Monday, 3 October 2016

KEMBALI KEPADA ALLAH

KEMBALI KEPADA ALLAH
Ketahuilah, tujuan pencipta alam ini menjadikan kita adalah semata-mata untuk diriNya dikenal sebagaimana firmanNya yang bermaksud “Aku khazanah yang tersembunyi, maka Aku suka dikenali, oleh sebab itu Aku jadikan makhluk agar ia mengenaliKu.” Kemudian Ia jadikan Nur Muhammad selaku makhluk pertama yang dijadikanNya dan dari Nur Muhammad itu dijadikanNya alam semesta ini.
Maka wujudlah dunia ini dan segala makhluk lain di dalamnya termasuklah kita yakni manusia. Awal-awal bangsa manusia yang dijadikan ialah seorang lelaki yakni Adam di dalam syurga yang jasadnya berasal daripada tanah bumi manakala rohnya terus berasal daripada Nur Muhammad. Di dalam syurga, Adam telah pun mengenali penciptanya malah bentuk kejadian Adam adalah mengikut wajah penciptaNya. Kemudian manusia kedua yang dijadikan ialah seorang perempuan yakni Hawa yang jasadnya dijadikan daripada tulang rusuk kiri Adam manakala rohnya terus berasal daripada Nur Muhammad.
Adapun tujuan penciptaan manusia adalah untuk mendiami muka bumi sebagai khalifah maka Sang Pencipta menjadikan asbab turunnya Adam dan Hawa ke muka bumi dari syurga melalui kelupaannya dan penglaknatanNya terhadap Azazil (Iblis) yang akhirnya dengan dendamnya terhadap Adam, ia berjaya membuatkan Adam dan Hawa terpedaya dengan memakan buah larangan dari pohon khuldi.
Kemudian Sang Pencipta berfirman kepada Adam, “Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” Maka turunlah Adam dan Hawa ke muka bumi dan beranak-pinak untuk mengembangkan zuriat di atasnya.
Adapun petunjuk yang dimaksudkan di dalam firman itu tiada lain melainkan petunjuk ke jalan yang benar yakni petunjuk kepada jalan bagi memperkenalkan diriNya kerana pada hakikatnya manusia dijadikan untuk tujuan itu. Masa terus berlalu dan manusia yang mendiami bumi semakin ramai yang terpesong dari petunjuk Sang Pencipta oleh Iblis.
Kemudian Sang Pencipta mengutuskan selepas kewafatan Adam a.s. rasul-rasulNya kepada seluruh umat manusia demi memperbetulkan kembali jalan mereka. Dalam proses itu betapa ramai rasul-rasul dari kalangan Bani Israel yang telah dibunuh oleh umatnya sendiri (yahudi) lantaran kebutaan hati mereka untuk memahami firman-firman Sang Pencipta.
Akhirnya diangkat seorang Rasul yang terakhir dari bangsa Arab bernama Muhammad ibnu Abdullah pada ketika usianya 40 tahun yang digelar al-Amin oleh kaumnya lantaran sikapnya yang tidak pernah mendatangkan mudharat kepada orang lain samada dengan lidahnya atau perbuatannya. Beliau dan kaumnya sejak awal beriman dengan Tuhan yang bernama Allah yang ditaati oleh Nabi Ibrahim yang membawa agama samawi.
Namun di zaman beliau agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim itu telah berlaku penyelewengan yang serius terutama pada sudut aqidah, ibadah dan akhlak. Pada nabi Muhammad diberi Al-Quran untuk meluruskan kembali aqidah, ibadah dan akhlak ummah di samping sebagai pelengkap kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya kepada nabi Daud (kitab Zabur), nabi Musa (kitab Taurat) dan nabi Isa (kitab Injil).
Kepada rasulNya yang ummi ini, Allah memperkenalkan hakikat diriNya dan memperkenalkan kedudukan makhluk di sisiNya yang kemudian dari itu menjadi tanggungjawabnya pula untuk disebarkan kepada umatnya. Awal-awal pengenalan tentang diriNya yang diwahyukan kepada Muhammad melalui Jibril di gua Hirak ialah memperkenalkan keTuhananNya bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Menjadikan segala sesuatu (96:1) dan yang Maha Mengetahui segala hal ehwal makhlukNya (96:2) bahkan hal ehwal yang tersembunyi. Kemudian demi kemuliaanNya (96:3) Ia ajarkan kepada manusia akan ilmu-ilmuNya melalui perantara (96:4).
Jadi adalah jelas berdasarkan firman pertama yang diwahyukan kepada Muhammad ini bahawa Ia memperkenalkan diriNya adalah berkedudukan sebagai Tuhan semesta alam yang menjadikan segala sesuatu bahkan Ia mengetahui hakikat segala sesuatu samada yang nyata atau yang tersembunyi dan Ia akan mengajarkan ilmu-ilmuNya kepada manusia secara langsung melalui perantara.
Kemudian di dalam firmanNya yang lain yang bermaksud, “sesungguhnya Aku bernama Allah, tiada Tuhan melainkan Aku maka taatilah Aku, dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” Maka Sang Pencipta yang berkedudukan sebagai Tuhan itu akhirnya memperkenalkan diriNya bernama Allah malah kewujudanNya adalah tunggal.
Firman Allah yang berbunyi “la illaaha illa ana” dalam ayat di atas sebenarnya bukanlah sekadar sebagai ayat penyata untuk Allah menyatakan tentang ketunggalanNya bahkan lebih jauh daripada itu sebagai perintah agar manusia mencari jalan untuk mengetahui bagaimanakah tunggalnya Allah itu yang akhirnya menjadi asas kepada berdirinya ilmu tauhid langsung menjadi kunci pembuka khazanah makrifatullah bagi manusia. Makrifatullah itulah Awaluddin.
Namun, alangkah dukacita kerana nabi Muhammad s.a.w. telah tiada maka zaman kegemilangan Islam yang menjadi atur cara hidup suci telah kembali kepada suasana kelam jahiliah. Memang Muhammad s.a.w. telah membekalkan Al-Quran dan sunnahnya kepada umat zaman ini namun Al-Quran dan sunnah itu seolah-olah tidak dapat membentuk siasah diri mereka lantaran Al-Quran dan sunnah hanya dijadikan sekadar simbol keislaman umat yang mengaku islam, sedangkan Al-Quran dan sunnah menuntut kita agar mengamalkan isi kandungannya iaitu makrifatullah sebelum melaksanakan hukum Allah. Inilah sebenar-benarnya syariat Allah dan Rasul.
Melaksanakan hukum Allah tanpa terlebih dahulu makrifatullah, maka natijahnya di zaman ini kita dapat saksikan betapa ramai ulamak-ulamak yang bakal lahir dan yang lebih membimbangkan apabila mereka akan menduduki kerusi-kerusi di jabatan agama. Inilah punca kekelaman ad-din apabila ‘awaluddin makrifatullah’ diabaikan. Lihat sahajalah bagaimana ad-din ini telah diperkosa semahu-mahunya oleh pemerintah yang mengamalkan atur cara hidup kafir. Hati menangis siapalah yang tahu.
Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda;
“Sebahagian di antara tanda-tanda hari kiamat ialah terhapusnya ilmu, berjangkitnya kejahilan, melimpahnya minuman keras dan berleluasanya penzinaan.”
Perhatikan, bukankah dengan banyaknya pembuangan bayi dan pengguguran janin yang berlaku dalam masyarakat sekarang ini sebagai tanda berleluasanya penzinaan? Bukankah dengan banyaknya pusat-pusat hiburan yang diberi permit oleh pihak berkuasa untuk beroperasi telah dijadikan sebagai medium penjualan arak secara berleluasa? Bukankah dengan ramainya masyarakat yang melanggar syariat serta berlumba-lumba untuk menyertai acara-acara hiburan dengan diwujudkan program seperti program Realiti TV sebagai tanda berjangkitnya kejahilan?
Dan bukankah telah terjadi di zaman ini pewartaan terhadap ilmu dan amal ahli Tasawuf difatwakan sebagai ajaran sesat oleh penguasa agama dan larangan mengajarkannya di surau dan di masjid sebagai tanda terhapusnya ilmu-ilmu makrifatullah? Maka saksikanlah bahawa kita ini sedang duduk pada zaman di mana tanda-tanda kiamat telah pun berlaku. Maka ke manakah tempat untuk mengadu sedang Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan hal ini.
Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash, katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Allah tidak menghapuskan ilmu dengan cara mencabutnya dari dada seluruh manusia tetapi dengan jalan mewafatkan para ulamak. Apabila ulamak sudah habis, umat manusia mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin mereka. Lalu mereka bertanya kepada para pemimpin yang bodoh. Si pemimpin memberi fatwa tanpa pengetahuan, menyesatkan orang ramai maka sesatlah mereka semua.”
Ilmu yang dimaksudkan dalam kedua-dua hadis di atas ialah ilmu untuk mencapai makrifatullah dan ulamak yang dimaksudkan ialah ulamak pewaris nabi yakni ulamak yang mewarisi ilmu-ilmu nubuwah yakni makrifatullah.
Ketahuilah, makrifatullah ini untuk mendapatkannya tiada di dalam silibus ilmu Feqah, ilmu Kalam atau ilmu Falsafah melainkan jika seseorang itu mengamalkan ilmu-ilmu Tasawuf. Maka dalam masyarakat yang telah mengalami kehuru-haraan ad-din, kepada ulamak pewaris nabi inilah sewajibnya sebagai tempat dituju dan merekalah yang bergelar guru-guru Mursyid. Amiin²

No comments:

Post a Comment