Thursday, 20 October 2016

RAHSIA MENCAPAI MAQAM INSAN KAMIL

RAHSIA MENCAPAI MAQAM INSAN KAMIL
Menurut Syekh Siti Jenar, insan kamil atau manusia sempurna adalah mereka yang telah memiliki keupayaan terus-menerus bagi peningkatan dan pembersihan dirinya, yakni mereka yang telah mampu memisahkan dan melepaskan dirinya dari hal-hal keduniaan. Kerana memasuki wilayah keTuhanan, walaupun dalam interaksi fizikal kemanusiaan yang tidak terlepas sama sekali.
Tujuan pembersihan ini ada dua: pertama, untuk mencapai sifat-sifat Allah. Yakni, bersifat dengan sifat-sifatNya yang mulia. Kedua, untuk mencapai zat Allah. Yakni, mengenal-Nya melalui ma’rifat dan hakikat.
Pembersihan diri untuk mencapai sifat Allah memerlukan suatu ajaran yang dapat menunjukkan proses pembersihan cermin hati, yakni dengan cara melaksanakan zikir dan wirid. Terutama tentang asma’ Allah.
Pengertian zikir dan wirid dalam konteks ini luas. Tidak hanya sekadar zikir dan wirid dengan bacaan-bacaan tertentu. Dalam hal ini zikir dan wirid merupakan kelakuan rohani yang dimasukkan unsur meditasi sebagai bahagian terpenting dari ritual rohani tersebut. Sehingga penyebutan zikir dan wirid secara automatik turut sama memasukkan meditasi di dalamnya.
Kelakuan zikir adalah kunci untuk membuka pintu hati, dan apabila pintu hati telah terbuka, muncullah dari dalamnya fikiran-fikiran yang ‘arif untuk membuka mata hati. Ketika hati telah terbuka, maka akan nampak dan masuklah sifat-sifat Allah melalui mata hati itu, menyingkap ketenggelaman ruh al idafi, kemudian mata hati akan melihat refleksi kasih sayang, kelembutan, keindahan, kebaikan, dan kesempurnaan Allah dalam cermin hati yang bersih dan berkilauan (al-mir’u al-haya’i).
Zikir akan menghantarkannya kepada nurullah sedangkan seorang mukmin akan melihat dengan nurullah. Dengan daya pancar nurullah itulah seorang mukmin akan menjadi cermin bagi mukmin lainnya. Orang yang berilmu membuat bayangan, tetapi orang ‘arif mengkilaukan cermin hati yang di dalamnya terdapat bayangan hakikat. Apabila mata hati itu bersih berkilauan dan suci, muncullah dalam cermin itu perbagai rahsia Allah berupa hakikat yang dicurahkan kepada hati yang bersih berkilauan dan suci.
Apabila cermin hati telah sempurna kerana selalu dibersihkan dengan zikrullah hingga berkilauan, pemilik hati itu akan sampai kepada sifat-sifat keTuhanan dan mengenal sifat-sifat itu. Hal ini hanya mungkin terjadi apabila cermin hati kita telah bersih berkilau.
Sedangkan pembersihan untuk mencapai zat Ketuhanan dapat dilakukan dengan cara berzikir dan berkonsentrasi terhadap kalimah tauhid atau kalimah syahadat, dan ini bererti kata kunci zikir dan wiridnya adalah tentang asma’ Allah.
Tidak Harus Asma’ “ALLAH”
Sebutan nama “Allah” menunjukkan zat Ilahi, sedangkan yang lain menunjukkan sifat-sifatNya. Oleh kerana penggunaan nama-nama yang diputuskan sebagai zikir dan wirid utama seseorang, disesuaikan dengan kemampuan dan keadaan spiritual seorang sufi. Dalam beberapa tarekat sering para guru memutuskan nama Allah yang berbeza bagi masing-masing muridnya.
Harus pula difahami meskipun setiap kali salah satu nama Ilahi disebutkan, bererti Allah disebutkan melalui seluruh nama-Nya. Syekh Ni’matualiah menyatakan,” Bagi semua nama Allah zat adalah Esa. Maka semua nama sebenarnya hanya satu juga”.
Dalam bahasa Syekh Siti Jenar, asma’ Allah biasa berubah menjadi Gusti, Zat Maulana, Sang Hyang Widhi, Pangeran, Gusti Allah, dan sebagainya. Menurutnya, nama Tuhan adalah buatan manusia. Di mana Dia disebut sesuai dengan bahasa orang yang menyebutNya. Apa pun sebutan yang diberikan kepadaNya, tentu sebutan yang terpuji. Oleh kerana itu, seruan do’a dan panggilan untuknya juga beraneka ragam, “Ya Tuhan,,,”, “Ya Allah,,,” , juga “duh Gusti,,,“, dan lain-lain.
Terdapat 12 zikir asma’ Allah (tiga di antaranya adalah nama keEsaan, Tauhid, Allah) yang sangat utama dan sering digunakan dalam berbagai Tarekat:
1. laa ilaaha illallaah (Tidak ada Tuhan selain Allah)
2. Ya Allah (nama Dzat Allah)
3. Ya Huwa (nama Allah yang tanzih)
4. Al-Haqq (Yang Hakiki)
5. Al Hayy (Yang Hidup)
6. Al Qayyuum (Yang Berdiri Sendiri dan kepada-Nya segala makhluk bergantung)
7. Al Qahhaar (Yang Maha Perkasa Yang Mengatasi seteru-seteruNya)
8. Al Wahhaab (Yang Memberikan Tanpa Permintaan atau Dituntut)
9. Al Fattaah (Yang Membuka)
10. Al Waahid (Yang Satu)
11. Al Ahad (Yang Esa)
12. Al Shamad (Yang kepada-Nya Segala Sesuatu Bergantung)
Tujuh asma’ paling awal kadang juga disebut sebagai al-asma’ al-ilahi yang mengacu pada tujuh petala langit (sab’ sama’) dan cahaya-cahaya Ilahi (an-waar ilaahi).
Hendaknya nama-nama tersebut dizikirkan dengan hati. Sejalan dengan tujuan utama zikirNya, yakni mengingatkan diri tentang kebesaran dan kemaha agungan Allah serta menggambarkan erti nama-nama dan sifat-sifat yang ada dalam zikir. Peranan hati pun akan menjadi dominan. Dengan cara ini, mata hati akan melihat nur tauhid (cahaya KeEsaan). Apabila nur zat Ketuhanan terzahir atau tertajalli, semua sifat kebendaan atau fizikal akan hilang musnah. Semua yang ada menjadi kosong belaka. Inilah kesedaran di mana semua perkara menjadi fana’. Tajalli atau penzahiran nur Ketuhanan ini memadamkan semua cahaya yang lain. “Setiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah,” (QS Al-Qashash/ 28: 88). “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki, dan menetapkan apa yang Dia kehendaki,” (QS Al-Ra’d/ 13: 39).
Ketika semua telah lenyap, yakni fana’ di hadrat Allah, yang tertinggal hanya Ruh Suci (Ruh al Quddus). Ia melihat dengan Nur Allah. Ia melihat Allah, Allah melihat dia. Ia melihat dengan Allah, ia melihat dalam Allah, ia melihat untuk Allah. Tidak ada bayangan dan tidak ada yang menyerupai Allah. La ilaha illa Allah, la ilaha illa Ana.
Satu yang tertinggal dan mutlak, yakni Nur Suci, sang Insan Sejati. Suatu kurnia yang tinggi yang diberikan kepada orang yang utama. Tidak ada yang ingin diketahuinya pada tingkat ini. Inilah puncak yang dapat dicapai manusia ketika berada di alam fana’ ini. Tidak ada lagi apa pun, kecuali Allah. Dan tidak ada lagi siapa dan apa pun yang menjadi celah di antaranya dengan Allah.
Dan semua itu merupakan kesedaran rohani yang sangat dalam ertinya. Hasil dari mengenang dan memusatkan renungan hati pada maksud dan pengertian batin dari sifat dan asma’ Allah. Dalam dirinya kini hanya tinggal kebaikan yang dipenuhi kesyukuran, husn al-dzon, serta ketinggian himmah terhadap Allah. Bahkan terhadap kenikmatan pun ia menjadi lupa, kerana sudah terlalu asyik dengan Allah. Dia juga tidak ingat lagi dengan segala bahaya dan bencana, kerana sibuk dengan Allah, Ma’iyyatullah. Dan pada dirinyalah terletak banyak karomah yang setiap saat dapat muncul anugerah Allah kepadanya. Itulah keadaan sang insan kamil, auliya’ Allah.
Dalam penempuhan jalan rohani terdapat dua golongan besar:
Golongan yang lebih memperbanyak dan memperhatikan zikir disertai dengan ilmu, dan golongan yang memperbanyak serta menekuni ilmu disertai dengan zikir. Kedua golongan tersebut sama-sama mampu mencapai tujuan akhir dengan izin Allah.
Kedua-dua golongan itu selalu ada di setiap zaman, kerana umumnya manusia terbahagi kepada dua golongan. Pertama, mereka yang memiliki kecintaan yang sangat pada ilmu dan kemampuannya melakukan amal juga ada. Kedua, mereka yang memiliki kemampuan terbatas dalam menekuni ilmu namun kegigihannya melakukan ibadah, amal, dan zikir sangat besar. Jalan yang ditempuh oleh manusia golongan kedua adalah memperbanyak zikir, tapi juga harus disertai dengan ilmu. Sedangkan bagi golongan pertama, jalan yang ditempuh adalah ilmu yang harus dilalui dengan zikir.
Namun begitu, ada lagi satu kumpulan. Golongan ini terus sahaja zouk, hanyut, hancur lebur, fana serta baqa di dalam wajah dan kecintaan serta kasihNya tanpa melalui jalan ilmu mahu pun jalan zikir. Mereka ini merupakan insan-insan terpilih yang diberi ilmu laduni terus dari Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment