Thursday, 20 October 2016

TAUHID ZAT BUKAN KUNHI ZAT

TAUHID ZAT BUKAN KUNHI ZAT
Pengertian tauhid zat adalah mengesakan Allah pada zat. Maqam tauhid zat merupakan maqam tertinggi dan merupakan puncak pengetahuan dan musyahadah orang yang Arif.
Bagi Arifin yang telah sampai pada maqam ini, mereka merasakan kelazatan spiritual yang tiada tara. Dan maqam ini juga merupakan batas akhir pencarian (seluruh makhluk), dalam perjalanan menuju kepadaNya.
Batas Pengetahuan
Tauhid Zat itu berbeza dengan Kunhi Zat. Kerana itu, tidak ada seorang pun yang sampai pada maqam ini iaitu maqam Kunhi Zatullah termasuk para Nabi Mursal dan Malaikat muqarrabin. Dalam firman Allah dijelaskan:
وَيُحَذِّرُكُمُ اللهُ نَفْسَهُ .
“Dan Allah memperingatkan kamu terhadap siksaNya.“ (Ali Imran: 30).
Namun dalam ayat tersebut para ulamak ahli hakikat memiliki penafsiran sebagai berikut “Yakni Allah memperingatkan kamu bahawa ma’rifahmu tidak akan sampai kepada Kunhi ZatNya.”
Pendapat tersebut telah diperkuat dengan hadis Nabi Muhammad SAW:
كُلُّكُمْ فِى ذَاتِ اللهِ اَحْمَقُ .
“Kamu semua tidak akan sampai pada Kunhi Zat Allah.”
Dalam hal ini, Syekh Abdul Wahab as-Sya’rani dalam kitab al-Jawahir wa al-Durar, menerjemahkan perkataan Syekhnya Sayyidi Ali al-Khawas sebagai berikut: “Bahawa pengetahuan makhluk terhadap Allah tidak akan sampai kepada zatNya, kerana Ia (Allah) bukan ’ain (wujud material) yang dihukumkan oleh akal, dan bukan pula ’ain yang dihukumkan oleh syuhud dalam hati dan mata. Melainkan Ia di sebalik semua itu. Dengan demikian, Allah bukan ’ain yang dikenal oleh manusia dan bukan pula ’ain yang tidak diketahui. Kerana itu, bagi sesiapa pun yang mengetahui hal itu, maka ia wajib menyembah kepada zat yang suci lagi ghaib. Dan yang demikian itulah yang disebut ibadah yang paling sempurna”.
Jadi, tidak ada yang sampai pada maqam ini (tauhid zat) kecuali Nabi kita Muhammad SAW. Dan para Anbiya’ dan Aulia’ yang berada di bawah bimbinganNya. Kerana hanya Nabi Muhammad SAW yang diciptakan dari ZatNya. Sebagai mana dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Jabir! Yang pertama kali diciptakan Allah adalah Cahaya Nabimu. Dari Cahaya itulah kemudian diciptakan segala sesuatu, termasuk engkau di dalam segala sesuatu itu.”
Tauhid & Caranya
Cara mengesakan Allah pada zat, adalah dengan memandang melalui mata kepala dan mata hati, bahawa tiada yang maujud di dalam wujud ini kecuali hanya Allah. Dengan kata lain, dalam maqam tauhid zat ini seorang hamba fana’ dari segala zat di bawah zat Allah. Tiada zat yang maujud melainkan wujudullah, sedangkan wujud makhluk adalah ma’dum (yang ditiadakan). Kerana wujud selain Allah bukan wujud itu sendiri, melainkan ia wujud dengan Allah. Ertinya, wujud makhluk berdiri dengan wujud Allah, dan tidak berdiri sendiri. Kerana itu, wujud makhluk sebenarnya bersifat khayal (imaginatif) dan waham (menciptakan sesuatu yang sebenarnya tidak ada).
Dalam hal ini, Syekh Arifbillah Maulana as-Syekh Shidiq bin Umar Khan menjelaskan: “Segala wujud selain Allah bagaikan wujud yang kita lihat di dalam mimpi, yang segera sirna saat kita terjaga. Demikianlah gambaran tentang wujud ghairullah (selain Allah).”
Kerana itu, untuk dapat merasakan pandangan bahawa tiada wujud di alam semesta ini kecuali wujud Allah, maka kita harus mematikan diri.
Mati & Maknanya
Mengenai mati, menurut ulama ahli tasawuf, dibahagi kepada dua, yakni Mati hissi iaitu berpisahnya ruh dari jasad. Dan Mati ma’nawi iaitu mati secara makna, yang bererti jasadnya masih hidup akan tetapi nafsunya mati.
Ketika seseorang mati, baik secara hissi mahu pun ma’nawi maka hilanglah wujud ghairullah. Kerana saat itulah sesungguhnya kita baru betul-betul terjaga. Sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW:
النَّاسُ نِيَامٌ فَاِذَا مَاتُوْا إِنْتَبَهُوْ
“Manusia dalam keadaan tidur maka apabila mereka mati maka mereka baru jaga (dari tidurnya).”
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW juga menjelaskan:
مُوْتُوْا قَبْلَ اَنْ تَمُوْتُوْا وَمَنْ اَرَادَ اَنْ يَنْظُرَ اِلَى مَيِّتٍ يَمْشِى عَلَى وَجْهِ اْلاَرْضِ فَلْيَنْظُر اِلَى اَبِى بَكْرٍ
“Matikanlah dirimu sebelum kamu mati dan barang siapa ingin melihat mayat berjalan di atas bumi maka lihatlah Abu Bakar.”
Orang yang sampai pada tahap mati ma’nawi, seluruh nafsunya seperti nafsu ammarah, lawwamah dan sawwalat telah mengalami proses kematian. Sehingga dalam pandangannya meyakini bahawa segala wujud ghairullah (selain Allah) fana’ dan hakikatnya tidak ada. Kerana itu, Wujudullah adalah wujud yang sebenarnya. Sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW:
اَلاَ كُلُّ شَيْئٍ مَا خَلاَ اللهُ بَاطِلٌ .
“Ingatlah ! Tiap-tiap sesuatu selain Allah adalah batil (adanya).” Ada pun dalil yang memperkuat pendapat tersebut banyak sekali. Seperti firman Allah SWT:
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُوالْجَلاَلِ وَاْلاِكْرَامِ .
“Semua yang ada di bumi itu akan binasa Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Ar-Rahman: 26-27)
Para ulama ahli hakikat menafsirkan ayat tersebut sebagai berikut: “Bermula tiap-tiap sesuatu baik semua haiwan atau yang tersusun dari zat dan sifat semuanya binasa pada masa dahulu dan masa sekarang dan masa yang akan datang. Dan yang kekal hanya zat Tuhanmu, yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.”
Dalam ayat lain juga dijelaskan:
كُلُّ شَيْئٍ هَالِكٌ اِلاَّ وَجْهَهُ .
“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah.” (Al Qashash: 88)
Ayat tersebut ditafsirkan oleh ulama ahli hakikat sebagai berikut: “Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, baik pada masa lalu, masa sekarang dan masa yang akan datang, kecuali Zat Allah yang tiada binasa.”
Dalam hadis Nabi Muhammad SAW juga dijelaskan:
كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْئٌ مَعَهُ .
“Yang ada hanya Allah dan tidak ada sesuatu besertaNya.”
Selain itu, juga ada maqalah Ulamak yang menambahkan:
وَهُوَ اْلاَنَ عَلَى مَا هُوَ عَلَيْهِ كَانَ .
“Dan Dia (Allah) pada masa sekarang ini adalah ada padaNya masa yang telah lampau.”
Dalam hadis Nabi Muhammad SAW juga dijelaskan:
وَالَّذِيْ نَفْسٌ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ اَنَّكُمْ دَلَيْتُمْ بِحَبْلٍ اِلَى اْلاَرْضِ لَهَبِطَ عَلَى اللهِ ثُمَّ قَرَأَ هُوَ اْلاَوَّلُ وَاْلاَخِرُ ……. اْلاَيَة
“Demi Zat yang jiwa Muhammad ada pada KudratNya, jikalau kamu hulurkan tali dari langit ke bumi nescaya turun dari awal hingga akhirnya Wujudullah kemudian membaca “HUWAL AWWALU WAL AKHIRU…… (hingga akhir ayat 3 Surat Al Hadid).”
Kesimpulannya adalah, bahawa segala wujud yang disandarkan kepada Wujudullah yang hakiki, itu hanya khayal (imaginatif), waham (ilustratif) dan majazi (metaforis). Kerana wujudnya antara dua ’adam (tidak ada) sedangkan wujud di antara dua ’adam itu ’adam. Tidak ada wujud yang berdiri sendiri, kecuali dengan Wujudullah. Ertinya, wujud alam semesta berdiri dengan Wujudullah. Kerana itu, tidak ada wujud yang sesungguhnya, kecuali hanya wujud Allah SWT. Amiin²

No comments:

Post a Comment