AIR MATA KERINDUAN UWAIS AL-QARNI KEPADA RASULULLAH SAW
Di negeri Yaman, hiduplah seorang pemuda bernama Uwais Al-Qarni yang berasal dari kabilah Qaran. Uwais Al-Qarni mempunyai jiwa yang bersih dan mulia. Dia seorang yang pintar dan selalu melakukan pencarian makna hidup. Meskipun saat itu dia masih belum mengenal ajaran Islam yang mulia, dia sangat menghormati nilai-nilai mulia kemanusiaan. Di antara sikap dan perilaku Uwais yang paling menonjol sekali ialah penghormatan yang besar terhadap ibunya. Dia bersikap amat lemah-lembut kepada ibunya yang sudah tua dan dia amat mengerti tanggung jawabnya sebagai anak. Dia dapat merasakan kesulitan seorang ibu dalam mendidik dan membesarkan anaknya. Oleh kerana itu, dia melayani ibunya seperti seorang pelayan yang taat dan patuh. Uwais sama sekali tidak melupakan jerih payah ibunya.
Suatu saat, Uwais Al-Qarni mendengar khabar bahwa ada seorang Nabi yang berhijrah dari kota Mekah ke Madinah dan sebahagian dari masyarakat mengikuti ajaran Nabi tersebut. Uwais dengan perenungannya, sampai kepada kesimpulan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang nabi yang benar-benar diutus oleh Tuhan karena perintah dan ajaran yang disampaikan beliau berlandaskan kepada akal dan sesuai dengan nilai-nilai tinggi insani. Uwais mempercayai kenabian Muhammad SAW dan dia ingin sekali bertemu dengan beliau. Dia ingin melakukan perjalanan ke Madinah dan melihat sendiri keindahan hati Muhammad dari dekat. Tetapi, keadaan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakit membuatnya mengurungkan niatnya itu.
Berbulan-bulan lamanya Uwais memendam harapan dan impiannya tersebut. Sampai suatu hari, dia mengambil keputusan untuk menceritakan keinginannya itu kepada ibunya. Uwais dengan sopan duduk di hadapan ibunya dan berkata, “Wahai ibu, aku tidak dapat menahan hati untuk bertemu dengan seorang lelaki yang telah diutus sebagai nabi. Engkau pun tahu bahawa anakmu ini tidak pernah berfikir tentang hal-hal selain dari kebaikan dan kebenaran. Jika ibu mengizinkan, aku ingin sekali pergi menemui Rasul Tuhan itu dari dekat.” Ibu Uwais yang amat terkesan melihat kesungguhan dan gelora keinginan anaknya untuk bertemu dengan Nabi, berkata, “Wahai anakku, aku izinkan engkau untuk pergi ke Madinah, tetapi aku minta supaya setelah engkau bertemu dengan Nabi segeralah engkau pulang ke Yaman dan janganlah engkau berlama-lama di sana.”
Dengan penuh gembira, Uwais menerima permintaan ibunya itu dan dia pun melakukan perjalanan untuk pergi ke Madinah. Meskipun perjalanan begitu jauh dan menyulitkan, namun semangat dan keinginannya yang besar untuk bertemu Nabi menyebabkan dia merasa begitu gembira hingga tidak merasa lelah dalam perjalanan. Siang dan malam dia tempuh perjalanan tanpa menghiraukan kesulitan dan kelelahan yang menderanya. Akhirnya, sampailah Uwais Al-Qarni ke kota Madinah. Dengan tidak sabar lagi, dia bertanya ke sana ke mari untuk mencari Nabi Muhammad. Tetapi, berita yang didapatinya amat mengecewakan. Orang-orang Madinah memberi tahu Uwais bahawa Nabi telah keluar dari kota untuk beberapa hari.
Begitu Uwais mendengar berita ini, dia mengeluh panjang dan terduduk di atas tanah. Segala kelelahan terasa menimpa seluruh tubuhnya. Sedemikian besar rasa kecewa yang menyelubunginya sehingga dia menangis semahu- mahunya. Orang-orang memujuknya dengan mengatakan bahawa dia boleh tetap tinggal di Madinah dan menjadi tetamu mereka sampai Rasulullah kembali dari perjalanannya.
Tetapi Uwais berkata bahawa dia mempunyai seorang ibu tua yang sedang menanti kepulangannya. Uwais mengambil keputusan untuk segera pulang ke Yaman meskipun dia belum berjaya menemui Nabi, demi melaksanakan janjinya kepada sang ibu. Dia berkata kepada para sahabat dan keluarga Nabi, “Aku terpaksa pulang ke Yaman. Aku minta pada kalian, jika Rasulullah pulang, sampaikanlah salamku kepadanya.”
Beberapa hari kemudian Rasulullah SAW pulang ke Madinah. Ketika beliau mendengar kisah Uwais, beliau memujinya dan berkata, “Uwais telah pergi, namun cahayanya tetap tinggal di rumah kami. Angin sepoi- sepoi dan aroma wangian syurga bertiup ke arah Yaman. Wahai Uwais! Aku juga ingin sekali menemuimu. Sahabatku, siapa pun di antara kalian yang bertemu dengan Uwais, sampaikanlah salamku kepadanya.”
Dalam sejarah dikatakan bahawa memang Uwais tidak pernah dapat bertemu dengan Rasulullah. Tetapi, kerana pengorbanan yang telah dilakukannya buat ibunya, namanya tercatat abadi dalam sejarah.
No comments:
Post a Comment