Thursday, 1 September 2016

DIA Yang Ku Kenal

DIA Yang Ku Kenal
DIA meliputi diri kita. Maka perlukah kaedah penafian dan fana itu? Sedangkan apa yang hendak dinafikan dan difanakan pun adalah wujud-Nya juga. Kita memerlukan DIA yang berdiri dengan sendiri, tanpa DIA tak mungkin kita ada..
DIA teramat halus dan lembut, berseni dalam batin kita, hanya persangkaan hidup yang banyak dan beragam telah menampakkan perwatakan kita yang saling berbeda dari DIA. Kita adalah nafas yang keluar dari sebatang seruling bambu lalu menjadi warna-warni lagu dan irama kehidupan. Siapakah sang peniupnya yang bijaksana itu tidak diketahui?
Namun demi nafas yang telah menzahirkan kita, tentunya kita bukan lain dari DIA. Hanya kita yang tidak sedar bahwa DIA adalah kita dan kita adalah DIA kerana selaput sutera wayang yang mentirai pandangan kita di pentas peri lakonan sedangkan DIA di balik tabir itu dalam asyik-Nya memerhatikan kita...
jadilah bekas bagi DIA
atau DIA sahaja
yang tidak ada sekutu bagiNya
DIA tidak berserta dengan sesiapa
tidak ada bagaimana atau di mana-mana
DIA adalah DIA yang dahulu dan sekarang
tidak ada ketika
tidak ada masa
tidak ada tempat
tidak ada penyaksian
tiada yang melihat DIA kecuali DIA
DIA sahaja yang mengenal DIA
tidak ada Nabi, Wali atau Malaikat yang mengenal DIA
RasulNya adalah DIA sendiri
DIA mengutus DiriNya sendiri
kepada DiriNya sendiri
dengan DiriNya sendiri
tidak ada perwakilan kecuali DIA sendiri
kenabian, kerasulan dan kewalian
pun adalah DIA sendiri
DIA bukan nama atau sesuatu yang dinamakan
tetapi NamaNya yang haqiqi adalah “DIA” juga
tidak ada nama setelah NamaNya – DIA
tidak ada nama seluruh alam ini selain NamaNya – DIA
DIA – Yang Awal
DIA – Yang Akhir
jika kamu bukan DIA
maka usahlah jadi diri kamu sendiri
kamu bukan diri kamu sebenarnya
maka kamu itu DIA
tidak ada kamu
justeru itulah Nabi s.a.w. pernah bersabda;
“Sholatlah kamu kepada DIA Allah
seolah-olah kamu dapat melihatNya
jika kamu tidak melihatNya,
sesungguhnya DIA melihat kamu”
maka di sini apakah perlu “fana' dan “fana al-fana” itu? padahal Nabi s.a.w. hanya menganjurkan sahaja;
“seolah-olah kamu dapat melihatNya
jika kamu tidak melihatNya,
sesungguhnya DIA melihat kamu.”
DIA tidak memerlukan kamu masuk ke dalam fana
atau fana di dalam fana
apa yang hendak difanakan
sedangkan kamu sendiri tidak berwujud?
jika kamu sangka memfanakan itu perlu
bererti kamu mengakui sebelumnya fana
ada wujudmu yang hendak difanakan
ini bermakna kamu telah menghijabkan DIA
DIA terlindung oleh sesuatu yang selainNya
kamu telah berburuk sangka selama ini
ada wujud lain dari DIA hingga DIA tidak kelihatan
ternyatalah fana atau fana al-fana itu
adalah perangkap besar
yang memerangkap kamu sendiri
di dalam penjara kegelapan syirik
ingatlah apa yang pernah disabdakan Nabi s.a.w.;
“barangsiapa yang mengenal dirinya,
kenallah akan DIA – Rabbul Izzati”
maka mengenal diri kamu itu
adalah sebenarnya mengenal DIA
Baginda s.a.w. tidak pula mengatakan
bahwa barangsiapa yang memfanakan dirinya
akan mengenal Rabbnya
kerana Baginda s.a.w. amat menyedari
tiada yang wujud melainkan DIA
kamu belum lagi mengenal DIA
selagi kamu belum yakin
Sifat DIA adalah sifat kamu
Zat DIA adalah zat kamu
sebenarnya kamu itu adalah DIA
dan DIA adalah kamu, tidak ada kamu
jika kamu mengenal diri kamu sendiri
dengan cara makrifat seperti ini
maka kamu telah mengenal DIA – Rabbul Izzati
dengan sendirinya akan tersingkir
segala bentuk keakuanmu yang bukan haqiqi
kamu tidak perlu bersusah-payah memfanakan diri
kerana fana dan fana al-fana itu merumuskan;
masuk ke dalam DIA atau timbul dari DIA
tidak ada konsep hulul dan penyatuan
kamu tidak wujud dan tidak akan ada wujud
sama ada dalam diri kamu sendiri atau DIA
jika tidak demikian, kamu tidaklah mengenal
siapa diri kamu dan siapa DIA
HU.....

No comments:

Post a Comment