WAHDAT AL WUJUD
(KeEsaan Wujud)
(KeEsaan Wujud)
Bagi ahli sufi keEsaan wujud amat penting difahami kerana kalau tersalah tafsiran akan mengakibatkan syirik dan kufur. Seorang sufi terkenal al Balyani, pernah membincangkan tentang keEsaan wujud ini. Beliau berkata kepada pencari-pencari (Allah) yang setia, jadilah kamu bekas untuk Allah.
Jikalau kamu tidak menjadi bekas kepada Dia, janganlah kamu menjadi bekas untuk diri kamu sendiri, kerana dengan tidak menjadi bekas untuk diri kamu sendiri, dengan sendirinya kamu menjadi bekas untuk Dia (menjadi bekas itu seperti menjadi tempat penzahiran Dia di dunia ini). Dan beliau dengan lebih berani menyatakan: Sebaik-baiknya kamu jadilah Dia.
Jikalau kamu bukan Dia, janganlah kamu jadi diri kamu sendiri, jikalau kamu bukan diri kamu sendiri kamu adalah DIA. Wah, sungguh berani pernyataan beliau (tetapi ia ditujukan kepada khalayaknya), dapatkah semua orang menerima pendapat yang begitu, tetapi hakikatnya itulah makrifatullah yang sebenar, yang dipegang oleh ahli-ahli sufi besar yang lain.
Tiada yang melihat Dia, kecuali Dia. Tidak ada nabi, wali atau malaikat yang kenal Dia. Hanya Dia yang kenal Dia. Dia mengutus diriNya kepada diriNya sendiri dengan cara diriNya sendiri, dari diriNya sendiri kepada diriNya sendiri. Tidak ada penyebab kecuali diriNya sendiri. Tidak ada perbedaan antara “yang mengutus” dengan “yang diutus” dan “yang menerima utusan”.
Kenabian dan kerasulan itu pun diri Dia sendiri juga.
Dapatkah Allah dikenal dengan nyata dan terang?
Jikalau boleh bagaimanakah caranya?
Ya, inilah yang perlu jelas bagi salik pencari Tuhannya. Al-Quran telah memberikan panduan kepada kita tentang Tuhan Semesta Alam, bahwa Allah tidak dapat dijangkau akal fikiran, tidak dapat dibayangkan dan tiada suatu pun yang menyerupainya, di samping itu Allah juga Maha Meliputi.
Dan di sinilah banyak salik yang keliru..
Mereka beranggapan Allah itu tidak dapat dilihat.. Ini adalah persoalan yang rumit, jikalau kita hanya memakai akal fikiran, sedangkan Al-Quran sendiri telah menyatakan, Allah itu tidak dapat dijangkau dengan akal fikiran, jikalau mahu mengenal Nya, janganlah pakai akal fikiran, kerana ia tidak akan menyampaikan kamu kepadaNya.. Dapatkah Dia dilihat dengan nyata dan terang? Bagi para wali ALLAH sudah pasti boleh, kerana sufi terkenal Hassan al Banna pun telah menyatakan, “Aku tidak menyembah Tuhan yang tidak aku kenal.." Bermakna beliau kenal kepada Tuhannya, kalau kenal pasti beliau melihatnya, kerana kenal dengan melihat itu pasti seiringan.
Perlu saya nyatakan, memang benar Allah tidak dapat dilihat dengan mata zahir, tetapi melihat Allah adalah dengan mata hati, bukankah kita ini “dua dalam satu”, (zahir dan batin), yang zahir tidak dapat melihat, tapi yang batin dapat melihatNya. Jadi apabila ada orang menyatakan, Dia tidak dapat dilihat, ini bermakna mereka hanya kenal diri yang zahir sahaja, tetapi tidak mengenal diri mereka yang batin, alangkah ruginya mereka yang sebegini. Allah dapat dikenal dengan mata hati, dan dengan mempelajari sifat-sifatNya. Hanya dengan jalan inilah kita dapat mengenal dan melihat Allah dengan nyata dan terang, iaitu dengan pandangan mata hati.
Jikalau ada orang menyatakan ada jalan lain yang dapat mengenalkan Dia dengan sebenar-benar perkenalan, itu bagi saya hanya dusta belaka, dan mereka sendiri saya pasti, mereka juga belum melihatNya dengan nyata dan terang. MelihatNya dengan nyata dan terang adalah dengan merasakan kehadiranNya, tanpa syak wasangka lagi. Inilah yang dikatakan ilmu rasa.. Hanya yang merasa yang mengenal, dan melihatNya dengan nyata dan terang.
Hadis Qudsi yang popular di kalangan sufi. "Aku mengenal Tuhanku dengan Tuhanku".. Banyak orang ragu dengan maksud hadis ini, bahkan ada yang menolaknya. Marilah kita fikirkan kalau perasa itu tidak benar, mana mungkin tidak benar, kerana hadis adalah kata-kata Rasulullah s.a.w.. Beranikah kita tidak percaya kepada sabda Rasulullah?
Hadis tersebut manyatakan bahawa: Anda bukanlah Anda sebenarnya, tetapi Anda itu adalah Dia, dan tidak ada Anda.
Ini bukan bermakna Dia memasuki (hulul) anda atau timbul daripada anda atau anda memasuki Dia. Ini juga bukan bermakna anda memiliki sifat-sifat atau memiliki wujud. Tetapi sebaliknya apa yang dimaksudkan hadis tersebut adalah anda langsung tidak wujud, dan tidak akan ada wujud, sama ada oleh diri anda sendiri atau melalui Dia, atau dalam Dia, atau dengan Dia.
Dan juga tidak boleh dikatakan, anda dahulu wujud tetapi sekarang tidak berwujud lagi, atau pun sekarang Anda masih berwujud. isi penting yang hendak dinyatakan oleh hadis itu adalah:
"Dia adalah anda dan anda adalah Dia."
Jikalau Anda kenal diri anda dengan cara kesufian ini, maka anda telah kenal akan Dia, jikalau tidak demikian adanya, sesungguhnya anda tidak kenal akan Dia, tetapi hanya kenal diri anda yang tidak berwujud itu.
Mengikut pandangan sufi semua yang ada di alam semesta ini adalah daripada Nur Muhamad. Sedangkan Nur Muhamad ini pula berasal daripada Nur Allah yang berasal pula dari zat Allah. Nur adalah dalam bahasa Arab, dalam bahasa kita ia bermaksud cahaya, Al Nur adalah salah satu daripada nama-nama Allah. Nur Muhamad mempunyai beberapa nama lain, seperti Hakikat Muhamad, ada pula yang menamakannya al Ruh, al Qalam al A’la. Ada pula yang memanggilnya Luh Mahfuz, al ‘Aqal Awwal dan Hakikat bagi segala hakikat. Bahkan berbagai nama lain yang mengikut fungsi kegunaanya.
Maka dari hakikat itulah (Nur Muhamad) terjadinya alam semesta ini sama ada yang nyata kelihatan atau pun yang ghaib. Nur Muhammad adalah manifestasi yang pertama, dan dari Nur Muhamad lah lahirnya segala yang lain. Dari Nur Muhamad yang esa itu, maka terzahirlah banyak penzahiran sebagaimana yang dapat kita lihat di dunia ini. Maka kerana itulah dikatakan Nur Muhamad (zat) itu adalah esa, tetapi manifestasi atau penzahirannya adalah banyak, bahkan tidak terkira.
Untuk memudahkan pemahaman, Nur Muhamad ini dapat digambarkan dalam analogi sebegini, umpama air, air itu satu, tetapi tempat yang menakung air itu sangatlah banyak, hinggakan tidak terkira, contohnya air laut, air sungai, air tasik, air kolam, air paip, dan bermacam-macam lagi. Satu lagi analogi, manis itu satu, tapi banyak jenis manis, manis gula, manis tebu, manis senyuman, manis budi bahasa, dan sebagainya. Begitu pula masin, masin itu hanya satu, tapi terdapat pelbagai-bagai jenis masin, Begitulah banyak nya manifestasi Nur Muhamad yang terdapat di dalam alam semesta ini.
Tetapi yang paling penting untuk diketahui dan untuk difahami adalah Nur Muhamad yang terdapat di dalam diri setiap insan. Kerana Nur Muhamad di dalam diri itu adalah berfungsi sebagai rasul, sebagai pemimpin, sebagai penunjuk jalan agar manusia dapat kembali kepada Yang Maha Pencipta. Ada pendapat yang menyatakan Nur Muhamad dan RuhKu adalah sinonim, kerana di dalam diri manusia, kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama iaitu untuk membimbing manusia kembali kepada Tuhannya.
Setiap manusia ada Nur Muhamad maka setiap manusia mempunyai pembimbingnya, maka tidak ada alasan bagi sesorang cuba bersikap lepas tangan, dan mengatakan tidak siapa pun yang membimbingnya. Yang penting bagi anda, mempelajari bagaimana mahu berkomunikasi dengan pembimbing anda itu. Apabila anda telah berjaya membuat hubungan dengan pembimbing anda itu, sudah pasti kehidupan anda diredai Allah, kerana Allah menyatakan; "siapa yang mencintai RasulKu, samalah seperti mencintaiKU."
Oleh itu, kenalilah Nur Muhamad, kerana ia dapat membawa anda kembali kepada Yang Maha Pencipta. Amiin
No comments:
Post a Comment