Thursday, 8 June 2017

Rahsia Makrifat

Rahsia Makrifat
Adapun Rahsia Ma’rifat itu adalah rahsia bagi DIRI, tiada siapa pun boleh menghuraikan di atas rahsia diri masing-masing melainkan orang-orang ahli Sufi dan Wali sahaja yang boleh menghuraikan.
Seperti kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a. sesudah beliau menunaikan solat sunnat hajat, lalu ia berkata :
“Ya Tuhanku! Di manakah maqam yang yang lima itu di dalam diri hamba? Iaitu yang pertama Subuh, kedua Dzohor, ketiga ‘Asar, keempat Maghrib dan kelima Isya'.”
Maka tatkala itu bergerak-geraklah seluruh anggotanya maka diketahuilah beliau tentang kedudukan maqam yang lima itu. Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti daripada satu waktu kepada satu waktu.
1. Pada waktu Subuh maka bergerak-geraklah perumahan hatinya maka berkatalah ia, “Ya Tuhanku! Telah nyatalah hamba bahawasanya Subuh itu bermaqam di hati hamba.” Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti sampailah pada waktu Dzohor.
2. Apabila sampai pada waktu Dzohor, maka berdenyut lagi hatinya. Tatkala itu terasalah ia suatu benda yang pahit mengalir di batang lehernya. Maka berkatalah ia, “Ya Tuhanku! Telah nyatalah aku bahawasanya waktu Dzohor itu bermaqamnya pada hempedu ku.” Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti sampailah ia pada waktu ‘Asar.
3. Apabila sampai pada waktu ‘Asar maka bergeraklah berhampiran dadanya sebelah kiri. Maka katanya lagi, “Ya Allah! Ya Tuhanku! Ketahuilah hamba bahawasanya waktu ‘Asar itu bermaqamnya pada paru-paru hamba.” Maka berzikirlah lagi ia sampailah pada waktu Maghrib tiada ia berhenti-henti.
4. Setelah sampai pada waktu Maghrib berdenyut-denyutlah di dalam dadanya. Setelah diperhatikan denyutan itu, maka ia berkata lagi, “Ya Allah! Ya Tuhanku! Telah nyatalah hamba bahawasanya waktu Maghrib itu bermaqam pada jantung hamba.” Maka berzikirlah ia daripada Maghrib sampailah ia pada waktu Isya’.
5. Setelah sampai pada waktu Isya’, maka berdenyut-denyutlah dadanya di sebelah kanan. Tatkala itu maka nyatalah ia waktu Isya’ itu pada limpanya. Maka bersyukurlah ia ke Hadhrat Allah Ta’ala. Katanya, “Ya Allah! Ya Tuhanku! Dengan kerana Mu aku mengetahui akan segala-galanya.” Maka berzikirlah ia tiada berhenti-henti sehingga sampai pada waktu Subuh. Maka kedengaranlah pada telinganya, “Ya Abdul Qadir! Di dalam lima waktu itu bahawasanya terhimpun ia di dalam waktu Subuh.”
Maka telah nyata kedudukan maqam lima waktu itu pada diri kita oleh itu tiada boleh dinafikan tiap-tiap sesuatu itu. Bukannya kehendak ilmu yang luas tiada suatu pun yang boleh mengisbatkan kepada kita. Hanya pada diri kita sahaja yang boleh menandakan suatu itu di alam ini.
Maka berkata seorang ahli Sufi (Syeikh Kiryani r.a.) kepada sahabat-sahabatnya bahawasanya, “Hamba dapat mengetahui akan maqam yang lima ini adalah wujudnya pada lima haqiqat. Yang dinamai ia pada tiap-tiap waktu ini.”
1. Waktu Subuh menyatakan wujudnya Allah.
2. Waktu Dzohor menyatakan wujudnya Af'al Allah.
3. Waktu ‘Asar menyatakan wujudnya Qauli.
4. Waktu Maghrib menyatakan wujudnya Insani.
5. Waktu Isya’ menyatakan wujudnya Rasuli.
Maka berkata sahabat-sahabatnya kepada Syeikh Kiryani r.a., “Ya tuan hamba! Bolehkah tuan hamba terangkan lagi bagaimana cerita lagi di atas maqam yang lima itu? Kerana tidak sekali-kali hamba memahami dengan kata-kata tuan hamba itu!”
Maka berkatalah Syeikh Kiryani r.a. kepada sahabatnya, “Ya sahabat ku! Tiliklah keadaan diri mu senyata dahulu agar kamu dapat ketahui akan maqam yang lima itu.”
Adapun tatkala asalnya maqam yang lima waktu itu adalah diambil daripada cerita baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu. Tertulis di dalam kitabnya yang bernama “Darul ulum addeen”. Bahawasanya datang seorang hamba Allah mengadap baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu dengan berkata, “Ya Khalifah Amirul Mu’minin! Kenapakah waktu subuh itu tidak disamakan lima rakaat tiap-tiap waktu? Mengapakah waktu Subuh dua rakaat sahaja dan Maghrib tiga rakaat, sedangkan waktu lainnya empat rakaat?”
Maka jawab oleh baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya tuan hamba Sa’idah! Sebab-sebabnya waktu itu tidak sama akan rakaatnya, kerana mengikut kejadian alam ini. Tiada ia dijadikan oleh Tuhan dengan serentak. Melainkan dengan berperingkat-peringkat.”
Seperti sabda Rasulullah s.a.w. kepada ku, mafhumnya :
“Ya Ali! Ketahuilah oleh mu bahawasanya tatkala asal waktu itu, diibaratkan tatkala embun tunggal setitik gugur ke bumi menandakan adanya satu waktu dua rakaat yakni Subuh. Maka tatkala asal manusia pun daripada satu yakni Adam. Inilah sebabnya Subuh itu dua rakaat. Menyatakan ia rakaat pertama itu kalimah Tauhid, yang kedua kalimah Rasul. Kalimah Tauhid itu asal daripada ibu sekalian amalan dan kalimah Tauhid juga asal daripada bapa, yakni bapa sekalian ilmu Laduni.”
“Inilah sabda Rasulullah s.a.w. kepada ku”! Maka bertanya lagi hamba Allah itu kepada baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya tuan hamba Amirul Mu’minin! Apakah terkandungnya di dalam kalimah Tauhid dan kalimah Rasul?” Maka jawab baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya Sa’idah! Adapun kalimah Tauhid itu nyata ia adanya Nur Muhammad iaitu Dzat Wajibal Wujud Kholiqul’alam.”
“Maka inilah sabda Rasulullah s.a.w. kepada ku!” Maka bertanya lagi Sa’idah, “Ya Amirul Mu’minin! Bagaimana pula dengan waktu-waktu yang lain itu?” Maka berkatalah baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya Sa’idah! Adapun waktu-waktu yang lain itu mengikut cerita Rasulullah s.a.w. kepada ku adalah seperti berikut ini :
Waktu Dzohor 4 rakaat :
1. Rakaat pertama menandakan wujudnya Dzat Allah.
2. Rakaat kedua menandakan wujudnya Sifat Allah.
3. Rakaat ketiga menandakan wujudnya Asma’ Allah.
4. Rakaat yang keempat menandakan wujudnya Af'al Allah.
Waktu ‘Asar 4 rakaat, menyatakan kepada 4 alam :
1. Rakaat pertama menyatakan kedudukan di Alam Roh.
2. Rakaat kedua menyatakan kedudukan di Alam Mithal.
3. Rakaat ketiga menyatakan kedudukan di Alam Ajsam.
4. Rakaat keempat menyatakan kedudukan di Alam Insan.
Waktu Maghrib 3 rakaat, menyatakan kepada 3 diri :
1. Rakaat pertama menyatakan hal keadaan Diri Azali.
2. Rakaat kedua menyatakan hal keadaan Diri Terperi.
3. Rakaat ketiga menyatakan hal keadaan diri terdiri.
Waktu Isya’ 4 rakaat, menandakan 4 nama bagi diri yang batin :
1. Rakaat pertama menyatakan bersifat Wujud, mengesakan Dzat Allah.
2. Rakaat kedua menyatakan bersifat Ilmu, mengetahui akan Sifat Allah.
3. Rakaat ketiga menyatakan bersifat Nur, menyatakan ia akan Asma’ Allah.
4. Rakaat keempat menyatakan bersifat Syuhud, ma’rifat akan Af'al Allah.
Maka inilah yang dinamakan Rahsia Ma’rifat. Maka bertanya lagi hamba Allah itu kepada Baginda Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya Amirul Mu’minin! Sekiranya jikalau hamba beramal dengan tiada ketahui jalan ini, apa hukumnya?”
Maka jawab Saiyidina Ali Karamallahu wajhahu, “Ya Sa’idah! Siapa yang mengerjakan amalan dengan tiada mengetahui akan amalan itu adalah syirik semata-mata. Dan mereka ini dijatuhkan di dalam golongan orang yang fasiq. Walau bagaimana ‘alim sekalipun, fasiq jua hukumnya. Tiadalah ia berbau akan Syurga idaman.”
HAKIKAT SOLAT BERDASARKAN ISRA' DAN MI'RAJ
Dalam Isra dan Mi’raj Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah diperjalankan dari Mekah ke Baitul Muqaddis hingga ke Sidratul Muntaha. Dalam solat, kita juga melakukan isra’ dan mi’raj 5 kali sehari semalam. Apakah isyarat peristiwa ini dengan solat yang kita lakukan?
Mekah ketika itu yang dipenuhi patung-patung berhala ditafsirkan ulama sufi sebagai jasmani, tempat yang penuh zulmah. Dari Mekah berpindah ke Baitul Muqaddis yang menjadi tempat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengimamkan solat yang para Nabi dan Rasul menjadi makmumnya, yakni berpindah dari alam jasmani ke alam rohani. Kemudian berpindah ke Sidratul Muntaha menghadap Allah dengan makna rohani itu bermuraqabah dan bermusyahadah dengan Allah.
Maka dalam solat kita, mesti isra’kan iaitu isra’kan jasmani menjadi rohani dan kita mesti mi’rajkan rohani ke Sidratul Muntaha dalam bermusyahadah dengan Allah. Kalau tiada lakukan hal tersebut maka ia dikatakan solat syariat yang tiada hakikat, maka solat demikian tiada nilai di sisi Allah. Tanda ditolak Allah ialah solatnya itu tak ubah sifat batin dan akhlaknya, walaupun ia dilakukan dengan rajin dan penuh tekun. Solat tanpa hakikat rohani itu tiada mendatangkan cahaya pada qalbinya menyebabkan tidak berlaku perubahan dirinya, bahkan ia semakin jauh dari Allah.
Allah berfirman :
“… Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)
Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :
“Siapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya’ dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya.“(Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)
Bila kita takbiratul ihram, “Allahu Akbar” bermakna kita telah berpindah dari alam jasmani ke alam rohani. Maksudnya selepas takbir, kita tidak dibenarkan lagi melakukan pekerjaan jasmani, tiada boleh makan, minum dan lain-lain perbuatan badaniah. Adapun qalbi tiada boleh lagi mengingati hal-hal duniawi, akal juga tiada boleh berkhayal kepada perkara-perkara lain, kerana kita sudah berpindah dari jasmani kepada rohani, dari alam dunia ke alam rohani untuk muraqabah dan musyahadah dengan Allah.
Hakikat Solat Berdasarkan Isra' Mi'raj - (2)
Sambungan dari bahagian (1)
Sebab itu setengah ulama menyatakan kalau lapar atau mengantuk masa nak solat, disunatkan makan atau tidur dahulu. Ini supaya hal-hal jasmani tiada menganggu urusan rohani masa solat nanti.
Oleh itu, bila sampai waktu solat bersungguh-sungguhlah kita untuk jalankan rohani kepada Allah. Niat betul-betul dalam hati, tiada lain dalam batin, melainkan untuk jalankan rohani kepada Allah, supaya rohani tiada terbelenggu di alam dunia.
Jasmani memang tempatnya di alam dunia, adanya makan dan minum, adanya ahli keluarga, pekerjaan dan sebagainya, tapi rohani itu tiada memiliki apa-apa, ia yatim piatu dan hanya ada Allah. Ia tak perlukan semua yang diperlukan jasmani itu, tapi hanya perlukan Allah!
Maka jika seorang itu tidak menjalankan rohaninya kepada Allah, maka ia akan menderita kerana telah melupakan satu diri lagi dalam dirinya, iaitu diri rohani. Bila terlupa begitu, maka ia akan hidup, bekerja siang dan malam untuk kesedapan jasmani semata-mata… mahu makan yang sedap, tidur, rumah besar, kenderaan mahal, kemewahan dan memuaskan syahwatnya semata-mata. Itulah matlamat yang dikejarnya sehinggalah nanti bila mati baru ia tersedar hakikat sebenar.
Apabila mati, kita akan ditanam di suatu tempat yang sempit dan tidak selesa pada jasmani (kubur). Sebab itu jangan tumpukan jasmani lebih dari rohani kerana kalau rohani mendapat kenikmatan maka jasmani dengan sendirinya akan beroleh kenikmatan juga.
Sistem pendidikan kita hari ini, dari peringkat tadika hinggalah ke peringkat tinggi, semuanya mengejar matlamat untuk kepuasan jasmani. Pelajaran dan pendidikan agama bukan keutamaan, malah tidak menjadi syarat wajib untuk mendapat pekerjaan. Lebih malang lagi ada di kalangan masyarakat yang melihat dengan adanya sijil dan kelulusan tinggi itu akan menjamin masa depan, kalau belajar agama, belajar di pondok nanti akan susah, tiada kerja dan hidup susah.
Maka hiduplah masyarakat dengan nilai-nilai Barat, sistem kepercayaan dan mentaliti Barat yang tiada roh tauhid. Walaupun kita solat, puasa, zakat dan buat haji/umrah, tapi kehidupan kita hakikatnya jauh dari nilai-nilai rohaniah atau nilai-nilai alam langit.
Begitu jauhnya dengan alam rohani… di mana dalilnya? Solat mereka tidak mencapai khusyuk, tiada ruh. Ia solat tapi terikat di alam jasmani, dicengkam tarikan duniawi, haiwani dan syaitaniah. Hanya zahir ia bertakbir, tapi rohaninya ditarik graviti duniawi, khayal kepada perkara duniawi, urusan pekerjaan dan lainnya. Ia tiada ‘terbang’ ke alam rohani, alam muraqabah dan musyahadah dengan Allah, sepertimana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berhadap dengan Allah di Sidratul Muntaha. Solatnya tak sampai ke Sidratul Muntaha, sedangkan solat itu diterima Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di alam sana.
Solat adalah satu-satunya ibadah yang diterima Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di Sidratul Muntaha, adapun yang lain diterima melalui wahyu di bumi ini. Justeru apakah isyarat dari Allah akan hal ini? Ia ibarat Allah menyatakan,
“Wahai HambaKu, 5 kali sehari hendaklah engkau tinggalkan jasadmu, tinggalkan segala urusan duniamu, marilah berhadap kepadaKu..”
Jika solat kita masih di alam jasmani, dibelenggu graviti duniawi, amat bahaya ketika kita nak mati nanti, boleh mati dalam azab. Ini kerana ketika ruh diperintah meninggalkan jasad, maka jasmani akan mencengkam rohani kita hingga boleh mendatangkan azab dan kesakitan yang amat sangat.
Tapi sekiranya kita sudah boleh mencapai khusyuk dalam solat, insya Allah perjalanan rohani ketika sakaratul maut akan menjadi mudah kerana jasmani tiada lagi mengikat rohani. Sebab itulah dikatakan solat itu, ‘kamu mati sebelum mati’.
Dalam solat juga kita diwajibkan menghadap kiblat, tangan diletakkan di perut (antara dada dan pusat). Zahir menghadap Kaabah, batin berhadap kepada Allah.
Keadaan tangan itu juga melambangkan kita mati, lalu hendaklah dipulangkan segala amanah kepada Empunyanya. Segala kudrat, iradat, ilmu, hayat dan sebagainya itu dikembalikan kepada Haq Allah SWT. Kita kembali kepada sifat kehambaan yang tiada memiliki apa-apa, la haula wala quwwata illa bilLahil ‘aliyyil ‘adzim.. hamba yang lemah, faqir, hina dan dhaif.
Justeru, perkara solat ini tidak boleh dipandang ringan. Baik dan buruk umat Islam kekuatannya pada solat. Maka melihat kepada pentingnya solat ini, untuk jalankan rohani kepada Allah, ulama tasawuf dan ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah khususnya di Nusantara ini telah wajibkan kepada murid-murid mereka akan ilmu tarekah.
Apa itu ilmu tarekah? Ia adalah ilmu atau kaedah untuk menjalankan hatimu kepada Allah, untuk buangkan belenggu-belenggu dunia dalam hati. Bagaimana nak dilakukan itu? Ialah dengan perbanyakkan zikrullah, menyebut sebanyak-banyak dalam hati akan zikir “Allah, Allah, Allah”..[1] sehingga dunia itu tercabut dari hatimu, zulmah (kegelapan) akan hilang, nafsu-nafsu yang mencengkam akan lemah, kerana nafsu itu menjadi tunggangan syaitan.
Ini samalah dengan merawat orang terkena jin. Kita membacakan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir tertentu kepadanya untuk melemahkan atau membuang jin itu dari tubuh pesakit. Maka cara yang sama juga dilakukan untuk membuang jin/syaitan yang ada di dalam hati.
Maka dalam sufi, hakikat isra’ dan mi’raj itu ialah dizikirkan hati (diangkat rohani) dari hati yang ghaflah (lalai) menjadi hati yang sentiasa ingat kepada Allah. Diajarkan zikir “Allah, Allah, Allah” pada qalbi sebanyak-banyak walau tanpa khusyuk sekalipun. Rasa lazat atau manis itu bukanlah matlamat, yang penting untuk kekalkan ingatan dulu kepada Allah.
Bila dah kekal ingatan kepada Allah, dengan sendirinya akan datangkan raza lazat (zauk), asyik, cinta, rindu dan khusyuk. Dengannya hatimu akan ada nur muraqabah yakni dapat melihat Af aluLlah pada setiap apa yang ada di depanmu, sehingga sampai kepada musyahadah. Jadi bila hati dah sampai pada muraqabah dan musyahadah (Ihsan)[2] maka inilah yang dibawa dalam solat (khusyuk).
Untuk mencapai musyahadah ini perlulah melalui latihan dalam tarekah, jika tak melaluinya maka akan sukar untuk hati itu mencapai musyahadah, melainkan orang itu dikurniakan Majzub[3] oleh Allah. Adapun kita orang awam perlulah melalui sistem tarekah ini sebagaimana yang disusun ulama sufi muktabar nusantara.
1. “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” Surah 7: Al A’raf, Ayat 205
2. "... Ihsan itu bahawa engkau mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya, Dia tetap melihat engkau..." (petikan dari hadis yang panjang riwayat Muslim)
3. Menurut istilah tasawuf majzub ialah “Manusia yang ditarik oleh Allah kepada alam yang lain dari keadaan biasa”. Ia juga disebut “sukr” iaitu mabuk yang dialami oleh seorang sufi. Ada dikalangan majzub ini yang memperolehi ilmu tanpa belajar dan berguru. Hal ini jarang berlaku tetapi disitulah sifat Harus bagi Allah untuk mengangkat sesiapa yang dikehendakiNya. Mungkin doa dari para auliya’ atau ibu bapa, datuk, nenek dan sebagainya atau ada kebajikan yang dilakukan (oleh si majzub tadi) yang besar nilainya pada pandangan Allah, atau hatinya sentiasa baik sangka dengan Allah.
Syaikh Ahmad Fathani rahimahullah membahagikan golongan majzub kepada tiga golongan, iaitu :
a. Golongan yang ditarik kepada beberapa hal yang mulia dan beberapa maqam yang tinggi didalam masa yang singkat serta dihilangkan akalnya sehinga ia tidak sedar lagi di alam ini. Majzub inilah yang disebut oleh Syaikh Muhammad Abil Mawahib Asy-Syazili :
“Bermula murid itu berjalan atas yang lurus dan majzub itu pada sisi kaum sufiah adalah mandul.”
Mereka ini sentiasa dalam keadaan fana’, tiada boleh diambil pelajaran daripadanya sama ada perkataan dan perbuatannya. Mereka akan bercakap dengan apa yang diperlihatkan oleh Allah pada mereka sehingga kadangkala membuka dan menjatuhkan keaiban orang yang bertemunya.
b. Golongan yang dikembalikan kesedaran dan diturunkan ia daripada satu maqam kepada satu maqam sehingga memiliki baginya ilmu Allah dan sampai kepada puncak fana’ fiLlah dan baqa’’ biLlah.
c. Golongan yang tiada dilenyapkan daripada akalnya sekali-kali. Golongan ini disebut oleh Syaikh Muhammad Abil Mawahib asy-Syazili sebagai “Majzub yang jaga ia, afdhal daripada majzub yang dihapuskan dengan sifat Tuhan.”
Untuk memimpin murid, golongan majzub perlu kembali pada salik iaitu memiliki ilmu dan mengamalkannya mengikut disiplin tariqah tasawuf, wajib mempunyai syaikh untuk dibimbing atau sentiasa merujuk segala hal ehwal rohaninya (kepada syaikh mursyid) agar segala kedapatan rohaninya adalah benar, sehingga ilmunya benar-benar mantap, sama ada yang zahir atau yang batin. Wallahu 'alam.
Dicatat oleh AKU

No comments:

Post a Comment