POLIGAMI merupakan suatu perkara yang amat sensitif dalam kalangan sesetengah golongan khususnya wanita. Namun sebenarnya masih ramai tidak memahami aplikasi undang-undang poligami yang dilaksanakan di Malaysia.
Ramai masih berselindung di sebalik isu ‘sunnah Nabi’ dan mendapat ‘payung emas di syurga nanti’.
Ruangan kali ini tidak berhasrat untuk membincangkan tentang hukum berpoligami.
Hal yang ingin dibincangkan pada kali ini adalah dari sudut perundangan bagaimanakah perkahwinan poligami boleh dilakukan dan apa hak-hak yang ada bagi suami yang berpoligami serta isteri sedia ada dan bakal isteri.
Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan, tiada seorang pun lelaki boleh berpoligami melainkan terlebih dahulu mendapat kebenaran secara bertulis dari mahkamah syariah.
Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa perkahwinan yang dibenarkan mengikut undang-undang adalah bersifat monogami manakala poligami adalah kecualiannya sahaja.
Bagi mendapatkan kebenaran tersebut, suatu permohonan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah dengan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan.
Pemohon juga perlu menyatakan bilangan tanggungannya termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu. Malah, fakta sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri sedia ada telah diperoleh atau tidak, juga hendaklah dinyatakan dalam permohonan tersebut bagi pertimbangan mahkamah.
Apabila menerima permohonan tersebut mahkamah syariah hendaklah memanggil suami yang ingin berpoligami tersebut, isteri atau isteri-isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain yang difikirkan mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir untuk didengar secara tertutup.
Empat syarat utama yang perlu dibuktikan suami yang ingin berpoligami adalah:
1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu memandang kepada antara lain hal-hal keadaan isteri sedia ada seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan atau gila.
2. Pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki hukum syarak semua isteri dan orang tanggungannya termasuk yang bakal menjadi tanggungannya.
3. Pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut hukum syarak;
4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada.
Sekiranya keempat-empat syarat di atas dapat dibuktikan suami kepada mahkamah syariah, mahkamah boleh memberikan kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang dipohon. Namun sekiranya gagal membuktikannya, kebenaran tidak akan diberikan.
Perkara yang sangat penting tetapi sering kali terlepas pandang oleh isteri sedia ada apabila suami memohon untuk berpoligami adalah hak mereka dalam seksyen 23(10) enakmen sama.
Seksyen tersebut menyebut tiap-tiap mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen tersebut, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak untuk mengehendaki seseorang membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada, memerintahkan apa-apa aset yang telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan dengan usaha bersama dibahagi antara mereka ataupun supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.
Oleh hal yang demikian, para isteri hendaklah mengemukakan tuntutan nafkah dan aset bersama ini apabila kebenaran berpoligami diberikan kepada suami agar hak mereka lebih terjamin apabila poligami berlaku.
Namun begitu, oleh kerana syarat berpoligami di Malaysia dikatakan agak ketat, ramai yang mencari jalan mudah bernikah terlebih dahulu dan barulah mendaftarkan perkahwinan kedua mereka.
Terdapat risiko besar terhadap perbuatan sebegini iaitu jika mahkamah mendapati perkahwinan tersebut tidak sah dari sudut hukum syarak upacaranya, perkahwinan itu mungkin tidak akan didaftarkan di Malaysia. Jika keadaan ini berlaku anda tidak boleh menuntut hak anda di Malaysia kerana Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan tersebut.
Poligami tidak akan berlaku daripada sebelah pihak. Mesti ada dua hati yang terpaut mahu mengikat tali perkahwinan. Poligami boleh menjadi syurga bagi pasangan kepada perkahwinan, juga boleh menjadi neraka kepada pihak yang berkenaan.
Oleh itu, bagi yang telah atau akan melaksanakan perkahwinan poligami, hendaklah mengetahui hak dan tanggungjawab mereka supaya perkahwinan tersebut mencapai objektif perkahwinan dalam Islam.
No comments:
Post a Comment