaran syariat diri. Bermulanya setiap manusia itu melakukan zikir nafas ialah ketika sejak mula lahirnya sebagai bayi di dunia ini. Bayi itu telah mengambil salah-satu unsur iaitu udara di bumi ini untuk menjadi gerakan nafasnya. Nafas yang masuk membawa kehidupan dan nafas yang keluar membawa tenaga batiniah. Sebenarnya nafas itu juga terdirinya dua huruf. Nafas yang masuk terdiri huruf HA, manakala nafas yang keluar terdiri huruf Waw, maka sambungan kedua huruf itu adalah perkataan HUWA (DIA).
Pada peringkat awal zikir nafas ini bersandarkan juga daya ingat kepada Allah atau saat mengingati Allah. Bagaimanapun, zikir yang berdasarkan semata-mata pada daya ingatan, sebenarnya tidak kekal kerana sifat akal manusia itu sebenarnya lemah. Sebentar mengingati Allah dan sebentar pula hilang tumpuan ingatannya kepada Allah kerana terhalang oleh sebab yang melalaikannya apabila tumpuannya beralih kepada selain Allah.
Setelah zikir nafas itu tidak lagi tergantung pada keluar-masuknya nafas, maka zikir Hu Allah itu pun berpadu dalam diam di bawah kesedarannya serta tidak lagi terpaut pada daya ingatan dan nafas jasmaninya, kecuali telah menjadi zikir roh atau roh yang berzikir, sementara seluruh jasad telah dikatakan mati maknawi, yakni dikatakan mati sebelum mati.
Zikir roh itu tidak akan tercapai selagi tidak membuka pintu kesedaran batin. Justeru itulah zikir roh bukan lagi dengan nafas tetapi adalah dengan penyingkapan kesedaran matahati yang terdalam atau ‘ainul bashirah. Apabila pintu kesedaran batin sudah terbuka, maka dengan sendirinya zikir Hu Allah itu pun tidak lagi berulang-ulang lalu meresap hilang di dalam musyahadah rahsia NurNya, dengan ertikata lain rahsia NurNya itulah yang berzikir, dan pada ketika yang sama roh telah dapat mengenal siapakah dirinya atau siapakah hakikatnya yang tidak lain adalah wujud Allah di martabat Wahdat al-Syuhud dalam penyaksian saling pandang-memandang di antara Nurun ‘alan Nur tanpa jarak di atas, di bawah, di kiri atau di kanan. Roh merasakan berada sangat hampir sekali dengan Allah, tetapi terlalu hampirnya roh itu dengan Allah bukan difahami secara konsep pantheisme, iaitu seperti bercantumnya dua helai kain perca di antara makhluk dengan Allah, atau makhluk menjadi Allah dan Allah menjadi makhluk dalam maksud dua wujud menjadi satu. Atau contohnya seperti air, gula, kopi dan susu dibancuh menjadi minuman di dalam satu cawan. Samasekali tidak. Roh adalah yang tidak dijadikan kerana ianya termasuk di dalam perintah atau urusan Allah dan adalah dari Allah. Hampirnya roh itu dengan Allah seumpama matahari dengan pancaran cahayanya. Matahari dengan sinar cahayanya bukanlah dua bentuk yang berbeda dan tersendiri, melainkan sinar cahaya matahari itu adalah dari matahari itu juga.
Roh boleh diibaratkan sebagai permukaan cermin dan melaluinya Allah melihat DiriNya sendiri dalam tajalliNya tetapi bukan di dalam kemutlakanNya, kerana ilmuNya yang mutlak itu hanya ada pada DiriNya dan milikNya sahaja. Justeru itu roh adalah alat yang dengannya Allah mengenal DiriNya sebagaimana keinginannya dari sejak azali terungkap di dalam sebuah hadis qudsi, “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku rindu untuk dikenali maka Kujadikan makhluk agar DiriKu dikenali.”
Roh tidak ada keinginan lain hanya tumpuannya semata-mata kepada Allah. Allah telah menempatkan rohNya yang suci ini hanya pada tubuh Insan al-Kamil dan hanya Insan al-Kamil inilah yang menjadi tumpuan kesedaran Allah bahwa siapa yang kenal dirinya, akan kenallah Allah. Insan al-Kamil ini ibarat sepohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, dimana pohonnya mengandungi terlalu banyak keberkahan sebagaimana diceritakan di dalam al-Quran, Surah an-Nur: 35. Keberkahan yang dimaksudkan itu ialah kelimpahan ilmuNya yang dikurniakan kepada roh dan dengan itu roh dapat menyaksikan Allah pada semua HadratNya, sebagaimana sebiji benih yang dapat menyingkap seluruh rahsianya pada setiap bahagian pohon seperti akarnya, batangnya, rantingnya, daunnya dan buahnya.
Zikir roh itulah yang sebenarnya dikatakan zikir nafas. Manakala zikir yang bersama keluar-masuknya udara nafas itu adalah zikir yang majazi (sementara) sahaja. Zikir roh itulah juga dianggap oleh kaum ariffin sebagai sholat daim, yakni sholat yang berkekalan dan tidak berwaktu. Roh itu sentiasa berada di dalam kawasan kesedarannya menyaksikan Allah seperti firmanNya, “Bukankah Aku Tuhanmu?” “Bahkan! Aku menyaksikanMu!” dijawab oleh roh. Roh telah dihantarkan ke alam qalbu (hati) atau namanya Alam Mitsal untuk memikul tugas khalifah maka itu roh pun diturunkan ke Alam Ajsam atau jasad manusia. Hanya hati manusia yang suci bersih dapat menyedari bahwa roh itulah suatu hakikat yang bergelar Al-Nur, dirujukkan kepada posisi Aku dalam sudut batin manusia yang terdalam dan juga dinamakan Sirr. Menurut Syekh Ibnu Arabi, hati atau qalbu manusia yang suci bersih itu dapat menggambarkan semua kesempurnaan Allah kerana hati manusia itu mengandungi aspek-aspek Ketuhanan.
Roh sebagai Al-Nur itu mestilah ada perhubungannya dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah roh dapat bertindak dalam semua laluan fakulti manusia baik yang zahir atau batin, sebagaimana mampu menggambarkan idea, memahami rupa, warna, huruf dan suara. Namun penglihatan dan pengetahuan dari hakikat roh itu sendiri kembali kepada wujud Allah dan perbuatan Allah. Allah yang dilihat adalah Allah yang maha melihat, Allah yang diketahui adalah Allah yang maha mengetahui setelah mencapai puncak rasa dan syuhud di dalam kesatuan zikir nafas.
..................................
Ada juga mereka yang mengajukan pertanyaan-pertanyaan seumpama ini kepadaku: apakah MISYKAT itu? Apakah ada zikir-zikir tertentu untuk mengamalkannya? Apakah ianya seperti Thariqah? Masya-Allah. Apabila kuberikan jawaban; MISYKAT itu bukanlah zikir-zikir atau bacaan amalan tertentu yang boleh memenatkan, ada di antara mereka yang rasa hairan (pelik) dan sukar untuk memahamkan atau menerimanya dengan akal fikiran yang waras. Yang dikatakan himpunan zikir tertentu itu adalah AWRAD atau RATIB. Yang dikatakan Thariqah itu adalah perjalanan Salik mencari Tuhannya. Dan di dalam setiap Thariqah itu perjalanannya hanya dengan SATU landasan dan dengan SATU kenderaan iaitu zikir LAA ILHA ILLALLAH untuk mencapai maqam TAUHID Asma', Af'al, Sifat dan Zat yang membawa kepada penyingkapan Haqiqat dan penyaksian MakrifatulLah. Tak ada amalan lain selain kalimah ini. Sebagaimana dikatakan sebelumnya; MISYKAT itu tidak ada zikir atau amalan yang memenatkan, maka jalannya adalah MAHABBAH (CINTA) untuk Allah sahaja dengan tulus dan ikhlas. Jika anda masih mencari Allah itu dengan amal, selagi itulah anda akan berada dengan wujud diri anda sendiri yang menjadi penghalang besar bagi anda untuk mengenal Allah. Maka MISYKAT juga adalah penyerahan seluruhnya kepada Allah tanpa ada wujud diri anda lagi, sudah tentunya anda itu adalah kepunyaan Allah, anda hidup kekal dengan Allah.
....................................
ZIKIR QALBU
Zikir Qalbu bukanlah maknanya berzikir atau menyebutkan zikir itu di dalam hati tanpa menggunakan anggota lidahnya untuk melafazkan zikir.
Zikir Qalbu adalah Qalbu itu sendiri yang berzikir tanpa menggunakan bacaan huruf dan suara kecuali syuhud kepada Allah dan memandang Allah itu ada pada segala sesuatu yakni makhluk.
Sedangkan Zikir Roh sudah tidak lagi terpandang adanya makhluk yakni hanya memandang bahwa Diri Allah itu sahaja yang ada.
Zikir Sirr pula ialah tiada lagi wujud yang lain kecuali Yang Memandang dan Dipandang itu sama sahaja di dalam satu Wujud yakni AKU yang menyatakan DIriKU dari Diri BatinKU - HU (DIA). Misalnya di dalam cermin itu sebenarnya tiada gambar atau bayangan. Yang Melihat dan Dilihat itu adalah AKU jua.
.................................
Dia yg mengingati Diri-Nya atau kita yg mengingati Diri-Nya ?
Huhu
Zikir itu dari Dia dan berakhir kpd Dia, Jadi dimana kita ?
Pandangan syariat : titik Tuhan - titik makhluk - titik Tuhan.
Pandangan hakikat : titik Tuhan - titik Tuhan - titik Tuhan.
......................................
Ibnu ‘Athaillah Al-Sakandari dalam kitab Hikamnya berkata, “Tatkala kau berzikir dengan lisan, semua benda mati akan turut berzikir bersamamu. Tatkala kau berzikir dengan qalbu, alam berserta seluruh isinya akan turut berzikir bersamamu. Tatkala kau berzikir dengan nafsmu, seluruh lapisan langit berserta isinya akan turut berzikir bersamamu. Tatkala kau berzikir dengan rohmu, kerajaan Allah berserta seluruh isinya akan turut berzikir bersamamu. Tatkala kau berzikir dengan akalmu, para malaikat pemikul ‘Arasy dan roh darjat orang-orang yang tersangat hampir dengan Allah akan turut berzikir bersamamu. Tatkala kau berzikir dengan sirrmu, ‘Arasy berserta seluruh isinya akan turut berzikir bersamamu hingga zikir tersebut bersambung dengan Zat Allah.”
.......................................
Pada suatu ketika ada seseorang mengajukan masaalahnya ketika berzikir lalu dia berkata kepadaku, "Sudah banyak zikir yang kubaca, sudah kuhafal seluruh maknanya dan ada telah kualami keajaiban karamahnya. Hanya satu yang masih terasa kurang bagiku. Mengapakah dalam berzikir aku masih belum dapat merasakan bersatu dengan Allah? Seolah-olah Allah itu jauh dariku, dan aku jauh dariNya. Seperti ada batas atau hijab pemisah antara aku dan Allah. Konflik persoalan ini terus bermain di lubuk fikiranku, sehingga terbawa-bawa ke klimaks batin yang amat membingungkan tanpa penjelasan. Akhirnya membuatkan aku sendiri merasa jemu untuk meneruskan zikir. Apakah ada yang salah pada zikirku? Padahal zikir-zikirku itu kuperolehi secara talqin dan ijazah dari seorang guru mursyid!"
Pertanyaan darinya itu tidak kujawab secara spontan. Agak lama aku terdiam sambil mengambil waktu untuk berfikir. Setelah aku yakin mungkin dapat membantu pertanyaannya itu, dengan tenang aku cuba berkata;
1. masalah yang utama sekali ialah dalam zikir itu kau tidak mengenalNya sebagaimana mengenalNya dengan sebenar-benarnya kenal. Kau sekadar mengenalNya dalam ilmu-ilmu kalam yang kaupelajari tetapi tidak dengan rahsia misykat qalbumu yang terdalam. Apabila kau tidak mengenalNya dengan qalbu, maka asas niatmu untuk berzikir itu tidak kaubangunkan dari sudut yang benar dan sempurna. Justru itu kau harus memperbetulkan niatmu dahulu. Kemudian kau bina niatmu itu semata-mata kerna Allah. Setiap ibadah itu seharusnya dibangunkan atas dasar tauhid dan taqwa dan bukan kerna mendambakan ganjarannya. Orang yang berzikir itu sewajarnya berada di maqam ikhlas. Bersabda Nabi saw, "Sesungguhnya (nilai) niat itu lebih utama dari perbuatan."
2. apabila kau tidak mengenalNya melalui misykat qalbumu, maka zikirmu itu bertindak atas kemahuan nafsumu sendiri. Kesilapanmu adalah kerna kau terlalu bergantung dengan amalmu dan tidak dengan rahmat dan kasih-sayang Allah. Lantaran itu kau menganggap zikirmu adalah dari usaha dirimu sendiri dan bukan dari kurniaan Allah.
3. kau beranggapan ketika kau berzikir bahwa kaulah yang mengingati Allah dan Allah itulah yang diingati. Lantaran demikian, sebenarnya kau tidak berserahkan dirimu sepenuh-penuhnya kepada Allah, tiada sifat tawakal dan redhamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya redha dan tawakal. Bagaimana mungkin kau dapat bersatu dengan Allah selagi kau belum berserah diri kepada Allah?
4. Sesungguhnya tiada yang mengingati Allah melainkan Allah, tiada yang memuji Allah melainkan Allah. Dirimu hanyalah bekas penzahiran Allah. Kau sebenarnya tiada, kosong semata-mata. Kau bukanlah kau sebenarnya. Ketika kau berzikir, sebenarnya bukan kau yang berzikir, tetapi Allah yang berzikir memuji ZatNya sendiri. Kau sekadar menjadi alat pilihanNya. Suara zikir yang melantun keluar dari lisanmu adalah sebenarnya suara Allah. Gema zikir yang menerawang dalam batinmu adalah sebenarnya kalam Allah. Sayangnya kau tidak menyedarinya.
5. janganlah kau berzikir dengan tujuan zikir kerna zikir. Kerna ini akan membuatmu terperangkap dan terpesona di maqam yang akan memperlihatkan pelbagai keajaiban karamah, tetapi ini jugalah yang menghambatmu dalam perhubungan makrifat dengan Allah. Pedulikan tentang keajaiban-keajaiban zikir yang terutamanya boleh mendatangkan pujian dan gelaran orang kepadamu sebagai 'Wali'. Berzikirlah dari Allah dengan Allah kepada Allah bersama Allah dan kerna Allah. Tutuplah rapat-rapat pintu bibirmu agar zikir itu tidak kedengaran oleh sesiapa pun, hatta malaikat yang bertugas mencatatkan amalmu di bahu kanan pun tidak tahu di manakah munculnya zikir itu. Biarkan Allah sahaja yang tahu zikir itu berada di dalam 'Sirrmu' – yakni di kamar yang Jibril sendiri pun dilarang memasukinya, agar kau terlepas dari rasa ujub dan riak serta tidak dipuji orang.
6. jika kau telah dapat menjalankan zikir atas rasa ikhlas semata-mata kepada Allah dan Allah redha kepadamu, ketahuilah bahwa ikhlas itulah tauhid sebenarnya, Allah sendiri yang akan membimbingmu dan mengajarkanmu zikir yang khusus yang hanya kau sahaja yang mengetahui tentang rahsia zikir itu, dimana zikir itu tidak diajarkan atau diketahui oleh orang awam, sebagai sarana untuk kau bertemu, mengenal dan bersatu denganNya.
7. Dan terakhir sekali apa yang ingin kukatakan; tinggalkanlah semua zikirmu yang lalu itu kecuali ibadah yang diwajibkan ke atasmu serta amalan-amalan sunnat yang terutama dianjurkan oleh Rasulullah saw. Seorang dalam perjalanan tidak perlu membawa sarat bekalan yang begitu banyak hingga menyusahkan perjalanannya. Tinggalkan juga zikir yang berkhadam semasa kau memperolehi ijazahnya daripada gurumu itu. Sebaliknya amalkanlah zikir Haq tanpa bertawassul kepada khadam. Zikir berkhadam itu meskipun diharuskan di sisi hukum syarak dan cepat mendatangkan bermacam hasil bantuan dan faedah, tetapi kebaikan itu hanya untuk diraih semasa hayatmu di dunia sahaja, tetapi tidak membawamu kepada makrifatullah. Bila kau telah meninggalkan dunia yang fana ini, khadam-khadam itu tidak akan lagi berkhidmat kepadamu dan meninggalkanmu sendirian menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nangkir. Setelah kau tidak lagi dibebankan oleh zikirmu yang lalu, kau akan merasakan keringanan tanpa memboroskan lagi banyak waktu dan tenagamu yang mengalir. Zikir Haq itu boleh kaulakukan kapan-kapan saja, tanpa terikat lagi dengan waktu dan tenaga, tanpa kau perlu berpenat-lelah dan mulutmu berkomat-kamit. Tetapi sebelum kau dapat melakukan Zikir Haq ini, terlebih dahulu kau harus mematikan seluruh wujud dirimu. Selagi ada wujud dirimu, maka Zikir Haq ini mustahil dapat kaulakukan dengan sebaiknya. Zikir Haq itu ialah ingat kepada Allah dengan Allah bersama Allah dalam sudut qalbumu yang terdalam serta dalam suasana yang paling diam dan hening tanpa perlu mengeluarkan sebarang ucapan hanya merasakan kehadiran Allah itu ada bersama-samamu di mana pun kau berada, sehinggalah kau dapat merasakan bersatu denganNya seperti terbakarnya besi ke dalam api, besi itu menjadi api, api itulah besi yang membakar- tidak kau lihat sesuatu sebelumnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesudahnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesuatu di dalamnya melainkan Allah, akhirnya tiada lagi yang wujud melainkan Allah di dalam maqam Insan Al-Kamil – sampai cukup masanya besi telah keluar dari api sebagai besi yang indah dan sempurna, tidak lagi sebagai besi yang hodoh dan berkarat serta berkebaikan buat kehidupan dunia dan akhirat.
dari FB tuan Shahibul Karib

No comments:

Post a Comment