Thursday, 8 June 2017

Rahsia Lailatul Qadar Bagi Ahli Sufi

Rahsia Lailatul Qadar Bagi Ahli Sufi
Lailatul Qadar atau Malam Qadar pada satu malam di antara malam-malam dalam bulan Ramadan, dikatakan sebagai malam yang paling rahsia sehingga ada setengah pendapat pula mengatakan bahwa para Nabi dan Rasul sendiri pun tidak mengetahui bilakah jatuhnya malam tersebut, inikan pula para wali atau orang awam. Lantaran itu timbullah pelbagai persangkaan, tafsiran dan pendapat, terdengar bermacam-macam cerita pelik dan aneh sama ada benar ataupun tidak terkait dengan peristiwa Lailatul Qadar itu.
Qadar bermaksud Kemuliaan. Surah Al-Qadr adalah Surah yang ke 97 di dalam senarai kitab suci Al-Qur'an dan diturunkan di Makkah sebanyak 5 ayat. Di dalam Surah tersebut pada ayat 3, Allah telah berfirman bahwa malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Tentu saja malam kemuliaan itu adalah sangat teristimewa dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-NYA yang menjalankan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Bagi mereka yang sengaja mengingkari perintah syariat berpuasa, sudah pastilah malam qadar itu bukan disediakan buat mereka yang di dalam kerugian dan terputus dari rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Malam Qadar adalah malam yang telah lengkap dan sempurna diperturunkan kitab suci Al-Qur'an yang semenjak mulai diperturunkan secara beransur-ansur dari Langit yang dikenali sebagai Nuzul Al-Qur'an. Pada Malam Qadar itu turunlah malaikat Jibril berserta ramai malaikat lainnya dengan izin Allah demi mengatur segala urusan. Sepanjang keberkahan dan kesejahteraan Malam Qadar itu sehinggalah terbit fajar.
Bermacam cara dan usaha dilakukan untuk merebut Malam Qadar. Ada yang mencarinya dalam setiap sepuluh malam-malam terakhir Ramadan dengan berbuat amal-ibadah berjaga sepanjang malam tanpa tidur. Ada yang beriktikaf di masjid-masjid menjelang sepuluh malam terakhir Ramadan itu. Ada pula yang beribadah bersendirian di rumah atau di tempat-tempat uzlah yang jauh sunyi dan terasing dari pergaulan orang ramai. Pendek kata, mendapatkan Malam Qadar itu tidak harus dilepaskan peluang kerana tidak sama seperti beribadah di malam-malam yang lain, tetapi beribadah hanya pada satu malam sahaja di Malam Qadar itu telah dinilai oleh Allah beribadah selama seribu bulan. Subhanallah!
Ada pandangan ulamak menerangkan bahwa rahsia Lailatul Qadar itu sebenarnya tersirat di dalam Surah Al-Qadr itu sendiri. Jika dihitung satu-persatu jumlah perkataan atau lafazhiyah dalam Surah tersebut akan terdapat 29 perkataan. Maka kemungkinan Lailatul Qadar itu jatuh pada malam 29 Ramadan. Nabi s.a.w. pernah bersabda agar umatnya mencari rahsia Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam-malam ganjil yang terakhir di bulan Ramadan.
Guru Mursyid Thariqat Syadziliyah, Asy-Syekh Abil Hasan Asy-Syadzily Rahimahullah, tersebut di dalam kitab manaqibnya, bahwa semenjak berumur baligh hingga akhir hayat beliau, setiap tahun beliau tidak pernah terlewatkan mendapati turunnya Lailatul Qadar. Beliau pernah mengatakan apabila awal Ramadan jatuh pada hari:
Ahad maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 29
Isnin maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 21
Selasa maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 27
Rabu maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 19
Khamis maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 25
Juma'at maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 17
Sabtu maka Lalilatul Qadar akan turun pada tanggal 23
Imam Al-Ghazai R.A. pernah mengatakan bahwa petanda rahsia Lailatul Qadar itu adalah terbukanya Alam Malakut. Alam Malakut ini berada dalam batin manusiawi yang paling terdalam. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bahwa jika hati anak Adam itu tidak dikelilingi oleh syaitan, nescaya ia mampu melihat rahsia-rahsia Kerajaan Langit. Justeru itulah kebanyakan ahli sufi mencari rahsia Lailatul Qadar itu di dalam suasana batin qalbu mereka sendiri. Di dalamnya mereka dapat merasakan ketenangan dalam beribadah kepada Allah tanpa lagi adanya gangguan-gangguan atau terhapus dari segala akwan (gambaran-gambaran) Alam Nasut duniawi ini. Mereka beribadah dengan niat yang seikhlas-ikhlasnya dan tidak bertujuan mencari pahala kecuali keredhaan Allah semata-mata. Apabila mereka dapat mencapai rasa ketenangan yang menyeluruhi suasana batin mereka, itulah petandanya mereka telah berada di Alam Malakut. Di Alam Malakut itu mereka dapat melihat secara batiniyah akan ramainya malaikat yang sibuk menguruskan segala urusan. Mereka melihat roh-roh yang berhimpun, sama ada roh-roh orang yang masih hidup, sudah mati atau yang belum dilahirkan jasadnya.
Dari Alam Malakut mereka berpindah ke Alam Jabarut yang menghubungkan Alam Ketuhanan dengan Alam Kemakhlukan. Di Alam Jabarut itulah mereka menerima pelbagai rahsia Ketuhanan yang tidak boleh diceritakan kepada orang awam dan mereka bertemu dengan roh-roh para Nabi dan Rasul serta roh-roh para Auliya'i wassohlihin. Dan seterusnya mereka melalui Alam Bahut, sempadan alam yang memisahkan kemakhlukan dengan Ketuhanan, sehingga yang tinggal pada mereka hanyalah SirulLah (Rahsia Allah), justeru dengan SirulLah itulah mereka menembusi Alam Lahut menyaksikan Allah, hidup dalam Allah dengan Allah tanpa rasa adanya kematian atau kefanaan. Sehingga terbitnya fajar di Alam Nasut, mereka dikembalikan kepada peringkat roh masing-masing yang berada di dalam jasad mereka. Itulah sebenarnya pengalaman dan peristiwa Lailatul Qadar buat ahli sufi.
dari FB thj. Shahibul Karib

No comments:

Post a Comment