Monday, 2 April 2018

Ahli sufi memiliki bahasanya yang tersendiri dari sudut pandangan, pengucapan ataupun penulisan.

Ahli sufi memiliki bahasanya yang tersendiri dari sudut pandangan, pengucapan ataupun penulisan. Walaupun kadangkala bahasa ahli sufi itu tampak mudah dan biasa saja sebagaimana bahasanya orang awam, tetapi sebenarnya prinsip dan hakikat kefahamannya saling jauh berbeda dari apa yang disangkakan oleh orang awam. Lantaran itulah mengapa bahasa ahli sufi sering mengundang kontroversi dan pelbagai tuduhan yang tidak menyenangkan orang awam seperti sesat dan sebagainya. Hanya ahli sufi sesama ahli sufi itu sahaja yang benar-benar faham apa yang mereka ingin maksudkan dalam konteks wilayah kesufian yang sudah begitu tinggi peningkatannya.

Di antara bahasa ahli sufi yang dianggap pelik dan aneh itu ialah:

• Menyembah Tuhan itu syirik bagi ahli sufi tetapi menyembah Tuhan itu wajib bagi orang awam.

• Ahli sufi tidak menganggap sholat itu adalah sembahyang. Sholat bagi ahli sufi itu adalah penyaksian Diri Yang Sebenar Diri kepada Diri Yang Berdiri Dengan Sendirinya iaitu Ujud Allah yang ada dalam batin (hakikat) sufi dan penyaksian kepada Muhammad Yang Haqiqi yang ternyata pada zahirnya dan sebenarnya-benarnya yang melaksanakan perbuatan sholat itu. Sedangkan pada konsep orang awam bahwa sholat itu adalah penyembahan kepada sosok sesuatu seperti menempatkan yang disembah itu yakni Allah ada di langit dan si penyembah itu ada di bumi.

• Pada orang awam bahwa akhir tujuan sholat itu memperolehi ganjaran atau pahala. Tetapi bagi ahli sufi bahwa sholat itu adalah dari Allah dan tujuan akhirnya kepada Allah jua. Maka tidak ada pahala yang seperti dikatakan kerana semua nikmat itu adalah kepunyaan Allah dan segala puji atas Af’al, Asma’, Sifat dan ZAT adalah untuk Allah semata-mata.

• Di dalam maksud kalimah ‘Lailaha illallah’ – orang awam mengertikan tiada Tuhan melainkan Allah. Tetapi bagi ahli sufi, selagi perkataan ‘Tuhan’ itu ada disebutkan selagi itulah berupa syirik. Bermakna orang awam masih mengakui ada Tuhan lagi yang perlu dinafikan untuk mencapai istbat kepada Allah. Sedangkan ahli sufi tidak perlu bersandar kepada penafian buat selama-lamanya, itulah pencapaian kesempurnaan tauhid. Bagi ahli sufi, kalimah ‘Lailaha illallah’ sebenarnya mengandungi erti tiada yang ujud melainkan DIA, kerana ahli sufi hanya menghadap ke satu arah sahaja iaitu ke arah Yang Hakiki. Justeru itu, ahli sufi mengatakan bahwa mereka sentiasa dapat memandang Wajah Allah tanpa menunggu kedatangan akhirat. 

• Menurut orang awam bahwa syurga itu hanya terletak di akhirat sahaja dan hanya boleh dimasuki sesudah hari kiamat. Tetapi menurut ahli sufi bahwa di dunia ini ada satu syurga. Barangsiapa yang dapat memasuki syurga ini tidak akan menginginkan syurga di akhirat lagi, kerana syurga di akhirat itu hanya merupakan sebahagian kecil sahaja dari syurga yang ada di dunia ini yang merupakan makrifat kepada Allah.

Sekian sahaja sebagai ringkasan contohnya bahasa ahli sufi....

No comments:

Post a Comment