~SHOLAT BUKAN SEMBAHYANG~
Jika dicermati ungkapan kalimah tauhid dalam bahasa arabnya, maka tidaklah terdapat perkataan yang bermaksud 'sembah'. 'Sembah' adalah kosa kata yang kita warisi sebelum kedatangan Islam di nusantara ini, yakni zaman kepercayaan hindu lalu masih dipakaimasuk setelah Islam. Sembah itu bermaksud menghadirkan sesuatu di hadapan kita untuk disembah sebagai tuhan. Ada yang mengatakan jika hendak melakukan sholat, haruslah menghadirkan Allah di hadapan kita. Seolah-olah dengan kefahaman sedemikian, Allah itu macam benda yang boleh dihadirkan atau sebaliknya mengikut sesuka hati kita. Padahal Dialah yang wujud dan menghadirkan kita yang maujud ini. Dialah yang terdahulu sholat sebelum kita sholat. Di sisinya tidak ada si penyembah yang lain. Dialah yang menyembah dan Dia jugalah yang disembah. Menurut kata seorang teman di dalam blognya, "buat apalah nak pakai sembah-sembah. Kan bagus kalau buat persembahan rock konsert!"
Jika dicermati ungkapan kalimah tauhid dalam bahasa arabnya, maka tidaklah terdapat perkataan yang bermaksud 'sembah'. 'Sembah' adalah kosa kata yang kita warisi sebelum kedatangan Islam di nusantara ini, yakni zaman kepercayaan hindu lalu masih dipakaimasuk setelah Islam. Sembah itu bermaksud menghadirkan sesuatu di hadapan kita untuk disembah sebagai tuhan. Ada yang mengatakan jika hendak melakukan sholat, haruslah menghadirkan Allah di hadapan kita. Seolah-olah dengan kefahaman sedemikian, Allah itu macam benda yang boleh dihadirkan atau sebaliknya mengikut sesuka hati kita. Padahal Dialah yang wujud dan menghadirkan kita yang maujud ini. Dialah yang terdahulu sholat sebelum kita sholat. Di sisinya tidak ada si penyembah yang lain. Dialah yang menyembah dan Dia jugalah yang disembah. Menurut kata seorang teman di dalam blognya, "buat apalah nak pakai sembah-sembah. Kan bagus kalau buat persembahan rock konsert!"
Seperkara lagi dengan rendah hati ingin saya nyatakan di ruangan ini bahwa sesungguhnya apa yang telah ditegaskan oleh golongan Sufi, Dia | Huwa (merujuk kpd Allah) adalah hakikat bagi segala sesuatu tetapi Dia bukanlah sesuatu. Maka itulah Dia (ZatNya) meliputi alam ini dan bukan di mana-mana seperti yang ditauhidkan oleh ahli salaf. Tetapi pada golongan awam, khususnya bagi mazhab Asyaariyyah, masih dengan tetapan akidahnya bahwa dari sudut pandangan wujud, Tuhan adalah sesuatu dan berbeda dengan makhlukNya, dengan itu adanya konsep dualisme - dua wujud, maka kepada Tuhan harus disembah, dengan ertikata lain juga adanya perbuatan sembah-menyembah dan siapa yang disembah. Ahli Sufi dengan yakinnya menolak konsep akidah ini kerana bagaimanakah mungkin dikatakan Tuhan disembah sedangkan Dia bukanlah sesuatu. Jika kita renungi apa yang diperturunkan dalam Surah Al Fateha, secara harfiahnya ayat ini harus dimaknakan "Hanya kepada Engkau kami beribadah dan kepadaMu kami memohon pertolongan." Antara ibadah dan sembah termaktub aspek yang berlainan sekali, kerana sembah memerlukan sesuatu sedangkan ibadah dan sujud tidak memerlukan apa jua selain Allah. Ahli Sufi telah meninggalkan cara ucapan 'tiada tuhan yang kusembah' kerana ianya masih terhijab atau menyandarkan kepada syirik yang halus. Justru itu mereka mensyahadatkan, 'tiada tuhan melainkan Allah." Ini pun ada sesetengah ahli sufi yang menolaknya kerana apabila dipandang dari aspek nafi dan itsbat, apakah ada tuhan selain Allah? Dengan demikian, mereka memuarakan konsep tauhid itu kepada 'Laamaujud illallah' - tiada yang wujud kecuali Allah.
Menyembah atau sembah itu adalah sinonim kepada ajaran hindu. Dari asal perkataan sembah itu maka jadilah perkataan sembahyang. Sembah ertinya sesuatu yang disembah oleh manusia kerana menganggap sesuatu itu lebih berkuasa dan gagah berbanding dirinya yang bersifat rendah atau lemah, maka sesuatu itupun dianggap sebagai tuhan yang memerlukan kepada penyembahan. Kemudian dibuatlah oleh si penyembah itu akan peraturan-peraturan dan ajaran-ajaran atas nama ‘sembahyang’. Umpamanya, jika ia telah melihat sekawanan monyet yang pandai meloncat-loncat dari atas sebatang pokok ke atas pokok-pokok lainnya, sedangkan pada pemikirannya tidak ada manusia yang mempunyai kepandaian seperti monyet-monyet itu, maka sang monyet itupun disembah lalu dianggap sebagai tuhan. Dan jika ia telah melihat sekawanan gajah yang besar dan gagah, boleh mengangkut kayu-kayan balak dengan kekuatan belalainya, sedangkan pada pemikirannya bahwa manusia tidak mempunyai kekuatan seperti gajah itu, maka sang gajah itupun disembah lalu dianggap sebagai tuhan. Begitu juga jika ia ternampak matahari yang menyinari bumi dan planet-planet lain dengan kehangatan cahaya, sedangkan manusia tidak mampu mempunyai kuasa seperti matahari itu, maka sang matahari itupun disembah lalu dianggap sebagai tuhan. Dan begitulah pula, jika ada seorang manusia yang melihat ada manusia lain yang mempunyai kuasa seperti seorang raja atau pemimpin, sedangkan dirinya hanya semata-mata hamba rakyat yang hina-dina, maka sang raja manusia itu pun dianggap berdarjat seperti tuhan lalu dimuliakan, disembah dan dipertuhankan.
Sembah-menyembah itu hanyalah dilakukan oleh tabiat perbuatan manusia dan jin telah berkurun-kurun lamanya semenjak zaman kaum Nabi Nuh a.s. lagi sehinggalah sekarang. Manakala makhluk haiwan tidak pernah menyembah sesama haiwan atau sesuatu yang dianggap tuhan. Adakah semut menyembah gajah? Adakah kijang menyembah singa? Adakah ikan menyembah burung? Adakah kambing menyembah rumput? Adakah katak menyembah hujan? Makhluk haiwan walaupun tidak sebijak dan berakal seperti manusia, tetapi makhluk haiwan tidak pernah meniru perbuatan manusia yang suka menyembah kepada sesuatu. Makhluk haiwan telah dijadikan Allah sebagai hamba-hambaNya yang senantiasa sujud dan bertasbih kepada Allah dan patuh kepada segala perintahNya, tetapi tasbih dan sujud makhluk haiwan kepada Allah itu adalah masing-masing dengan caranya yang tersendiri dan tidak diketahui maksud akan tindakan, bunyian dan ucapannya oleh manusia selain Allah jua yang maha mengetahui. Justeru itu, sifat makhluk haiwan itu adakalanya dinilai lebih baik dan mulia daripada sifat manusia dan jin yang telah mereka-reka atau membuat pelbagai jenis ajaran dan upacara sembahyang di muka bumi ini yang bertentangan dengan sunnah dan ajaran sekalian para Nabi dan Rasul di kalangan umat masing-masing sezamannya. Dan justeru itu juga, adalah suatu kesilapan dan kesalahan yang amat besar apabila dikatakan oleh sesetengah pihak bahwa hadiah sholat yang diterima oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu mikraj daripada Allah Subhanallahu Wa Ta’ala, diistilahkan sama dengan perkataan atau maksud sembahyang! Begitu pun salah pengertiannya apabila Islam itu dikaitkan dengan istilah-istilah seperti agama, ugama dan igama yang sebenarnya lebih sinonim kepada unsur kepercayaan hindu di serata kepulauan nusantara ini menurut berbagai loghat sesuatu bangsa dan budaya.
Dari zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah Nabi Muhamad s.a.w. istilah seperti agama, ugama dan igama tidaklah pernah digunapakaikan di dalam kitab suci al-Quran. Apakah itu agama, ugama dan igama? Agama, ugama atau igama sebenarnya lebih merupakan aspek-aspek ajaran akan sesuatu kepercayaan terhadap konsep ketuhanan dan cerita kedewaan yang direka-rekakan oleh manusia sendiri pada kesimpulannya diistilahkan sebagai ‘agama bumi’. Maka apakah kemurnian Islam itu wajar diistilahkan sejajar pengertiannya dengan agama, ugama atau igama?
Para Nabi dan Rasul yang menyampaikan seruan Allah kepada umat manusia di muka bumi ini tidak pernah sekali pun menyebutkannya sebagai agama, ugama atau igama. Sebaliknya seruan Allah itu telah disebutkan di dalam kitab suci al-Quran dengan ungkapan yang begitu indah dan sungguh luas bermakna iaitu Addinul Islam (cara hidup Islam). Maka dengan jelasnya Islam itu adalah Ad-Din dan bukan agama, ugama atau igama kerana Islam itu datangnya langsung dari Allah dan bukanlah berdasarkan sesuatu ideologi ciptaan oleh akal fikiran manusia baik apa pun taraf dan pangkatnya.
Sholat bukan sembahyang. Telah bersepakat kata para ulama sufi yang arifbillah, bahwa sesiapa yang menyembah Allah adalah syirik! Allah tidak menuntut DiriNya untuk disembah kerana Allah bukanlah seperti sesuatu yang mendambakan kepada penyembahan demi menggelarNya sebagai Tuhan. Allah adalah Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. KeEsaan Allah itu bukanlah terpaut pada huruf dan nama. Allah itu nama bagi Zat Wajibal Wujud, tidak ada yang wujud melainkan Allah. Sesiapa yang menyembah Allah tetapi tidak mengenal Allah, termasuk di dalam golongan musyrikin kerana penyembahannya itu sekadar tertuju kepada nama yang bersandarkan kepada majazi huruf dan suara, sedangkan ia belum lagi mengenal akan Allah sebagaimana Allah patut dikenal.
Orang-orang sufi yang mengenal Allah, telah menyatakan bahwa kalimat “tiada tuhan yang kusembah melainkan Allah” adalah kalimat di peringkat kaum awam, tetapi masih belum lagi terlepas dari bendungan syirik yang halus. Maka itu kaum sufi telah bertaubat daripada bunyi kalimat penyaksian yang sedemikian. Mereka telah mengistbatkan di dalam kalimah penyaksian bahwa “tiada yang wujud melainkan Allah”. Perkataan ‘tuhan’ pun sengaja dihapuskan oleh kaum sufi di dalam kalimah tersebut kerana selama sebutan ‘tuhan’ itu digunapakai, maka seseorang itu belum benar-benar musyahadah kepada Allah Yang Maha Esa. Bahkan usah terhenti pada sebutan “Ilah” seperti yang diungkapkan “ya Ilahi” dalam munajat permohonan, kerna Ilah itu menurut seorang tokoh sufi Syekh Ahmad Al-Alawi bahwa semua yang tidak wujud itu terkandung di alam ‘Ilah’. Maka sebaiknya dilanjutkan dengan sebutan tasydiq “Illallah” atau “Allahu” lalu dikhatamkan dengan ucapan “Muhammadur Rasulullah”.
Selagi masih ada tanggapan bahwa dirinya wujud sebagai penyembah, maka itulah suatu tanda besar ghairullah (selain Allah) yang berupa berhala halangan untuk mencapai maqam tauhid. Orang-orang sufi lebih mengutamakan pencapaian tauhid dalam beribadahnya kepada Allah daripada beriya-iya sangat mengejarkan maqam, karamah dan pahala untuk masuk syurga seperti ibadahnya kaum awam. Dan bagi mereka, sholat itu adalah merupakan ibadah hakiki kepunyaan Yang Haqq dan bukan sembahyang. Ada ulama yang berpendapat perkataan ‘sembah-yang’ itu berasal dari makna sembah hantu. Justeru itulah dalam beribadah, kaum sufi telah terlebih dahulu menafikan apa pun yang dianggap sebagai ghairullah dan akwan, yakni gambaran-gambaran di dalam batin tentang hal-hal keduniaan yang tak sepatutnya dibawa bersama sholat, lalu mereka hanya mengistbatkan tauhid KeEsaan Allah dalam erti tauhid zat, tauhid sifat dan tauhid af’al dan beristiqamah di Maqam Muhammad s.a.w., sebagaimana sabda Nabi s.a.w., “Sholatlah kalian sebagaimana kalian lihat aku sholat!”
Justru itu bagi kaum sufi, sholat sebagai suatu perintah ibadah yang wajib dilaksanakan dan bertujuan hanya sujud kepada Allah, tidak menyekutukan Allah dengan yang lain, sekalipun dengan keberadaan dirinya sebagai orang yang sholat, dan hendaklah semata-mata mempunyai kesedaran akan Allah itu Maha Esa dalam sholatnya, bahkan dalam setiap jenis ibadah lain yang dilakukannya sebagaimana firman Allah, “sesiapa yang percaya dan berharap dapat bertemu dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal sholeh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadahnya kepada Tuhannya.” – Q.S. Al Kahfi: 110.
Sujud di dalam pengertian kesufian bukan erti sembah. Sembah itu memerlukan kepada dua aspek peribadi; yang disembah dan yang menyembah. Sedangkan sujud pada tanggapan ahli sufi yang makrikat, ialah semata-mata hanya ada Allah Yang Maha Esa, tatkala seorang sufi itu sujud kepada Allah bererti si sufi itu telah terhapus tumpuannya terhadap makhluk saat matahatinya sedang asyik bermusyahadah kepada Allah lalu seluruh batinnya dalam keadaan telah mati maknawi dan seterusnya baqa bersama Allah yakni jadilah ia bekas dan alat bagi Allah dan hidup di dalam Allah (yakni dihidupkan setelah mati dan tidak ada lagi kematian, sedangkan mati hissi atau jasad hanyalah perpindahan dari alam nasut ke alam malakut), sebagaimana sabda Nabi s.a.w. “Beribadahlah kepada Allah, seolah-olah kalian melihatNya, dan jika kalian tidak melihatNya, bahwa Allah Maha Melihat.”
Apabila seorang sufi telah melihat Allah di dalam sholat, maka pandangannya tidak lagi beralih kepada yang lain kecuali Allah. Maka jadilah pandangan si sufi di dalam sholat itu bashar Allah, hadirnya si sufi di dalam sholat itu qidam Allah, nafas si sufi yang keluar-masuk di dalam sholat itu ilmu Allah, nyawa si sufi di dalam sholat itu hayat Allah, gerak-geri si sufi di dalam sholat itu qudrat Allah, pendengaran si sufi di dalam sholat itu sama’ Allah, bacaan-bacaan si sufi di dalam sholat itu kalam Allah, munajat si sufi di dalam sholat itu iradat Allah, salawat si sufi di dalam sholat itu salawat Allah kepada RasulNya, salam si sufi di akhir sholat itu salam Allah “Salamun qaulam mirrobbir rahim” kepada penghuni syurga.
Kaum sufi berpendapat sholat itu sebenarnya adalah pilihan Allah dan bukan pilihan manusia. Justeru itulah mengapa kaum sufi tidak memandang kepada amalnya, kerana setiap amal yang ikhlas itu pada hakikatnya datang dari petunjuk dan bimbingan Allah. Orang yang sholat dan menganggap sholat itu dari titik usaha dan ikhtiarnya sendiri adalah orang yang bersikap sombong terhadap Allah dan beribadah hanya untuk memenuhi nafsunya sendiri dan lupa kepada segala kurniaan Allah termasuk dirinya yang disandarkan sifat-sifat Allah. Justeru itulah, sholat yang nilainya dipandang dan diterima oleh Allah ialah orang-orang yang berhati ikhlas dan khusyuk di dalam sholatnya. Khusyuk dalam kamus kesufian bukanlah sekadar dapat memahami makna-makna lafaziah bacaan di dalam sholat, tetapi khusyuk itu bererti terhapus segala akwan dan telah berserah diri sebulat-bulatnya kepada Allah dengan tidak lagi bergantung kepada makhluk seperti mengharapkan pujian serta pemerhatian dan menuntut bayaran gaji selaku mengimamkan sholat kerana ini telah mencemarkan tauhidnya yang bersertakan iktiqad syirik dan sholatnya tidak diridhai Allah.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment