RAHSIA DI DALAM RAHSIA
Badan kita ini merupakan tempat tersembunyinya roh. Manakala di sebalik roh pula, adalah tempat tersembunyi rahsianya Allah. Diri kita ini menanggung dua rahsia.
Pertama, menanggung rahsia roh. Keduanya, menanggung rahsia Allah.
Rahsia Allah tersembunyi di dalam roh, manakala wajah roh pula tersembunyi di dalam dada-dada kita semua. Untuk mengintai kedua-dua wajah itu, tiliklah ke dalam diri kita sendiri. Apabila sifat roh telah dapat kita kenal dengan rata, insyaAllah kedua-dua rahsia wajah itu akan dapat kita kenal dengan nyata dan rata (jelas dan terang).
Setelah kita mengenal diri dan asal saja kita mengenal roh, segala rahsia itu, tidak lagi menjadi rahsia. Apabila kita sudah mencapai kepada tahap makrifat kepada Allah, yang ghaib itu tidak lagi menjadi hilang, yang hilang itu tidak lagi menjadi tanda tanya, dan yang halus itu tidak lagi menjadi sulit.
Apabila matahari sudah mula menerbitkan sinar cahayanya. Kabus tebal yang menyelubungi kita, akan berlalu dengan sendirinya. Dengan berlalunya kabus diri, akan menjelmalah terang sinar wajah Allah, tanpa terselindung atau terdinding lagi, seterang hati mereka yang mengenal Allah.
Oleh kerana terlalu terangnya cahaya Allah pada wajah sekalian makhluk menyebabkan penglihatan kepada alam sudah menjadi kabur. Apabila pandangan terhadap makhluk sudah kabur dan lenyap, pandangan terhadap Allah, tidak lagi terselindung dan terhijab, di mana sahaja dialihkan pandangan kita, di situlah juga akan kelihatan wajah Allah besertanya.
Diri kita ini telah menjadi rahsia di sebalik rahsia. Rahsia kepada badan itu adalah roh, manakala rahsia kepada roh itu adalah Allah. Roh tersembunyi di sebalik wajah badan, manakala wajah Allah pula terselindung di sebalik roh. Kita ini banyak menyimpan rahsia ketuhanan. Apabila badan boleh menyingkap tabirnya, maka kita akan dapat melihat roh.
Apabila roh pula menyingkap tabirnya maka Allah pula akan kelihatan melaluinya. Barang siapa yang dapat merungkaikan kedua-duanya sekali, akan kenallah ia kepada Allah.
Keikhlasan dan ketulusan iktikad hati orang makrifat dalam memandang Allah itu, adalah dengan membinasakan pandangan terhadap makhluk, sesuatu, benda, dan terhadap diri kita sendiri.
Itulah caranya membawa kita melihat dan memandang Allah. Dengan terang dan nyata, pada setiap apa yang kita nampak. Dengan cara itu, ianya akan membuka pintu-pintu ghaib dan membuka kunci-kunci khazanah ketuhanan yang belum kita ketahui.
Kunci pintu khazanah yang ghaib akan terbuka apabila diri zahir memandang diri yang batin
(apabila badan mengenal roh = rasa-rasa yang terasa di hujung-hujung jari).
(apabila badan mengenal roh = rasa-rasa yang terasa di hujung-hujung jari).
Apabila roh sudah mengenal dirinya sendiri (apabila roh mengenal roh), itu tandanya kita telah mengenal Allah Taala (makrifat).
MENCARI ALLAH
Mencari Allah itu bukan di dalam gua, di atas bukit, di dalam masjid, surau dan bukan di Mekah, Madinah, atau di Negeri China.
Tempat mencari Allah itu, ada di dalam diri masing-masing. Belajarlah mengenal diri (roh), agar Allah dapat kita kenal dengan terang dan nyata, Manakala tanggungjawab dan janji Allah kepada kita sebagai hamba-hambanya adalah tidak sekali-kali menganiayai hamba-hambanya.
Kita tidak perlu takut kepada Allah, kerana Allah itu maha pemurah, maha pengasih dan maha penyayang. Tidak berdendam. Tidak berbohong, tidak berdusta, dan tidak mungkir dengan janjinya dan tidak akan menganiaya hamba-hamba nya, asal saja kita, tidak mensekutukan, mensyarikatkan, dan syirik kepada Nya.
Bagaimana Untuk Menzahirkan Allah?
Untuk menzahirkan Allah, adalah dengan cara membinasakan sifat makhluk, termasuk perbuatan, nama, sifat dan zatnya. Apabila sifat makhluk sudah binasa, barulah sifat Allah terzahir, selagi ada sifat makhluk, selagi itulah Sifat Allah tidak akan dapat kita zahirkan dan tidak dapat kita pandang. Setelah semua makhluk yang bersifat baru ini dibinasakan dan dikembalikan kepada Allah, barulah dengan sendirinya sifat Allah itu akan terzahir di permukaan hati kita. Wajah Allah itu akan nyata terlihat dan terpandang oleh hati, apabila sifat makhluk telah bertukar wajah, dari wajah makhluk kepada wajah Allah.
Selagi adanya sifat diri kita dan selagi adanya sifat makhluk, selagi itulah sifat Allah tidak akan dapat dilihat, dipandang, dan tidak akan dapat terzahir di persada alam.
Seumpama Nabi Musa melihat kepada Bukit Thursina, apabila sifat bukit yang dipandang itu masih terlihat berwajah bukit, wajah Allah tidak dapat dipandang. Seolah-olah ianya terhijab dan terselindung di sebalik sifat bukit itu. Apabila sifat bukit yang dilihat itu tidak lagi kelihatan berwajah bukit, sudah lebur dan binasa, di situlah wajah Allah akan dapat terlihat dan terpandang oleh mata hati kita.
Begitu juga apabila kita terserempak dengan harimau yang garang, apabila kita masih beranggapan yang harimau itu bersifat haiwan yang garang, kita akan berperasaan takut dan cemas. Jika kita anggap / pandang sifat harimau sebagai wajah Allah, yang sama dengan wajah-wajah sekalian makhluk lainnya, sifatnya yang garang itu akan bertukar menjadi lemah.
Setelah sifat makhluk tidak lagi kelihatan pada pandangan kita, barulah wajah Allah boleh dilihat dipandang dan digambarkan dengan sejelas-jelas dan senyata-nyata melalui pandangan mata hati. Di situlah nantinya apa yang kita pandang itu akan nampak Allah besertanya.
Selepas sifat makhluk terpadam, karam, dan hilang ghaib di dalam wajah Allah, semua wajah makhluk yang kita lihat akan terpandang wajah Allah.
Pandang pada sifat harimau, akan ternampak wajah Allah. Pandang pada sifat bukit, akan ternampak wajah Allah. Dan pandang pada sifat diri kita sendiri, akan terzahir wajah Allah.
Hakikatnya, Allah lah yang meliputi sekalian alam. Di situlah nantinya barang ke mana dan barang apa yang kita lihat, akan terpandang dan terlihat wajah Allah besertanya.
Mengenal diri itu, setelah tidak lagi tahu adanya diri. Mengenal Allah itu, setelah tidak lagi tahu adanya makhluk. Ingatkan Allah itu, setelah tidak lagi tahu adanya ingatan kepada makhluk.
Tahu Allah itu, setelah tidak lagi tahu makhluk.
Adanya Allah itu, setelah tidak adanya makhluk.
Jika masih ada (wujud) perkara selain Allah, itulah mereka-mereka yang dalam berkedudukan dan berkeadaan syirik. Syirik itu adalah dosa yang tidak diampun oleh Allah.
Oleh itu jauhilah syirik dengan membinasakan makhluk! Setelah makhluk binasa, itulah tanda Allah itu Esa, setelah Esanya Allah itu, barulah terzahir dan ternyatanya Allah Taala di persada alam.
Ingat kepada Allah, setelah lupa kepada makhluk. Selagi ingatan kita masih ingat kepada makhluk, itulah tanda kita lupa kepada Allah.
Inilah sebenar-benar pengertian ingat (zikir) kepada Allah. Ingat kepada Allah itu, seumpama diri di waktu tidur. Di kala kita sedang tidur, anggota mulut, akal, ikhtiar, kehendak dan seluruh anggota jasad kita juga turut lupa kepada makhluk.
Lupa kepada makhluk, itulah cara dan kaedah ingat kepada Allah.
"Allah menggengam roh ketika mati dan ketika tidurmu" (Az-Zumar : 42)
Setelah kita berjaya berserah diri semasa belum tidur, bila mana di ketika sedang tidur, dengan sendirinya kita dikatakan selamanya dalam keadaan berserah diri. Apa lagi di ketika jaga.
Sebenarnya diri kita ini adalah tergantung dan terserah kepada Allah Taala. Apabila kita telah sampai ke tahap penyerahan yang hakiki / sebenar ianya akan diri kita kosong / fana' dan kosong itulah sebenarnya diri kita. Selagi belum jadi kosong / fana', itu bukan diri. Belum kenal diri. Jika belum kenal diri, manakan dapat mengenal Allah.
Sebutan nama Allah yang kosong (tanpa kehadiran rasa), adalah permainan bibir yang kotor, sesat lagi menyesatkan. Allah itu wujud (ujud & maujud pada segala sesuatu) kenapa ingatan kepada Allah, tidak dapat dizahirkan melalui sesuatu?
Firman Allah yang bermaksud :
"Mereka mengatakan dengan mulutnya barang yang tiada di dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui dari apa yang mereka sembunyikan."
Berzikirnya kebanyakan kita hanya menyebut-nyebut nama Allah dengan mengira jumlah sebutan itu. Ingat / zikir kepada Allah bukan sekadar menyebut nama Allah, sekadar menyebut nama Allah budak seawal usia 3 tahun pun boleh, malah burung kakak tua yang di ajar untuk menyebut nama Allah pun boleh!
Zikir atau ingat kepada Allah itu hanya akan diterima Allah, apabila ianya terkeluar dari bibir mereka-mereka yang mengenal Allah. Apabila perkataan "Allah" terkeluar dari mulut orang yang tidak mengenal Allah (jika guna pembesar suara sekalipun) ianya tidak mendatangkan apa-apa makna.
Maka itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri, agar berhasil untuk mencapai tujuan asal kita semua, iaitu mengenal Allah yang Wajibal Wujud, serta mencapai tujuan hakiki di sebalik penciptaan kita, iaitu bagi menyatakan kewujudanNya dan kecintaanNya semata-mata. Amiin²
Admin Nur Muhammad
No comments:
Post a Comment