Sunday, 18 September 2016

taubat

Apakah tujuan kita bertaubat?
Taubat pada pengertian orang awam (syariat) itu, adalah memohon ampun dan maaf kepada Allah, atas kesalahan dan kesilapan kita yang telah lalu.
Bila mana kita melihat taubat dari sudut pandang ilmu makrifat, taubat dari sudut pandang ilmu makrifat itu, adalah bukan bertujuan untuk kita memohon ampun (pelepasan dosa), kepada segala dosa-dosa kita yang lampau, yang sekarang dan dosa-dosa kita yang akan datang!
Apakah perbuatan baik atau buruk itu, suatu perkara baru?
Tentang dosa atau pahala yang kita lakukan, baik yang sudah lepas, yang sekarang dan yang akan datang, pada pengertian ilmu makrifat itu, bukan suatu perkara baru (bukan perkara yang baru kita lakukan), ada pun segala perbuatan baik atau buruk yang kita lakukan itu, adalah suatu perkara yang sudah lama, iaitu suatu perkara yang sudah lama Allah tetapkan (sejak azali).
Berlakunya sesuatu perkara, samada ianya perkara baik mahu pun perkara buruk itu, adalah mengikut ketetapan, mengikut garisan, mengikut catatan, mengikut tulisan dan mengikut kehendak yang sedia termaktub di dalam ilmu Allah (luh hul mahfuz).
Apa yang berlaku (apa perkara yang kita buat itu), adalah perkara yang telah tercatat oleh Allah. Allah Taala telah sedia menetapkan karanganNya dari dulu dan kita mengikut apa yang dikehendaki Allah yang sedia tercatat di dalam kalam Allah di Luh Mahfuz sejak azali.
Perkara baik, jahat, amar makruf, nahi mungkar, buruk atau elok itu, adalah sesuatu perkara yang sudah lama diketahui Allah, selaku pencipta buruk dan baik hamba-hambaNya. Selaku makhluk manusia yang bersifat dengan sifat baharu itu, manalah kita ada kuasa untuk menahan, menolak, menegah atau mengubah apa yang telah tercatat oleh tangan Allah sendiri!
Apakah ketetapan Allah itu, boleh diubah-ubah atau dipadam-padam catatannya?
Tidak layak bagi kita untuk meminta Allah memadam atau mengubah kembali apa yang sudah sedia ditetapkan. Sekiranya Allah selalu menukar-nukar atau selalu mengubah-ubah dengan apa yang telah ditetapkan, seolah-olah Allah itu buat kerja dua kali, seolah-olah Allah itu, tidak tahu apa yang dikehendaki oleh hambaNya dan tidak pandai untuk buat kerja sekali.
Jika sekiranya Allah itu selalu meminda dan menukar apa catatan yang telah dibuat, maka Allah itu kena patuh, kena akur dan kena taat kepada keinginan, kemahuan atau mengikut apa sahaja hajat makhluk manusia. Sepatutnya kita selaku makhluk manusia yang sepatutnya patuh, taat dan akur kepada ketetapan Allah dan bukan sebaliknya, Allah pula yang patuh dan yang mengikut kehendak kita!
Kita memohon supaya Allah mengubah ketetapan baik buruk kita, seolah-olah Allah itu tidak konsisten (tetap) dalam menentukan atau mengagak perkara akan datang yang akan berlaku di kemudian hari, sehingga memaksa Allah bertindak untuk menukar, mengubah, meminda dan memadam kembali ketetapanNya yang sudah sedia ada dan yang sudah sedia tercatat, untuk diganti dengan ketetapan baru!
Seolah-olah Allah itu, tidak mengetahui perkara yang akan berlaku. Allah itu, seolah-olah kena tunggu makhluk minta, baru Allah tahu akan hajat makhluk. Sekiranya makhluk tidak minta, seolah-olah Allah tidak tahu hajat kita! (adakah setelah kita minta, baru Allah tahu). Apakah setelah lahirnya makhluk ke dunia atau apakah setelah berlaku sesuatu kejahatan atau kebaikan, baru Allah tahu kehendak dan keinginann kita? Cuba jawab…
Apakah tulisan terdahulu Allah itu, tidak lagi relevan (tidak boleh diguna pakai) lagi untuk masa-masa yang akan datang, sehingga memaksa Allah mengubah ketetapan lama kepada ketetapan baru. Apakah Allah itu, tidak Maha Mengetahui? Apakah Allah itu seolah-olah tiada komitmen (ketidak tanggunjawaban) di atas ketetapan yang telah ditetapkanNya sendiri? Sila jawab pertanyaan ini…
Apakah maksud, makna, dan erti taubat?
Taubat mengikut suluhan kaca mata ilmu makrifat itu, adalah bermaksud, bermakna dan bererti “kembali” (penyerahan). Sekali lagi saya catatkan bahawa erti taubat itu, adalah “kembali”!
Perkataan taubat itu, adalah bahasa Arab. Manakala dalam bahasa Melayu, taubat itu adalah bermakna, bermaksud, atau bererti “kembali”. Bahasa Arab menyebut taubat manakala bahasa Melayu menyebut “kembali”. Tafsiran maksud atau tafsiran makna tersebut, bukan saya yang buat-buat ikut pandai saya. Maksud, makna dan erti perkataan itu, adalah dari terjemahan bahasa Arab yang betul. Tuan-tuan boleh rujuk kepada pakar bahasa Arab dan tuan-tuan boleh rujuk sendiri kepada bahagian penyelidikan bahasa di JAKIM Putrajaya!
Mengikut suluhan dari sudut pandang ilmu makrifat, erti taubat, maksud taubat, atau makna taubat itu, bukanya bererti meminta dosa diampun Allah! Ingat itu…
Tuan-tuan tidak akan yakin dan tidak akan percaya kepada kata-kata saya, kerana saya bukan orang yang berbangsa Arab. Tetapi percaya dan yakinlah bahawa, tulisan karangan saya ini, adalah mengikut terjemahan bahasa Arab yang sebenar.
Apakah yang hendak dikembalikan?
Ada pun maksud kembali itu, adalah penyerahan diri (penyerahan buruk dan baik) kepada Allah Taala. Itulah makanya, di dalam mempelajari ilmu makrifat (ilmu rohani), kita hendaklah terlebih dahulu benar-benar memahami erti, makna dan maksud sebenar taubat.
Pengertian taubat yang sebenar-benar mengikut penterjemahan JAKIM, dan sebenar-benar terjemahan maksud bahasa Arab itu, adalah bermaksud ‘kembali’, adalah ertinya ‘kembali’ dan adalah maknanya ‘kembali’. Ingat pesan saya! Sila rujuk maksud taubat yang sebenar-benar dalam bahasa Arab, adalah membawa erti ‘penyerahan’. Sila rujuk kepada JAKIM, dan sila rujuk kepada pakar bahasa Arab. Barulah kita boleh menyelami erti sebenar maksud taubat!
Saya ingin berpesan kepada sekalian pembaca yang budiman. Tuan-tuan dan puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Jangan sekali-kali lagi menerima bulat-bulat tafsiran, erti , makna dan maksud yang dibuat dari ilmu feqah. Kebanyakan ilmuwan feqah ini, mentafsir perkara taubat itu, sebagai memohon kepada Allah supaya mengubah ketetapan yang telah Allah buat (taubat).
Seolah-olah memohon Allah memadam, menukar, membatal (cancel) tulisan yang sedia azali kepada tulisan baru, iaitu buruk (mungkar) kepada baik (makruf). Sedangkan ketahuilah wahai pembaca yang budiman sekalian, maksud sebenar taubat itu, adalah penyerahan (inilah maksud bahasa arab yang sebenar).
Begitu juga dengan maksud Iqra. Mengkut tafsiran feqah, iqra itu bererti baca. Ada pun mengikut terjemahan bahasa Arab, erti, makna, atau maksud perkataan iqra itu, adalah ‘pengakuan’.
Begitu juga dengan maksud langit (isra’ mikraj baginda Rasulullah). Maksud tafsiran feqah, Rasulullah berjumpa Allah di langit. Di langit yang di atas kepala, di langit yang di atas awan, di langit yang di atas matahari, di langit yang di atas angkasa. Ada pun maksud terjemahan bahasa Arab yang sebenar itu, adalah bererti ‘ketinggian’. Barulah tanggapan kita selama ini yang Baginda Rasullulah pergi berjumpa Allah di atas langit itu, bukanlah langit yang di atas angkasa, tetapi ‘langit ketinggian’ (ketinggian ilmu).
Dengan itu, tidaklah lagi kita beriktiqad Allah itu berada di langit. Tidak lagi beriktiqad Allah itu bertempat. Bila mana kita mengetahui maksud bahasa arab yang sebenar, terhindarlah kita daripada beriktiqad bahawa Allah itu berada di atas langit (atas awan biru atau atas kepala kita). Sesiapa yang beriktiqad bahawa Allah itu bertempat, maka hukumnya kafir. Dengan mengetahui terjemahan bahasa arab yang sebenar, barulah kita terhindar daipada kafir, sebagaimana tafsiran yang dibuat oleh hukum feqah (mengatakan Allah itu di atas langit, langit yang di atas kepala).
Begitu juga dengan perkataan Buraq. Buraq dalam terjemahan feqah, diertikan sebagai kuda putih yang bersayap. Mengikut terjemahan bahasa arab yang sebenar, buraq itu ertinya kilat. Kilat pula ertinya pantas, laju, dan cepat (buraq itu adalah ertinya kepantasan). Ada pun yang dimaksudkan dengan kepantasan itu, bukanlah kuda putih yang bersayap. Kepantasan yang mengikut ilmu makrifat itu, adalah kepantasan ilmunya. Kecepatan ilmunya. Kelajuan ilmunya Baginda Rasullulah, bukannya kelajuan kuda!
Begitulah pengertian taubat mengikut suluhan ilmu makrifat. Taubat dalam suluhan ilmu makrifat itu, bukan bermaksud taubat yang tidak mengulangi kesalahan-kesalahan lama.Bukan bererti taubat yang menyesal kesalahan-kesalahan lepas, dosa-dosa lalu. Tidak bermaksud taubat untuk tidak mengulangi kejahatan-kejahatan lampau. Taubat yang tidak bermaksud berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan-kesalahan terdahulu.
Ada pun taubat yang sebenar-benar taubat mengikut suluhan kaca mata ilmu makrifat dari makna bahasa Arab yang sebenar itu, adalah kembali, iaitu kembali kepada Allah Taala.
Admin Sheikh al-Islam

No comments:

Post a Comment