Friday, 7 October 2016

takdir

TAKDIR ALLAH
Keimanan seorang mukmin yang benar harus mencakupi enam rukun. Yang terakhir adalah beriman terhadap takdir Allah, baik takdir yang baik mahu pun takdir yang buruk. Kesalahan dalam memahami keimanan terhadap takdir boleh menyebabkan batalnya seluruh keimanan seseorang. Semoga catatan ringkas ini dapat membantu kita untuk memahami keimanan yang benar terhadap takdir Allah.
Empat Prinsip Keimanan kepada Takdir
Pembaca yang dirahmati Allah, perlu kita ketahui bahawa keimanan terhadap takdir harus mencakupi empat prinsip;
Pertama. Mengimani bahawa Allah Ta’ala mengetahui dengan ilmunya yang azali (sejak dahulu) dan abadi tentang segala sesuatu yang terjadi baik perkara yang kecil mahu pun yang besar, yang nyata mahu pun yang tersembunyi, baik itu perbuatan yang dilakukan oleh Allah mahu pun perbuatan makhluk-Nya. Semuanya terjadi dalam ilmuan Allah Ta’ala.
Kedua. Mengimani bahawa Allah Ta’ala telah menulis dalam Lauh Mahfuz catatan takdir segala sesuatu sampai hari kiamat. Tidak ada sesuatu pun yang sudah terjadi mahu pun yang akan terjadi kecuali telah tercatat.
Dalil kedua prinsip di atas terdapat dalam Al Kitab dan As Sunnah. Dalam Al Kitab, Allah Ta’ala berfirman yang ertinya, “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi? Bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Lauh Mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah.” (Q.S. Al Hajj : 70).
Allah juga berfirman yang ertinya, “Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)” (Q.S. Al An’am : 59).
Sedangkan dalil dari As Sunnah, di antaranya adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “… Allah telah menetapkan takdir untuk setiap makhluk sejak lima puluh ribu tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.” (H.R. Muslim)
Ketiga. Mengimani bahawa kehendak Allah meliputi segala sesuatu, baik yang terjadi mahu pun yang tidak terjadi, baik perkara besar mahu pun kecil, baik yang tampak mahu pun yang tersembunyi, baik yang terjadi di langit mahu pun di bumi. Semuanya terjadi atas kehendak Allah Ta’ala, baik itu perbuatan Allah sendiri mahu pun perbuatan makhluk-Nya.
Keempat. Mengimani penciptaan Allah, bahawa Allah Ta’ala menciptakan segala sesuatu baik yang besar mahu pun kecil, yang nyata dan tersembunyi. Ciptaan Allah mencakupi segala sesuatu dari bahagian makhluk beserta sifat-sifatnya dan segala sesuatu berupa perkataan dan perbuatan makhluk.
Dalil kedua prinsip di atas adalah firman Allah Ta’ala (yang ertinya), “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu. Kepunyaan-Nya lah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi. Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Q.S. Az Zumar : 62-63). Juga firman-Nya yang ertinya, “Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu“. (Q.S. As Shaffat : 96). (lihat Taqriib Tadmuriyah)
Sikap Pertengahan Dalam Memahami Takdir
Di antara prinsip ahlus sunnah adalah bersikap pertengahan dalam memahami Al Qur’an dan As Sunnah, tidak sebagai mana sikap ahlul bid’ah. Ahlus sunnah beriman bahawa Allah telah menetapkan seluruh takdir sejak azali, dan Allah mengetahui takdir yang akan terjadi pada waktunya dan bagaimana bentuk takdir tersebut, semuanya terjadi sesuai dengan takdir yang telah Allah tetapkan.
Ada pun orang-orang yang menyelisihi Al Quran dan As Sunnah mereka bersikap berlebih-lebihan. Yang satu terlalu meremehkan dan yang lain melampaui batas. Kelompok Qadariyyah mereka mengingkari adanya takdir. Mereka mengatakan bahawa Allah tidak mentakdirkan perbuatan hamba. Menurut mereka perbuatan hamba bukan makhluk Allah, namun hamba sendirilah yang menciptakan perbuatannya. Mereka mengingkari penciptaan Allah terhadap perbuatan hamba.
Kelompok yang lain adalah yang terlalu melampaui batas dalam menetapkan takdir. Mereka dikenal dengan kelompok Jabariyyah. Mereka berlebihan dalam menetapkan takdir dan menafikan adanya kehendak hamba dalam perbuatannya. Mereka mengingkari adanya perbuatan hamba dan menisbatkan semua perbuatan hamba kepada Allah. Jadi seolah-olah hamba dipaksa dalam perbuatannya. (Lihat Al Mufiid fii Muhammaati at Tauhid)
Kedua kelompok di atas telah salah dalam memahami takdir sebagaimana ditunjukkan dalam dalil yang banyak. Di antaranya firman Allah Ta’ala yang ertinya, “iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus. Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam.” (Q.S. At Takwiir : 28-29)
Pada ayat “iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus” merupakan sanggahan untuk Jabariyyah, kerana pada ayat ini Allah menetapkan adanya kehendak bagi hamba. Hal ini bertentangan dengan keyakinan mereka yang mengatakan bahawa hamba dipaksa tanpa memiliki kehendak. Kemudian Allah berfirman yang ertinya, “Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki oleh Allah, Tuhan semesta alam.” Dalam ayat ini terdapat bantahan untuk Qadariyyah yang mengatakan bahawa kehendak manusia itu berdiri sendiri dan diciptakan oleh hamba tanpa sesuai dengan kehendak Allah, kerana dalam ayat ini Allah mengaitkan kehendak hamba dengan kehendak-Nya. (lihat Al Irsyaad ilaa Shahiihil I’tiqad)
Takdir Baik dan Takdir Buruk
Takdir terkadang disifati dengan takdir baik dan takdir buruk. Takdir yang baik sudah jelas maksudnya. Lalu apa yang dimaksudkan dengan takdir yang buruk? Apakah bererti Allah berbuat sesuatu yang buruk? Dalam hal ini kita perlu memahami antara takdir yang merupakan perbuatan Allah dan kesan/hasil dari perbuatan tersebut. Jika takdir disifati buruk, maka yang dimaksudkan adalah buruknya sesuatu yang ditakdirkan tersebut, bukan takdir yang merupakan perbuatan Allah, kerana tidak ada satu pun perbuatan Allah yang buruk. Seluruh perbuatan Allah mengandung kebaikan dan hikmah. Jadi keburukan yang dimaksudkan itu dilihat dari sesuatu yang ditakdirkan/ hasil perbuatan, bukan dilihat dari perbuatan Allah.
Untuk lebih jelasnya dapat kita contohkan sebagai berikut. Seseorang yang terkena kanser tulang pada kaki misalnya, terkadang perlukan tindakan amputasi (pemotongan bahagian tubuh) untuk mencegah penyebaran kanser tersebut. Kita sepakat bahawa potongnya kaki adalah sesuatu yang buruk. Namun pada hakikatnya, tindakan melakukan amputasi (pemotongan kaki) adalah perbuatan yang baik. Walaupun hasil perbuatannya buruk (yakni terpotongnya kaki), namun tindakan amputasi adalah perbuatan yang baik. Demikian pula dalam kita memahami takdir yang Allah tetapkan. Semua perbuatan Allah adalah baik, walaupun terkadang hasilnya adalah sesuatu yang tidak baik bagi hamba-Nya.
Namun yang perlu diperhatikan, bahawa hasil takdir yang buruk terkadang di satu sisi buruk, akan tetapi mengandungi kebaikan di sisi yang lain. Allah Ta’ala berfirman yang ertinya, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah membuat mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Q.S. Ar Ruum : 41). Kerosakan yang terjadi pada akhirnya menimbulkan kebaikan. Oleh kerana itu keburukan yang terjadi dalam takdir bukanlah keburukan yang hakiki, kerana terkadang akan menimbulkan hasil akhir berupa kebaikan. (Lihat Syarh al ‘Aqidah al Wasithiyah li Syaikh ‘Utsaimin)
Bersemangatlah! Jangan Hanya Bersandar Pada Takdir
Sebahagian orang memiliki anggapan yang salah dalam memahami takdir. Mereka hanya pasrah terhadap takdir tanpa melakukan usaha sama sekali. Sungguh ini merupakan kesalahan yang nyata. Bukankah Allah juga memerintahkan kita untuk mengambil ikhtiar dan melarang kita dari bersikap malas? Apabila kita sudah mengambil ikhtiar dan mendapatkan hasil yang tidak kita inginkan, maka kita tidak boleh sedih dan berputus asa kerana semuanya sudah merupakan ketetapan Allah. Oleh kerana itu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah dan janganlah kamu malas! Apabila kamu tertimpa sesuatu, janganlah kamu mengatakan : ’Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan jadi begini atau begitu’, tetapi katakanlah : ‘QoddarallAhu wa maa syA-a fa’ala” (HR. Muslim) ( Al Irsyaad ilaa Shahiihil I’tiqad)
Faedah Penting
Keimanan yang benar terhadap takdir akan membuahkan hal-hal penting, di antaranya sebagai berikut :
Hanya bersandar kepada Allah ketika melakukan berbagai sebab dan tidak bersandar kepada sebab itu sendiri. Kerana segala sesuatu tergantung pada takdirAllah.
Seseorang tidak boleh sombong terhadap dirinya sendiri ketika tercapai tujuannya, kerana keberhasilan yang ia dapatkan merupakan nikmat dari Allah, berupa sebab-sebab kebaikan dan keberhasilan yang memang telah ditakdirkan oleh Allah. Kekaguman terhadap dirinya sendiri akan melupakan dirinya untuk mensyukuri nikmat tersebut.
Munculnya ketenangan dalam hati terhadap takdir Allah yang menimpa dirinya, sehingga dia tidak bersedih atas hilangnya sesuatu yang dicintainya atau ketika mendapatkan sesuatu yang dibencinya. Kerana semuanya itu terjadi dengan takdir Allah. Allah berfirman yang ertinya,“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya…” (Q.S. Al Hadiid : 22-23). (Syarh Ushuulil Iman)

No comments:

Post a Comment