Saturday, 8 October 2016

PAK IMAM BER-IMAM-KAN SIAPA ?

PAK IMAM BER-IMAM-KAN SIAPA ?
Sebelum menunaikan fardhu sembahyang, sama ada selaku Pak Imam atau selaku makmum atau semasa mengerjakan sembahyang bersendirian, terlebih dahulu hendaklah kita faham 3 perkara;
1) Siapakah yang sembahyang sebelum sembahyang?
2) Siapakah yang sembahyang di dalam sembahyang?
3) Siapakah yang sembahyang sesudah sembahyang?
Siapakah yang mendahului sembayang sebelum kita sembahyang? (solat sebelum solat).
Sebelum kita bersembahyang atau sebelum kita bersolat, tidakkah Allah telah terlebih dahulu solatkan kita di Luh Mahfuz! Sebelum kita berdiri, sebelum kita bertakbir, sebelum kita rukuk dan sebelum kita sujud, tidakkah Allah yang terlebih dahulu dirikan, takbirkan, rukukkan dan sujudkan kita di dalam kitab Luh Mahfuz iaitu dengan pengetahuanNya!
Bahawa sesungguhnya yang terlebih dahulu bersolat atau yang terlebih dahulu berkehendak sebelum kita bersolat itu, adalah Allah SWT. Allah Taalalah yang mendahului solat kita sebelum kita bersolat.
Untuk itu, layakkah kita mengaku bahawa kita yang bersolat? Layakkah pekerjaan orang, kita mengaku kita punya? Sesungguhnya Allahlah yang mengetahui, berkehendak dan berkuasa atas solat kita, sebelum kita bersolat!
Sesungguhnya Allahlah yang mendahului kita. Allahlah imam kita dan imam kepada Pak Imam!
Bila mana kita berimam kepada Allah, ertinya Allah mendahului kita. Mendahului Allah berbanding diri kita! Berimam kepada Allah itu, ertinya Allah mendahului kita. Allah mengerjakan, sebelum kita mengerjakannya! Yang lebih dahulu mengerjakan sesuatu pekerjaan atau yang lebih dahulu mengerjakan sesuatu perbuatan itu, adalah Allah!
Kerana dengan adanya sifat Kudrat Allah terlebih dahulu maka barulah bergerak kelakuan makhluk.
Melalui ilmu makrifat, hendaklah kita yakini, hendaklah kita mengaku dengan penuh keyakinan dan sepenuh kepercayaan bahawa yang mendahului pekerjaan atau yang mendahului perbuatan kita itu, adalah Allah SWT dengan sifat KudratNya.
Sebelum kita berkehendak, sesungguhnya Allah telah terlebih dahulu berkehendak! Sesungguhnya Allah mendahului kehendak kita! Sebelum kita berhajat untuk melakukan sesuatu dengan sifat IradatNya, sesungguhnya Allah telah mendahului apa yang kita hajati. Inilah erti, pengertian dan maksud perkataan berimam!
Kita sembahyang berimamkan pak imam di hadapan kita sewaktu kita bersembahyang jemaah. Manakala pak imam pula, berimamkan siapa?
Siapa mendahului sembahyang semasa kita sedang mengerjakan sembahyang? Dan siapa bersolat, semasa kita sedang mengerjakan solat? (Siapa yang bersolat di dalam solat)
Sebelum kita bersolat, tidakkah Allah dah solatkan kita dalam kitab Luh Hul Mahfuz dengan sifat ilmuNya dan IradatNya. Setelah lahirnya kita ke dunia, lalu kita pun berdiri untuk bersolat dengan ada sifat KudratNya.
Semasa kita berdiri di ketika bersolat itu, bukannya suatu perbuatan baru, melainkan berdirinya kita itu, telah Allah dirikan kita sebelumnya di kitab Luh Hul Mahfuz sejak azali lagi.
Oleh itu, hendaknya jangan sekali-kali kita mengaku yang kita bersolat, kita rajin, kita taat, kita patuh, kita alim atau segalanya. Yang rajin itu Allah, yang taat itu Allah, yang alim itu Allah dan yang berbuat solat itu adalah pekerjaan dari Kudrat Allah yang sudah tersedia KetetapanNya dari azali!
Solat di kala bersolat itu, sebenar-benarnya telah Allah adakan ketetapan dari azali (perbuatan atau kelakuan solat itu, bukan perkara baharu).
Melainkan pekerjaan atau perbuatan yang telah sedia tercatat di dalam kitab Luh Hul Mahfuz. Di panggil pengetahuan Allah (takluk ILMU Allah) iaitu sebelum, sedang, dan selepas sesuatu itu berlaku.
Oleh itu, hidup kita di dunia ini jangan sombong. Sombong diri dengan mengaku kelakuan taat itu kita yang punya dan perbuatan bersolat itu datangnya dari Kudrat kita!
Pekerjaan atau perbuatan solat kita adalah suatu perbuatan serta kelakuan yang telah siap tercatat. Kita ini, tidak ubah hanya sekadar menyatakan sahaja perkara yang sudah siap dengan kekuasaan sifat Ilmu, Kudrat dan Iradat Allah.
Jadi yang sebenar-benar bersolat di ketika kita sedang bersolat itu, bukan kita, melainkan perbuatan atau kelakuan dari Kudrat Allah dan telah diketahui sebelum nyata kelakuan itu.
Siapa yang sembahyang sesudah sembahyang atau siapa yang bersolat sesudah solat?
Bila mana yang mendahului solat sebelum solat itu dengan ilmu Allah, yang mendahului solat di ketika sedang bersolat itu dengan kudrat Allah, sudah tentu solat sesudah solat, itu pun juga adalah dari Allah Taala!
Oleh itu, janganlah hendaknya mengaku yang bersolat itu kita! Di antara sebelum dan sesudah itu, apakah adanya diri kita? Dari awal sehingga ke akhir, tidak ada kita di tengah-tengah. Dari bermula dan sehingga berakhir itu, adalah Allah, sehingga tidak ada ruang langung untuk kita mengerjakan dengan kelakuan dan Kudrat kita sendiri.
Setelah dan sesudah tidak adanya daya upaya atau usaha ikhtiar kita, barulah ibadah itu boleh dikatakan datangnya dari Allah kepada Allah!
Jadi marilah kita bersama-sama berimam kepada Allah iaitu dengan “mendahulukan Allah”.
1) Iman itu, kepercayaan, pegangan atau iktikad.
2) Berimam itu, mendahului Allah daripada makhluk.
3) Pak imam itu, orang yang mengetuai solat.
Firman Allah di dalam surah As Soffat, ayat 96;
“Allah yang menjadikan kamu dan apa yang kamu perbuat.”
Amaran Terhadap Perbuatan Syirik dan Kelebihan Tauhid
1. Dari Anas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah Ta'ala berfirman kepada orang yang menerima azab yang paling ringan pada hari kiamat; 'Jika kamu mempunyai sesuatu di atas permukaan bumi sebagai tebusan, adakah kamu menebus azab ini dengannya?' Orang itu pun menjawab, 'Ya'.
Allah Ta'ala pun berfirman, 'Aku menghendaki darimu agar melakukan sesuatu yang lebih mudah dari ini sewaktu kamu berada di dalam tulang sulbi Adam (iaitu) agar kamu tidak mempersekutukan sesuatu denganKu, namun kamu telah ingkar (enggan) melakukannya, melainkan kamu telah mempersekutukan Aku." (Hadis Sahih, Riwayat Al-Bukhari & Imam Ahmad)
Rupa Sembahyang Orang Hakikat Dan Hukumnya
Ada pun sembahyang orang hakikat itu ialah orang yang tiada memandang bagi dirinya amal. Hanya memandang fi'il kelakuan Allah Taala yang berlakun pada dirinya yang ditakdirkan pada azali sebelum dijadikan dia. Yang dipandangnya ialah segala amalnya daripada Allah dengan Allah bagi Allah. Inilah orang yang lepas daripada syirik.
Inilah yang sebenarnya sembahyang. Jadi sembahyang yang dikehendaki di sini ialah sembahyang yang meliputi tubuh dan nyawa atau jasad dan roh.
Sekiranya seorang itu tiada nyawa, bukan manusia namanya dan sudah pasti tiada ia dapat beramal. Sedangkan, sebenarnya dia tiada dapat pandang yang beramal dan yang empunya amal. Kerana dengan adanya roh baru jasad dapat beramal. Sedangkan roh itu Sifatullah atau Sirrullah dan roh itu tiada akan dapat beramal sekiranya tiada serta dengan Zatullah. Maka barulah benar yang beramal itu Sifat bagi Zat dan yang empunya amal itu adalah Zat. Oleh kerana itulah sembahyang orang syariat dihukumkan syirik kerana mengatakan kelakuan sembahyang itu hasil dari kelakuannya sendiri.

No comments:

Post a Comment